Tuesday, April 12, 2011



Selepas Rebab Berbisik

Saya agak jarang menonton teater, dan sudah agak lama juga tidak menonton. Ke IB untuk menonton lagilah lama saya tak pergi. Kalau pergi pun hanyalah sekadar ke bilik kecil editor Pentas. Tak lebih itu. Itu pun sekarang agak jarang ke sana. Berjumpa di Bucu lebih baik kadang-kadang. Saya tak ingat tahun bila kali terakhir ke IB untuk menonton. Rasanya masa Anak Kerbau Mati Emak arahan abang Meor. Itu kali terakhir. Di ASWARA pun sudah agak lama juga saya tidak menonton; walau hampir saja setiap semester ada tiga empat, atau lima persembahan.

Maka bila ahad malam, saya berpapasan dengan seorang kawan, staf IB di kafe IB, dia seperti kaget melihat saya. Datang menonton, tanya sahabat ini? Saya jawab ya, dan datang untuk menyokong kawan-kawan. Saya tak reti ke IB kalau hanya menayangkan ‘teater’ berbentuk muzikal. Sungguh! Apa yang muzikalnya? Sejak saya masuk kerja di kementerian ini pada 2002, saya lihat institusi ini lebih tersihir dengan muzikal. Maka, kerana bukan selera saya, saya pun tak angkat tahulah. Lagi pun saya bukan ‘ahli’ dalam teater, jadi tak usah angkat tahu dunia dan kerja orang. Saya hanya ada satu kelebihan saja – iaitu untuk memilih; menonton atau tidak. Belajar satu dua kursus drama (Melayu) di universiti dulu banyak memberi saya kefahaman untuk memilih.

Kata kawan baik saya – teater di Malaysia ini tak ada masa depan. Ayat ini tidak sengaja saya dengar di suatu pojok suatu hari, bila seorang pelajar sebuah universiti menemuramahnya untuk suatu kajian. Bila ada orang temuramah kawan saya ini, bermakna kawan saya ini memang ada ‘apa-apa’, ahli dalam bidang tersebut dan tahu tentang dunia teater. Kalau tak, takkan dia berani cakap begitu? Saya mendengar dan mencatat dalam kepala. Dan agak lama ayat itu berulang dalam kepala saya – bergulir antara sekian banyak teater (dan sekian muzikal tentunya) berlangsung sekian waktu di IB, ASWARA, Stor DBP, Panggung Bandaraya, DBKL, panggung-panggung universiti atau mana-mana saja.

Jadi, saya hadir kali ini bersama Lutfi, Zakir dan disertai Rebecca dengan alasan, hanya mahu menonton teater, dan menyokong kawan-kawan tentunya – Rahimidin yang menulis naskhah dan mengarah, Rosnan yang menjadi pemainnya. Tak lebih dari itu. Hendak menyokong dunia teater, saya bukan orang teater. Jadi, menonton sajalah. Rebab Berbisik saya sudah menonton dulu, rasa tak puas. Bila Rahimidin beritahu skrip ada perubahan dan penambahan, saya kata saya mesti tengok.

Bukan senang untuk memainkan empat watak sekali gus dalam persembahan berbentuk monodrama yang memakan waktu sejam lebih sedikit. Tapi Rosnan berjaya dengan sangat cemerlang, dan penuh memukau. Payah untuk mencari pelakon yang mampu beraksi sepertinya – terutama babak satu itu saya kira. Penglibatannya dalam persembahan makyung sangat membantunya. Babak dua saya kira tersangat pendek dan penghantaran ‘makna’ pun seperti ‘pendek’. Patut boleh dipanjangkan sedikit, dan Rahimidin tentunya boleh lebih ‘mengata’ kalau dipanjangkan babak ini. Saya faham naskhah pengarang dengan mengulit persembahan ini, walau pun sesekali sedikit ‘terganggu’ dengan loghat Kelantan Rosnan. Saya ‘maafkan’ Rosnan, sebab dia bukan orang Kelantan – dia orang Pokok Sena. Tapi itu sikit pun tidak mengganggu atau mencacatkan perjalanan dan persembahan cerita.

Tapi bila saja Rosnan beralih ke babak akhir, di sinilah terletak kecemerlangan Rosnan. Rosnan pukul habis. Tak ada kata-kata terbaik untuk menetaskan makna kehebatannya. Gamat dan pecah panggung, terutama adegan nyanyian dangdut ala-ala Hetty Koes Endang bersama Roslin Hashim, pemain badminton negara yang juga datang menonton. Roslin diheret ke pentas dan menjadi mangsa Rosnan (atau mangsa Rahimidin di kertas sebenarnya?). Dan sahabat kami, Zakir kalau tidak memuji “Mimie” dengan perkataan “Cantik” sudah pasti terjadi adegan Zakir meriba ‘pondan’.

Oh, gesekan rebab Pak Brahim juga tak mengecewakan, walau saya tahu itu belum Pak Brahim ‘all out’. Mungkin masalah kesihatannya. Pernah dulu tengok masa dia naik ‘syeikh’ meremang bulu roma saya.

Saya balik (sebenarnya ke Bucu dulu hingga 1.30 pagi) ke rumah dengan rasa puas. Sebab kawan-kawan yang saya datang sokong memberi saya kepuasan. Saya percaya dalam dunia teater, naskhah yang cemerlang tetap ‘berdiri’ di hadapan. Lakonan pelakon yang cemerlang akan menjadi lebih cemerlang bila ada naskhah yang berkualiti, dan menjadi lebih lengkap di tangan pengarah yang tahu mengarah. Payah sekarang hendak mencari naskhah drama pentas yang benar-benar bagus. Agak lama menunggu dan mencari di mana hilangnya naskhah yang baik-baik. ASWARA yang mendidik calon penulis di Fakulti Penulisan, dengan menawarkan pengkhususan drama pentas pun tak mampu menanggung ‘beban’ ini. Dan, mujur di tengah-tengah sekian muzikal demi muzikal, Rahimidin berdiri dan mampu mengisi sebahagian kekosongan dan ‘kesepian’ dunia teater di Malaysia. Sekurang-kurangnya Rahimidin mampu membuatkan saya untuk menonton dan berfikir. Itu pandangan sayalah, maaf kalau tak bersetuju. Sekali lagi, saya akui saya bukan orang teater. Saya puji kawan-kawan? Tak apalah, saya memang nak puji kawan-kawan.

Dunia teater? Biarlah begitu, saya ulang ayat kawan saya dulu. Dan selepas Rebab Berbisik saya tak tahu bila dan di panggung mana pula saya akan singgah. Ya, hanya untuk menonton; atau sesekali menyokong kawan-kawan. Kalau bernasib baik, sesekali boleh membuatkan saya berfikir. Kalau boleh berfikir, itu terapi dan bonus rohani untuk saya.


4 comments:

Rahimidin Z said...

Hi! Hi! Takdok sapo nak komen..sebab kengkawan beberapa orang je yang pergi tengok. Yang tak pergi abang dah delete sebagai kengkawan. Ha. Ha.

benuasuluk said...

Ngah, he he.

edolah said...

hok oloh...berat tu! kawe demo delete jgk kor, sheikh ?

benuasuluk said...

kri, abihlah hang nama hang pun turut terpadam ha ha