Wednesday, November 23, 2011

Catatan Singkat Pasca Sukan SEA 2011

Menonton beberapa acara di Sukan SEA 2011, ada dua kesimpulan yang boleh saya cakapkan. Pertamanya, andaikan esok ada sebuah negara baru lahir, dan negara itu mengambil lagu New Kids On The Block, atau lagu Firehouse, atau lagu Radiohead, atau lagu Iron Maideen sekali pun sebagai lagu negara mereka, maka akur dan terimalah kita itu sebagai penghormatan terhadap negara mereka. Tak perlulah kita memperlekeh mereka, menghina mereka, merendah-rendah negara mereka semata-mata untuk merendahkan moraliti mereka, hanya semata-mata kita mahu menang dalam pertandingan. Itu rumusan pertama saya,iya sedikit remeh dan seperti main-main. Memang marah dan kesal bila negara kita diperlekehkan sehina-hinanya seperti itu – malangnya oleh negara yang selalu kita anggap bersaudara, serumpun dan akrab dengan kita.

Tapi rumusan pertama saya itu membawa pula kepada kesimpulan kedua saya; yang tentunya lebih waras. Kesimpulan kedua saya ialah semangat Sukan SEA itu sendiri sebenarnya sudah tiada. Semangat asalnya. Bukan lagi untuk mengeratkan silaturrahim, mengukuhkan perpaduan serantau, lebih mendekatkan kita untuk kita saling berkenal-kenal. Ya, pingat emas itu penting, tapi tidaklah sampai membelakangkan tujuan dan semangat asal temasya besar dua tahun sekali ini.

Saya masih ingat, dekad-dekad lalu, saya begitu mengagumi Lydia De Vega, pelari pecut Filipina, Pakdee tekong takraw dari Thailand dengan rejaman tajamnya, Fandi Ahmad dari Singapura yang seperti ada magis dalam bolasepak, Icuk Sugiarto yang saya kagumi dalam permainan badminton. Kini segalanya bagai memudar. Sukan SEA sekarang hampir hilang penyatuan serantau – kecuali ’mengangakan’ keserakahan negara bertanding, khususnya negara yang menjadi tuan rumah. Sukan sekarang lebih bersifat komersil, dan mahu meraih keuntungan laba semata-mata. Perasaan? Semangat bersama? Ah, kuburkan sahaja!

Memang benar, 100 ribu manusia Jawa di Gelora Bung Karno bukan menggambarkan seluruhnya dari beratus juta rakyatnya di luar sana. Di luarnya, saya percaya masih ramai rakyatnya yang waras, yang baik hati, punya kematangan dalam berfikir. Sama saja seperti kita – bukan semua kita matang juga dalam stadium –di tempat kita ada juga ’acara’ menembak mercun, membaling botol, vandalisme dan membakar bendera bila kalah, kan?

Tapi, yang tergambar sepanjang 2011 ini adalah kengerian dan seperti malapetaka untuk semangat Sukan SEA itu sendiri. Itu pandangan saya. Orang lain saya tak tahulah.

Saya harap pandangan dan ’ketakutan’ saya ini salah – tapi buat masa dan ketika ini, inilah perasaan saya. Juga pandangan saya. Sukan SEA sudah tak ada nilai.

Di dunia nyata – dalam politik dan ekonomi misalnya, kita negara-negara serantau sering sahaja bergeser dan bertelingkah. Spratly yang belum-belum selesai, Pulau Batu Putih yang melukakan, soal batik, soal kebudayaan sering saja mengheret kita kepada bunga-bunga sengketa. Lalu, sukanlah sebagai satu wahana untuk kembali mendekatkan kita, menjernihkan kita, dan langsung mendamaikan kita – sekurang-kurangnya buat seketika.

Tapi, kini nyata – sukan pun tidak mampu mendamai dan menjernihkan kita – bahkan ’sengketa’ yang sepatutnya terlerai di tengah padang diheret ke luar gelanggang.

Sukan SEA 2011 Jakarta-Palembang baru sahaja melabuhkan tirai. Saya hanya mengingat satu nama sahaja – inilah ikon untuk Sukan SEA kali ini. Ada 11 manusia merah-putih di padang, cuma tinggal seorang ini sahaja yang waras! Inilah wira sebenar untuk Sukan SEA kali ini. Orang itu ialah Titus Bonai!

(ii)

Jauh di sudut hati saya, jika politik, ekonomi, sosial membuatkan sering kita bergeser, dan sukan pula tidak mampu menjadi pendamai dan menjernihkan kita, hanya ada satu lagi saja yang mampu menjadi penawar kita – hanya Sastera kita (serantau) yang boleh menjadi penawar, pengaman, pendamai, menjernihkan nurani kita; dan kembali mewaraskan kita. Setidak-tidaknya ini yang tinggal!

5 comments:

awangsulungmerahmenyala said...

Yangggg tinggallll,akuuu...oh!elok juga kalau kedah ambik bonai main dgn depa.

edolah said...

ertinya semangat daripada nyalaan obor itu..adakah sudah terpadam? atau sebaliknya rentung membakar apa sahaja bernama sentimen akibat disimbahi dendam yg tak berkesudahan?

benuasuluk said...

amran,
dengaq kata bonai suka makan pekasam keh keh keh

benuasuluk said...

shukri,
obor tu palsu saja tu.

benuasuluk said...

Sdr. Nuruddin,
terima kasih berkunjung ke sini. Insyaallah, nanti saya berkunjung balas.