skip to main |
skip to sidebar
Pangkah di Luar Kotak
Tidur tidak nyenyak malam tadi kerana asyik teringatkannya. Sejak mengenali dan menyukainya, saya tak pernah berpaling lagi. Sekurang-kurangnya seminggu sekali kami berhubungan. Isteri saya tahu tentang hubungan kami, dan ini menjadikan hubungan kami tidak menjadi hubungan sulit. Isteri saya tak pernah menghalang, cuma sesekali dia mengeluh tentang kewajaran saya meneruskan hubungan ini, katanya yang dia tak nampak sebarang kebaikan. Tapi saya yang sangat nampak kebaikan cepat-cepat menerangkan kepada isteri tentang kewajaran ini. Lantas, hubungan saya dengannya pun terus berlangsung hingga sekarang. Keluarga sebelah saya pun tahu, sebelah mentua saya pun tahu.
Ramai orang termasuk kawan-kawan baik yang sinis kepada saya bila melihat hubungan kami. Yang mereka tak tahu, saya juga sinis kepada mereka kerana 'jaki' kepada saya. Kata mereka, saya tak layak berdamping dengannya kerana darjat kami yang berbeza. Saya hanyalah orang biasa, sedangkan dia tercipta untuk golongan bangsawan. Saya tak layak untuknya, kata mereka. Dan lagi kata mereka, dengan gaji yang sudah dipotong oleh tempat kerja beberapa bulan ini sudah menjadikan saya jatuh terduduk dan senyum dalam tangisan, mana mungkin lagi saya meneruskan hubungan aneh ini. Ya, memang saya terlalu memanjakannya dengan bermewah-mewah. Duit tabung semakin lama semakin nipis. Tak hidup zuhud kalau bermewah-mewah, itu saya tahu. Tapi saya sayangkannya, dan saya sayangkan hubungan kami.
Dan hari ini dia membuatkan saya serba salah. Dengan perangainya yang terus suka menyakiti saya dan melukakan hati saya. Tapi saya tahu dia memang baik untuk saya, walau sering melukakan. Hari ini saya dalam dilema. Ingin mendengar kata hati, atau ingin sedar diri.
Ron97, saya tetap sukakan awak walau sudah berkali-kali awak lukakan saya, dan awak bocorkan poket seluar saya. Hari ini awak naik lagi sekupang. Cuma satu yang saya nak awak tahu. Awak tetap terbaik, walau awak makin jual mahal!
4 comments:
Naik, naik. Nanti ada yang kena diturunkan. Kita turunkan dengan cara kita.
MARSLI N.O
Sdr. M,
iye bener
Wow, suspen la cerita
Sdr. Nassury,
hidup kita sentiasa penuh dengan suspen;P
Post a Comment