Tuesday, July 23, 2013

Mengenang Ma

Ramadan tahun ini saya mengenang orang jauh yang sangat baik dengan saya, walau tak pernah ada hubungan pertalian darah. Saya bersahabat baik dengan anak perempuannya, sejak 1992 seingat saya, sejak zaman sekolah menengah lagi. Hubungan karib itu berlangsung sehingga kini. Tahun 2000 atau 2001, ketika kali pertama berkunjung ke rumah mereka, saya 'jatuh hati' dengan keluarga ini. Ada sesuatu yang mengikat saya - kasih sayang mereka. 2002, ketika saya bertunang dan enam bulan kemudiannya berkahwin, keluarga inilah yang menjadi orang tengah dan menguruskan semuanya. Keluarga ini sudah menjadi sebahagian daripada sejarah hidup saya, yang tak mungkin terpadamkan. 

Mac 2013 ini, Abah pulang mengejut, dan dua minggu kemudiannya Ma menyusul ke alam sana. Ini cinta sejati kata anak-anak perempuannya (Abah dan Ma tak ada anak lelaki). Di dapur, semasa tahlil arwah Ma, si adik yang bongsu bercakap dengan isteri saya - kalau tahun ini gilir beraya abang di Kedah, minta abang beraya di sini. Kami sudah tak ada siapa-siapa. Sebak rasa bila isteri beritahu. Hari ini, genap empat bulan Ma kembali menyongsong Abah. Saya sangat teringatkan sosok wanita ini. Kebaikannya sentiasa dalam ingatan. Dalam hidup, kita akan berjumpa dengan orang-orang yang baik, yang akan selalu hidup dalam kenangan kita. Dan mereka adalah orang yang baik, yang hadir dan singgah di hati saya. Al-fatihah untuk arwah Abah dan Ma ...

Ma


Di kampung yang teduh
atau dari kota nan jauh
kami akan selalu mengenangmu


29 Mac 2013

Permatang Rambai, Pasir Puteh

1 comment:

School Of Tots said...

Catatan Rusuh Dari Benua Sunyi
Menyata Isi Hati Yang Membuak Rasa
Setiap Detik Melangkah Ke Dunia Sepi
Bekal Amal Soleh Bisa Mendamai Jiwa.