Wednesday, May 11, 2011

Periuk Nasi Bukan Seperti Tudung Periuk Atau Periuk Kera

Saya sudah di sini hampir 10 tahun, ini tahun kesembilan (16 Mei ini cukup saya sembilan tahun di sini). Bermakna kalau sudah sampai ke takah ini bererti saya sayangkan tempat kerja saya; atau tempat cari makan. Sayang dan setia. Bila saya mengata-ngata di FB atau blog bukan bermakna saya sudah tidak sayang atau tidak lagi setia dengan tempat sekarang. Meluah secara menulis ini adalah terapi jiwa saya.

Ya saya akui, saya sedang melewati tahun-tahun dan musim suram dalam dunia kerja. Tak, saya seronok dengan dunia saya, saya seronok dengan dunia kerja saya. Sebagai Pegawai Kebudayaan dulunya, atau kononnya kini sebagai pensyarah. Saya tak pernah mengaku saya pensyarah. Ini bukan cita-cita saya.

Tapi sekarang saya kena mengaku waktu kini sudah tidak seperti dulu lagi. Tidak lagi seghairah ketika menaiki lif menuju tingkat 33 di bangunan Empire Tower, tempat Akademi Seni Kebangsaan (dulunya) menyewa sebelum kampus ini siap. Tidak seghairah ketika kaki saya jejakkan ke tanah kampus “Anak Alam” 2004 lalu. Tahun-tahun sebelum 2010 adalah tahun-tahun saya seronok bekerja. Ya, saya pernah dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2009 lalu. Saya tidak pernah anggap saya cemerlang. Cukuplah saya katakan ketika itu saya seronok bekerja. Tentu anehkan seorang kakitangan yang mendapat APC pada tahun sebelumnya, kemudian dalam tempoh yang sekejap amat prestasinya menurun, bekerja ala kadar dan terus merosot. Yang ini “orang atas” wajib ambil tahu kenapa stafnya boleh jadi begini.

Keseronokan bekerja ini akhirnya melibatkan emosi, sikap dan tindakan bila menyentuh soal periuk nasi. Rupanya susah juga nak memahamkan orang beza tiga perkara antara "tudung periuk", "periuk kera" dan "periuk nasi". Dan sedihnya hal yang melibatkan "periuk nasi" selalu dianggap seperti tak ada apa-apa untuk orang-orang atas seperti ini; yang kononnya sangat bitara bila saja memiliki kesarjanaan dan kedoktoran. Maaf, saya selalu saja pesimis, skeptikal dan sinikal dengan orang jenis ini; kerana lambang 'doktorat' itu bukan bermakna kita tahu semua perkara.

Bila tidak tahu semua perkara, maka rendahkan hati dan jiwa sebagai orang atas untuk mendekati permasalahan tempat kerja, terutamanya mendengar ‘suara’ orang lama. Percayalah, ‘ular menyusur akar tidak hilang bisanya.’ Kalau ini berlaku, percayalah andalah ketua yang selalu dikenang dan hidup dalam ingatan pekerja anda.

2 comments:

MARSLI N.O said...

Sdr RH: Bertahan.

benuasuluk said...

Sdr. Marsli,
sedang bertahan. terima kasih atas sokonganmu.