Bertemu SN
Bertemu dengan orang yang jadualnya sentiasa padat adalah satu kemujuran. Dan peluang sebenarnya. Selalu bila bertemu, ketika beliau di atas pentas, dan saya mendengar di bawah pentas. Atau bersalam-salam sebelum atau selepas sesuatu acara berakhir. Dapatlah bercakap-cakap sekejap sambil bertanya khabar. Pada saya, Muhammad adalah seorang pengingat, dan mesra. Sekali saja bertemu, selepas dari itu beliau akan mengingati kita, termasuklah nama. Itulah yang saya kesani beberapa tahun lalu sebelum dan selepas bertemu beliau untuk kali pertama dahulu.
Pertemuan ini memang dirancang. Untuk kerja peribadi saya. Syukur, beliau sudi meluangkan waktu dan membantu walaupun di sela-sela masa yang padat - katanya rupanya menjadi orang pencen menjadikannya lebih tidak cukup waktu, dalam gurau petang. Sambil bertanyakan tentang urusan kerja saya, sempat juga bertanyakan projek penulisan terbaru beliau. Antaranya, penulisan memoirnya yang sudah kian menebal, tak salah saya disebut beliau sudah melewati tujuh ratus halaman lebih. Kerja-kerja terjemahannya terus berlangsung. Juga sedang mengkaji tentang buah durian. Katanya kepada saya, hang kalau tau tentang asal usul durian di Pokok Sena beritahu saya.
Sebelum pulang, saya hulurkan senaskhah kumpulan puisi "Buku Si Darwis" saya kepada Muhammad. Cepat-cepat Muhammad membuka begnya lalu "berderau" buku dengan saya. Ketika beliau menurunkan autograf bukunya untuk dihadiahkan kepada saya, dengan segera saya merakam foto ini untuk kenang-kenangan saya ...

No comments:
Post a Comment