Monday, June 24, 2013

Halusinasi, Delusi dan Psiko

Dulu, saya pernah berkira-kira menulis sebuah novel tentang dunia halusinasi, delusi dan psiko. Saya pernah tulis sebuah cerpen, "Malim dan Tanah Maya" judulnya. Saya berhasrat mengembangkannya dengan menulis novel, walau saya tahu kudrat saya tidaklah kuat untuk menulis karya prosa tebal-tebal. Semuanya bila saya melihat selama bertahun-tahun saudara sekampung saya, pada waktu tertentu akan ghaib dan menghilangkan diri. Berbulan-bulan sekali hilang. Pernah makan masa melebihi setahun. Beberapa kali selepas berbulan-bulan hilang, dia akan dijumpai oleh orang kampung, atau orang kampung sebelah di dalam paya, di tengah sawah dengan lintah penuh di badan. Pernah dijumpainya di dalam hutan sekitar kampung. Dia "jumpa" dunianya yang lain. Tak orang ketahui di mana dia berada selama berbulan-bulan dia hilang. Pernah setahun lebih hilang, sebelum ia kembali ke rumah sediakala, berjumpa anak isteri. Ketika ditanya, ia sukar mengingat ke mana dia pergi atau menghilang selama ini. Itulah ideanya saya mendapat ilham menulis cerpen "Malim dan Tanah Maya" itu - tersiar di Tunas Cipta, tahun tak ingat. Beberapa tahun lalu, kehilangannya dipapar secara penuh tragis dalam akhbar tanah air. Mayatnya ditemui dengan kesan terbakar rentung. Hanya tulang-temulang dan selangkanya ditemui di pinggir padang di tepi hutan, di kampung kami. Kami percaya, dia cuba dalam perjalanan balik semula ke rumahnya setelah kehilangannya paling lama - setahun lebih rasanya. Isterinya hanya datang melihat tulangnya, hanya dapat dikenal melalui cebisan kain baju dan tuala yang dibawa suaminya itu. Kebetulan musim itu kemarau panjang dan api merebak puncanya entah dari mana membakar sekitar hutan pinggir kampung kami. Mungkin perjalanan pulangnya adalah perjalanan yang lelah, letih, melarat hingga tidak mampu melawan api. Siapa sangka, kehilangan ini berakhir dengan kepulangan yang tragis. Sejak itu, saya padamkan anganan saya untuk menulis novel tentang ini ...

ii

Dan di sini, anehnya, dalam dunia moden, di kotaraya besar, saya temui juga manusia yang dihinggap halusinasi, punya delusi, dan boleh disebut sebagai manusia psiko. Saya temui Lokman dalam "Hujan Pagi" Pak Samad, dalam dunia nyata. Memang, mereka tidak sedar penyakit hati dan fikiran mereka. Bercakap segala bagai perkara seperti benar belaka. Walhal bila diselidiki, rupanya palsu, penuh kebohongan dan penipuan. Contohnya, bercerita tentang dunianya dari keluarga besar dan hebat, ibu bapa bergelar profesor, anak-anak belajar di luar negara. Macam-macam lagilah. Errr, ini sekadar contoh saja saya beri, belum tentu contoh yang tepat. Tapi soalnya tentang penipuan, bohong dan palsu semuanya benarlah. Dan, kita pun seakan akan percaya selama beberapa tahun cerita hebat yang keluar dari mulutnya. Semua orang di sekitarnya mengakui akan kehebatannya (dan keluarganya, dan bla bla bla). Tidak timbul keraguan. Semuanya percaya total. Hinggalah datang pada suatu hari, muncul seorang yang rapat dalam hidupnya mendedahkan perkara sebenar. Dari hal sekecil-kecil, hinggalah perkara sebesar-besar. Contoh (saya sebut contoh ya), si polan yang rapat dengannya mendedahkan bahawa kedua ibu bapanya bukan profesor pun, anak-anaknya tak ada yang belajar di luar negara pun. Macam-macam ceritalah hingga boleh membuka aib diri. Anehnya, selepas dia tahu yang kami sudah tahu tentang rahsia dirinya, dia masih juga begitu. Sentiasa mengulang-ulang cerita, dan berbuat cerita baru tentang dirinya; yang penuh kepalsuan, pembohongan dan penipuan. Seolah-olah tiada apa. Dan ini, pantas mengingatkan cerita nenek tentang penggembala kambing dan serigala. Selepas berkali-kali membohong dan berdusta, siapa lagi mahu percaya kini? Cuma, hanya sedikit kasihan dan simpati - bahawa dia betul-betul sedang 'sakit'.

iii

Saudara sekampung saya itu, sudah beberapa tahun kembali kepada-Nya. Dia temui jalan pulangnya sendiri - tanpa membohongi dan mendustai sesiapa. Cuma, dia hanya kekal misteri dalam hidup kami, orang kampung di pedalaman sana. Dia 'sakit' sendiri-sendiri dan tidak menyusahkan sesiapa. Dan di sini, di kotaraya besar ini saya masih berhadapan dengan segelintir manusia yang hidup dalam tempurung halusinasi, dihinggapi delusi dan menjadi manusia psiko. Saya cuba memadamkan kemarahan dan kebencian. Yang ada kini hanyalah simpati dan kasihan ...

No comments: