Tuesday, May 31, 2011

Mei yang Tersangat Panjang

Moga ia segera berlalu. Mei bulan yang menghimpunkan saya beberapa cerita galau, rusuh, sesak; ada duka di dalamnya. Ia bukan tentang diri sendiri saja, bahkan sesiapa saja yang berada di seputar diri. Saya perlu melupakan kepahitan, dan bingkas sedar. Perjalanan masih panjang. Saya perlu berdiri, seperti dulu. Semangat perlu dipulihkan, niat perlu diperbetulkan. Teringat nasihat teman baik - jangan terlalu sangat mengeluh.

Suatu petang. Saya bertemu seorang teman lama. Di suatu tempat yang agak asing bagi saya. Agak lama tidak bertemu. Kami bercakap dan bercakap. Bertukar cerita. Ketawa panjang mengingat kisah lalu. Bercakap juga tentang kawan-kawan kami yang lain. Dia gembira. Saya, membawa duka dalam rasa gembira bertemunya; setelah beberapa tahun tak bersua muka. Hanya sebelum betul-betul mahu berangkat pulang, dia membentangkan pengalaman getirnya hampir setahun ini. Tentang sukarnya hidupnya kini. Saya tumpang sedih dan simpati. Apalah salahnya berbagi duka dan sedih seorang teman baik. Dan, saya tahu sahabat saya ini wanita yang kuat dan tabah. Ini masa Allah mengujinya.

Suatu petang yang lain. Saya bertemu dengan teman yang lain. Di warung yang menjadi kebiasaan saya. Ada urusan kerja yang perlu disegerakan. Bercakap dan bercakap. Bertukar pandangan. Cuma, entah kebetulan dengan cerita teman di atas, sebelum kami berpisah, dia membentangkan payahnya hidupnya kini. Hampir tiga bulan ini hidupnya kalang-pukang dan tidak terurus. Dia hilang 'dunianya' yang lalu. Saya, menyimpan simpati yang dalam. Saya tahu, dia lelaki, suami dan ayah yang sangat baik, tabah dan kuat dalam kehidupannya. Ini masa Allah mengujinya.

Saya muhasabah kembali. Kedukaan saya cuma seperti debu yang diterbangkan angin cuma, berbanding dengan kisah hidup teman-teman saya yang sangat menyayatkan hati. Akhirnya saya sedar, saya belum rugi apa-apa, atau hilang apa-apa. Saya patut bersyukur dengan apa yang saya miliki kini. Sudah sampai masanya saya mahu mengurangkan sedikit keluhan demi keluhan; atau kalau mampu mahu saja membuang segala keluhan. Hidup ini akhirnya akan sampai ke satu titik.

Mei yang tersangat panjang. Dan beberapa cerita duka. Tentang saya. Dan tentang teman saya. Semoga segera berlalu semua duka. Sepanjang ini, ada beberapa hemah dan hikmah yang sempat saya temui. Inilah hidup, selain bahagia dan gembira, ada juga catatan sebaliknya...

2 comments:

MARSLI N.O said...

Sdr Benuasuluk: Terima kasih kerana menghamparkan sebuah kisah yang menginsafkan.

MARSLI N.O

benuasuluk said...

Sdr. Marsli,
semoga begitu. Amin