MENIKMATI PUISI SI DARWIS RIDZUAN HARUN
Buku Si Darwis
Pengarang Ridzuan Harun
Penerbit Institut Terjemahan & Buku Malaysia
RIDZUAN HARUN atau nama penuhnya Mohd Ridzuan Harun lahir 1 Jun 1975
di Kebun 500, Pokok Sena, Kedah. Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan
Haji Idris, Tajar, Kedah.
Tahun 1988 hingga 1992 Ridzuan mendapat pendidikan menengah di Sekolah
Menengah Jabi, Pokok Sena sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dari
tahun 1993 hingga 1994 belajar di Sekolah Menengah Dato' Syed Omar, Alor
Setar sehingga STPM. Namun begitu, Ridzuan gagal memperolehi sijil penuh.
Kegagalan itu tidak mematahkan semangat Ridzuan. Percubaannya kali kedua
menerusi sekolah swasta pada tahun 1996 telah berjaya dan beliau berhasil
menggenggam segulung sijil penuh STPM.
Dengan sijil penuh STPM itulah yang kemudiannya melayakkan Ridzuan
melanjutkan pengajiannya ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dari tahun 1997
hingga 2000 di bidang Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik
Melayu) dan kini beliau sedang menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana di
universiti yang sama.
Tetapi sebagai penyair, dari manakah sebenarnya Ridzuan Harun bertolak dan
bermula? Selepas tampil dengan antologi puisi pertamanya “Suluk Cinta”
yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008, tahun 2012 ini
Ridzuan Harun tampil lagi dengan antologi puisi kedua beliau ”Buku Si Darwis”
yang diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Dalam pengantar buku puisi terbarunya ini, yang dijuduli sebagai “Catatan
Si Darwis Puisi”, Ridzuan Harun mengakui betapa beliau memilih ruang dan jalan
yang payah untuk mencintai puisi..
Bagi Ridzuan Harun, menulis puisi bukan suatu kerja mudah. Namun
begitu, beliau tetap percaya dan sepenuhnya meyakini betapa: “Penyair harus
berdiri di hadapan bangsa, di hadapan zamannya – menjadi perenung, pencatat,
menjadi cermin nusa; bahkan menjadi “pengingat”.
Untuk dan kerana itulah melalui antologi yang memuatkan 50 puisi hasil
cipta beliau sekitar tahun 2006 hingga 2011 ini Ridzuan Harun menampilkan
puisi-puisi yang sebahagian besarnya memaparkan gelodak resah dan gelora yang
sesekali keras mendebur pantai emosi kepenyairannya bila berhadapan dengan
persoalan maruah bangsa, bahasa dan masa depan negaranya.
Malah sikap dan tegasnya pendirian Ridzuan Harun sebagai penyair yang
diakuinya sebagai perlu memikul peran sebagai “pengingat” ini ketara dinyatakan
melalui susun atur puisi-puisinya di dalam antologi ini, dengan mengawalinya
melalui puisi berjudul “Di Bawah Bulan Berwarna Emas Kudoakan Kau Sejahtera
Selalu, Bahasaku” sebagai puisi pertama mendepani pembaca.
Melalui puisi ini, Ridzuan Harun menyatakannya melalui simbol betapa bahasa
adalah: kunang-kunang, sumbu, kandil, pelita, lentera, dian, suluh dan
matahari, yang sentiasa didoakan agar sejahtera sentiasa.
Memang jika dibaca secara permukaan atau apa yang tersirat, puisi ini tidak
lebih sekadar sebuah puisi berisikan doa dan harapan daripada seorang penyair
Melayu agar bahasa miliknya sentiasa sejahtera.
Tetapi lantaran apakah yang mendorong doa dan harapan itu dilontarkan
penyair di dalam puisinya ini? Apakah ini berarti bahasa Melayu sedang diancam
oleh sesuatu sehingga wujud kebimbangan di hati penyair dan mendorong puisi ini
dizahirkan?
Secara tersirat dan tidak langsung Ridzuan Harun, dengan menggunakan
objek-objek sebagai pembanding dan simbol, ingin menyatakan betapa bahasa
Melayu mempunyai kekuatannya yang teramat hebat. Namun kepekaan mata batinnya
sebagai seorang penyair, yang melihat dan meneliti apa yang sedang
dan sudah melanda bahasa Melayu, mendorong Ridzuan melahirkan rasa
bimbangnya secara tidak langsung melalui doa dan harapan.
Tidak hanya soal bahasa yang menjadi titik tolak kebimbangan Ridzuan Harun.
Persoalan politik bangsa dan negara juga turut menerjah sensitiviti kepenyairan
Ridzuan.
Di dalam antologi ini, puisi-puisinya seperti “Politik Malaysia, 2009” di
halaman 19, “Aduhai Tanah Air” (20), dan serial sajaknya di bawah judul “Sifir
Politik” dengan jelas menyerlahkan pendirian Ridzuan yang mempercaya betapa
penyair: “.... harus berdiri di hadapan bangsa, di hadapan zamannya
– menjadi perenung, pencatat, menjadi cermin nusa; bahkan menjadi “pengingat”.
Sebagai pemerhati, perhatian Ridzuan di dalam puisinya “Politik Malaysia,
2009” jelas tertumpu kepada situasi di tahun 2009, yang dinyatakannya sebagai:
“...terasa kita sedang menangisi demokrasi tercalar/ atau terasa kita/ sedang
mentertawakan demokrasi.”
Namun begitu, Ridzuan Harun di dalam puisinya ini tidak meletakkan
diri di pososi penghukum atau pengikut buta seperti mana-mana kelompok yang
sentiasa ingin memenangkan kelompoknya semata-mata. Ridzuan sebaliknya memilih
untuk menjadi lebih terbuka dan kembali kepada hakikat diri kemanusiaannya
dengan melontarkan tanya kepada Sang Maha Pencipta dengan tanya: “Tuhan,
iktibar apakah ini?”
Atau dalam puisinya “Aduhai Tanah Air”, Ridzuan melihat dan menyatakan rasa
bimbangnya bila melihat pertelingkahan yang terjadi di antara sesama, baik
politikus mahupun agamawan, yang menurut hemat Ridzuan tidak lain kerana:
“...kerana sebidang kuasa/ dan sebaris penghormatan yang dikejar.”
Peristiwa sosial seperti kehilangan adik Sharlinei, kehilangan Pulau Batu
Putih, pemergian Zubir Ali turut tidak lepas dari mata perhatian Ridzuan.
Ridzuan juga tidak melupakan untuk menyatakan sesuatu mengenai penyair yang
dikaguminya, T. Alias Taib dalam puisinya “Puisi Adalah Peta Perjalanan
Hidupnya”. Menurut hemat Ridzuan, segala khazanah puisi yang ditinggalkan oleh
T. Alias Taib melayakkannya diibaratkan sebagai “... songket berkilau/ dari
jauh pun tampak sinar dan serinya.”
Perjalanan dan kunjungan juga turut menyentuh sensitiviti kepenyairannya,
yang diutarakan antaranya melalui puisi “Percakapan Kepada Musi (iii)” di
halaman 14, “Tanjung Rhu, Petang Runduk (41)”, “Catatan di Beting Pasir” (43)
dan “Tanjung Rhu, Lewat Malam” (44).
Antologi puisi “Buku Si Darwis” buah tangan penyair Ridzuan Harun dapat
ditanggap sebagai sebuah pengukuhan pengakuan seorang penyair yang kian
menampakkan sosok keperibadian kepenyairannya.
Justeru itu jugalah, Ridzuan tidak lupa menurunkan sejumlah puisi bersifat
renungan dan retrospektif dirinya, seperti di dalam puisi”Belajar Menjadi
Rama-Rama dan Merpati” di halaman 56, “Memilih Diam” (57), “Sebahagian
Autobiografi” (58), “Kepada Ridzuan” (63), “Darwis” (64) dan “Buku Si Darwis”
(65).
Ternyata, melalui antologi puisi keduanya ini Ridzuan sudah cukup bersiap
sedia dengan penampilan puisi-puisinya. Dengan kesedarannya sebagai “darwis
puisi”, Ridzuan menyedari dan insaf akan kehadiran dirinya. Ridzuan Harun bukan
seluruhnya seorang darwis, tetapi sudah mulai berjalan dan menuju ke arah yang
lebih jauh di tengah peta kepenyairan Malaysia.
Sumber: http://marslino.blogspot.com
(siaran Mingguan Malaysia, 20 Januari 2013)
No comments:
Post a Comment