Wednesday, May 18, 2011


Perjalanan Singkat 'Kembali' ke Tanjung


Pulau Pinang dulunya bukanlah suatu tempat asing untuk saya. Sewaktu kanak, orang-orang kampung akan membuat rombongan bas ke Tanjung sekurang-kurangnya setahun sekali. Mak akan mengejutkan saya subuh-subuh bangun mandi bersiap menunggu bas sewa khas datang. Itulah antara cara orang kampung saya berhibur atau bercuti ketika itu. Ketika remaja, saya menghabiskan setiap cuti hujung minggu atau ketika cuti sekolah menemankan bapa saudara berniaga di pasar malam sekitar Taman Saadon, Gelugor, di Sungai Batu, di Kampung Melayu Air Itam, di Tanjung Tokong ataupun di pasar tani Balik Pulau. Selepas berhijrah ke KL, saya sudah jarang-jarang dan agak lama tidak ke sana.


Azizi Hj Abdullah, faktor terbesar 'menolak' saya kembali ke sana. Berjanji lebih kurang dengan kawan-kawan, saya, Rahimidin dan Shamsudin bertemu di Rumah PENA Isnin malam sekitar 10 malam untuk menziarahi Azizi. Singgah di tol Tanjung Malim dan Ariff lolos ke dalam kereta Shamsudin menjadikan kami berempat berkereta ke sana. Perjalanan yang cepat, dalam kantuk-kantuk, Shamsudin membawa kami sampai ke pulau pukul 2.45 pagi. Ariff, sebab lama belajar di sana membawa kami ke satu lodging murah untuk melelapkan mata seketika. Tempatnya di Gelugor, kawasan yang pernah saya mesrai dulu. Paginya, bersarapan di Taman Saadon, betul-betul berhadapan dengan tempat saya pernah berniaga di situ. Nostalgia terpupuk dengan sendiri tanpa dipaksa. Cukuplah dengan sebungkus nasi lemuni dan segelas teh tarik.


Di Lorong Kulit, saya tak membeli apa-apa, sekadar meneman kawan-kawan. Tapi kami semua terpaku lama melihat peniaga ubat menjual rumput dari kaki gunung berapi yang kononnya mampu mengubat pelbagai penyakit. Oh, terima kasih untuk Haji Sham kerana membelanjakan kami segugus rumputan dari kaki gunung berapi ini. Di Chowrasta, masa yang singkat dengan memilih buku-buku langka yang tak ada di rak buku kami. Tiga beg plastik hitam menjadikan beg duit saya hampir kosong. Mujurlah masa yang terbatas mengehadkan pilihan dan belian kami. Di tangga bawah teringatkan isteri yang lecah mulut, sempat membungkus jeruk salak dan mangga.


Hujan tengah hari yang lebat menyambut kami di Hospital Pulau Pinang. Kerana Azizi di wad rawatan rapi, saya masuk berdua dulu bersama Shamsudin. Kesian, sebak dan luluh hati menatap keadaannya yang tidak sedarkan diri. Malam tadi cerita Azimah anaknya, jantung Tukya berhenti berdegup selama empat minit. Kerana itu kata doktor keadaannya kini memang kritikal. Doa kami moga diberikan yang terbaik oleh Allah untuknya. Saya berharap suatu hari akan ada panggilan telefon darinya untuk saya 'hoi aku dok kat hotel. Mai ambik aku malam ni kita jumpa kawan-kawan di bucu dewan." Saya tunggukan detik itu. Biarlah saya duduk diam seperti selalu. Saya hanya nak dengar leluconnya dan ketawa. Saya tunggukan smsnya "hang dajai" bila setiap kali saya mengusiknya melalui telefon bimbit. Dan seperti Rahimidin, saya turut memilih Tukya sebagai calon 'Sasterawan Negara Saya.'


Kemudian setelah berpusing antara jalan dan lorong, kami sampai ke rumah SN Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh. Dia menyambut kami dengan ramah di tangga. Idola saya, usik Rahimidin kepada saya. Pisang goreng, karipap, kacang goreng dan teh o panas mengisi antara bual kami. Seperti biasa, saya selalu senyap, kerana dengan senyap itulah saya mengisyaratkan saya hadir dan 'berkata.' Banyak yang diperkatakan, antara hangat, kecewa, harapan dan ghairah sastera. Paling memancing tentulah soalan panas Ariff kepada Muhammad, dan dibalas pula pertanyan oleh Muhammad kepada kami, "hangpa paham ka baca karya dia?" Biarlah selebihnya menjadi rahsia kami berempat. Seperti menyambut kami, Muhammad juga menghantar kami pulang di tangga dengan jabat erat dan lambaian tangan.


Nasi kandar yang terecer. Ziarah Cikgu Shahnon yang berhalangan. Dan memutuskan untuk tidak singgah ziarah Amirul Fakir di Ipoh adalah hasrat tertangguh oleh desakan dan himpitan masa. Tapi saya puas kerana berkesempatan menziarahi Azizi walau pun sedikit terkilan kerana tidak dapat bercakap dengannya.


Tanjung yang dulunya tersangat biasa dengan saya kini menjadi seperti terlalu asing. Jalan rayanya yang dulunya mesra dengan saya kini terlalu jauh dengan saya. Saya seperti masuk ke tempat baru. Ariff dan Rahimidin lebih betah daripada saya kerana pengalaman dan nostalgia mereka di sini dulunya. Nostalgia mereka tentunya lebih berharga berbanding dengan saya sebagai budak kampung yang selekeh mencari duit saku di sini suatu waktu lalu. Namun, nostalgia kami yang berbeza inilah yang menghangatkan perjalanan 24 jam kami ke sini. Shamsudin? Ah dia tentu berbangga memandu ke tanah pulau ini buat kali pertama.


Hujan lebat sepanjang jalan menghantar kami pulang. Di belakang, kami tinggalkan cerita pendek kami. Dan tentunya, doa kami yang basah buat Tukya ...

4 comments:

Sham al-Johori said...

salam tuan,
Ambo ni pak supir aja....seronok dapat tengok kawan chek bahagia.
Amin.
Jom jalan2 lagi.

ekspresi said...

perjalanan yang menambah pengalaman bermakna. lain kali aku nak cari hikayat hang tuah macam hang beli tu.

benuasuluk said...

Aji,
ambo seronok dengar demo berkecek dale kereta. Kawe dengan midin senyum jah hehe. Nanti ada waktu kita gi derat lagi ke tempat lain.

benuasuluk said...

Ariff,
jangan lupa gambar kita tu. Cepat-cepatlah tag