'Mohong'
Sejak zaman kanak, kita sudah biasa mendengar nenek kita berkisah tentang penggembala yang pembohong. Tentang biri-birinya yang dimakan serigala. Dia, 'mengenakan' penduduk kampung. Setelah beberapa kali menipu, orang sudah tidak percaya kepadanya lagi. Hinggalah tiba suatu hari, biri-birinya benar-benar dibaham serigala. Kasihan, tak ada siapa yang datang membantunya lagi.
Cerita yang kita warisi ini turut diversikan dalam siri Upin & Ipin. Tontonlah, akan ada selalu siaran ulangannya. Tak rasa hina pun menonton kartun bersama anak-anak - sambil boleh berpesan, jangan suka cakap 'mohong'. Bukan saja Tuhan marah, kawan-kawan kita pun akan benci kita.
Di luar - di dunia nyata, selau kita berhadapan dengan perkara ini. Bercakap bagai nak rak, macam benar. Tapi setelah beberapa waktu, hal yang benar itu rupanya 'mohong' belaka. Tidak jauh, kadang-kadang kawan baik sendiri. Kalau kita tak anggap kawan baik pun, boleh jadi dia kawan sebelah pintu pejabat kita. Kadang-kadang kerana sudah suka berbohong, ia seakan menjadi perkara yang benar kepada si penuturnya. Hingga susah kita nak menyaring betul atau tidak. Tapi, kebenaran selalu datang perlahan dan senyap, seperti kunang-kunang yang menerangkan malam. Hingga kita sudah menetapkan kalau si pembohong itu bercakap 10, sekarang satu pun kita sudah tidak percaya lagi. Walau pun betul.
Dan ini pantas mengingatkan saya kepada cerita almarhum nenek - tentang penggembala, biri-biri dan serigala. 'Kawan', hari ini aku akan menjadi orang kampung yang tidak lagi mempercayai si penggembala. Kau jadilah penggembala penipu selama mana yang kau mahu. Kerana suatu hari nanti, tidak sekadar biri-biri, dengan kau sekali serigala akan menjamahnya.
No comments:
Post a Comment