Wednesday, May 25, 2011

1100 Ekar Puisi


21 Mei, Sabtu, petang yang jernih – kami, kelompok penyair projek puisi alam Tanjung Rhu, Langkawi, hadir buat sekian kalinya di ar-Raudhah, Kuang. Memenuhi undangan Tan Sri Tajuddin Ramli.

Majlis sederhana tetapi meriah. Tan Sri berucap seringkas dapat, tetapi maknanya terlontar jauh. Payah hendak cari Tan Sri yang gilakan puisi dan sastera seperti beliau. Saya diberikan penghormatan untuk membacakan biodata kawan-kawan sambil mereka berdiri – kata Rahimidin lagaknya seperti membacakan biodata penerima anugerah Sasterawan Negara (oh saya tak mahu menjadi ‘Awang Batu’). Diiring tepukan, mereka memanjat ke pentas, dan akhirnya antologi 1100 Ekar Puisi terbitan Tanjung Rhu Land; yang hampir setahun kami nantikan berada dalam tangan. Kenapa 1100 Ekar Puisi? 1100 mengambil ‘lambang’ luas keseluruhan tanah Tanjung Rhu di Langkawi.

Minum petang, nasi goreng cina, sup kambing yang lazat, pengat pisang yang menggiurkan dan juadah lain sangat membuka selera (tukang masaknya didatangkan khas dari Tanjung Rhu) sambil bertukar-tukar tandatangan dengan kawan-kawan menghiasi buku mewah kami. Gerimis yang mula menipis, bertukar selebat-lebatnya berselang-seli dengan kilat dan guruh menjadi saksi kegembiraan kami. Saya tak tahu tentang kawan-kawan yang lain, tetapi secara peribadi saya gembira dapat berkongsi satu buku dalam antologi yang sangat mewah bersama-sama kawan-kawan penyair yang lebih senior. Rasanya seperti seronok menerbitkan buku secara solo, malah lebih dari itu barangkali.

Hujan lebat yang ‘melengahkan’ perjalanan pulang kami memberi kesempatan kepada kami, bergilir-gilir membacakan puisi Tanjung Rhu secara tak dirancang. Barangkali inilah kali pertama baca puisi berkumandang di ar-Raudhah yang mencapai keluasan tanahnya 500 ekar. Hanya sayang Zaen, Zakir dan Dr. Siti Zainon tidak dapat hadir bersama kami.

Hujan reda. Dan kami pulang dengan rasa tak terungkap. Cuma, sedikit sayang buku edisi mewah bersaiz cofee table ini tidak dijual. Bersabar beberapa waktu lagi, antologi puisi ini akan dicetak kemudiannya dalam edisi buku biasa untuk dijual. Harap-harap sesegera mungkin. Oh, kredit terbaik dari kami untuk sahabat kami, Azalan yang memungkinkan antologi ini menjadi sangat cantik, eksklusif dan penuh erti. Memang, Azalan Sinaganaga adalah ‘King of Kaver’.

Saya tiba-tiba rindukan Tanjung Rhu. Seperti ada sesuatu yang tertinggal di sana; seperti yang saya coretkan dalam puisi yang saya bacakan pada petang yang bererti itu ...

2 comments:

Rahimidin Z said...

Wan, kalu ada sesuatu yang tertinggal, pi la balik kat sana tu...

benuasuluk said...

Ngah, jomlah kita pi lagi. Jangan ajak naga keh keh