Sunday, May 13, 2012


Pengalaman Menjadi 'Editor'

Saya bersyukur, tidak dilahirkan sebagai editor. Cukup hanya menjadi editor lebih kurang sahaja untuk diri sendiri. Apabila diminta dan diamanahkan untuk menjadi editor menangani penerbitan sesebuah buku, saya serba salah juga. Apatah lagi kalau tulisan-tulisan yang terkumpul itu datang daripada penulis/pengarang besar tanah air. Menolak, bererti menolak tuah, pengalaman dan kepercayaan yang diberi, menerima meletakkan saya dalam keadaan serba salah.

Editor tidaklah sempurna; begitu juga saya. Tetapi saya ada tanggapan sendiri, pandangan sendiri, cara kerja sendiri dan kebolehan sendiri yang perlu saya pergunakan sebaiknya. Maka, bila terbit dalam bentuk buku, ada dua rasa berbaur. Teruja, dan berdebar. Teruja kerana saya juga berperanan buku ini terbit (walau hanya di belakang tabir), berdebar kerana saya menunggu reaksi orang yang membaca; dan juga reaksi si penulisnya sendiri selepas saya 'mengerjakannya'.

Sungguh, saya 'menolak' perasaan si penulisnya ketika menangani naskhah ini. Saya ikut cara saya, sebab saya kan 'editornya'! Bukan senang hendak selaraskan sebuah manuskrip yang terdiri daripada ramai pengarangnya. Memang tak terselaras. Apa yang boleh dibuat, saya buatlah. Asalkan tidak hilang rasa dan perasa penulis asalnya sudah. Pun, saya merasakan saya sudah menangani buku ini dengan cara bermaruah.

Cuma bila siap, saya rasa kasihan. Kasihan pada penulisnya. Ada yang saya edit bukan main lagi, wah konon akukan editor? Ketika ini baru terbit rasa yang berbaur, kasihanlah, tak tergamak buatlah kalau diberi sekali lagi, saya bersalahlah, macam-macam rasa. Saya tak tahu apa respons si penulisnya bila membacanya, mungkin terkujat melihat ada yang hampir separuh saya cencang dan buang, yang pada saya tak bererti apa-apa. Kerana akukan, editor!

Cuma saya teringat, satu masa dulu SN Anwar Ridhwan pernah beritahu saya untuk sesetengah novel Arena Wati, ada yang pernah dipotongnya lebih seratus halaman. Berdasarkan cerita ini, saya kembali yakin dan waras bahawa kerja saya betul. Ini, memberikan saya satu pengalaman berharga, yang tak dapat saya pungut dengan termenung di tepi Padang Merbok saja.

No comments: