Monday, May 16, 2011

16 Mei Guru

Hari ini hari guru. Semua orang tahu. Saya tiba-tiba terkenangkan almarhum Long Baharom, guru muqaddam saya. Madrasah kayu kami telah tiada, berganti batu. Tapi Long sudah pergi. Semoga tempatnya di sana adalah tempat terbaik untuk para solehin. Amin.

Saya teringat Cikgu Khatijah, cikgu pertama yang melenturkan aksara saya, mengajar tulis baca. Setidak-tidaknya, hari ini saya menjadi orang.

Di kocek baju saya, sentiasa saya bawa pen parker, yang dihadiahkan kepada saya pada 1993 dulu oleh Cikgu Mustapha Abdul Hamid, PK HEM di Sek. Men. Dato’ Syed Omar. Sudah 18 tahun saya jagai pen ini dengan baik. Ia seperti semangat saya. Dengan kerjaya sekarang, kedudukan sekarang, gaji sekarang, saya mampu membeli lebih daripada sebatang parker. Tapi saya tetap mengingati parker yang Cikgu Pa berikan.

Cikgu Hassani Dali, guru sastera pertama saya, khabarnya kini menjadi pensyarah di IPDA. Selamat panjang umur, murah rezeki. Ada ketentuan, saya ingin berjumpa Cikgu. Guru sastera MPR saya, Othman Puteh sudah tiada. Al-Fatihah. Hizairi Othman, tutor sastera saya di UPM entah ke mana kini. Moga sejahtera selalu. Ali Majod , Azizi Abdullah sedang menderita sakit. Moga diberikan yang terbaik untuk kalian.

Kepada isteri, semoga terus seronok menjadi guru. Tapi andainya esok mahu segera berhenti atau bersara awal, yuk silakan, saya restuinya. Moga-moga ada lebih masa untuk kita kembali seperti dulu.

Mak dan Ayah, guru saya selamanya.

Selamat menyambut hari guru kepada semua guru. Pelita zaman yang tak terpadamkan ...

No comments: