Thursday, September 23, 2010

Membaca Kembali Catatan Marsli

Marsli N.O, ada menulis perihal diri saya dalam akhbar Siasah keluaran 12-18 September lalu. Sebelumnya, saya ada juga membaca catatan-catatan Marsli tentang penulis-penulis lain. Catatan Marsli itu susulan percakapan maya beliau dengan saya. Sudah pasti percakapan secara maya ini akan menjadikan beberapa hal lain tidak tersentuh, atau terecer, dalam kalut-kalut. Memang tidak puas bercakap secara maya.

Pun, sebagai seorang penulis (?) kecil, saya hargai sikap dan usaha Marsli. Terus terangnya, saya lebih selesa menjadi penulis pinggir; yang selesa berada di luar “pagar.” Biarlah, saya selesa begini. Saya suka kalau orang tak tahu saya penulis pun. Lagi pun, karya tak banyak, jadi segan mengaku diri penulis. Kalau dalam majlis apa-apa pun, saya lebih selesa diam. Saya senang berada di pinggir. Itu yang saya nyatakan kepada Marsli sebelum kami bercakap maya. Jawab Marsli, saya melihat sdr.! Jadi, saya hargai ini, usaha Marsli.

Teringat-ingat pertanyaannya apa yang saya mahukan daripada puisi? Dan jawapan yang saya berikan – saya tak mahukan apa-apa, cukuplah saya yang memberi, walau sedikit; puisi perlu terus hidup kerana puisi selamanya akan kekal sebagai puisi.

Selebihnya, sebagai orang muda, orang baru, orang kecil, orang pinggir, orang di luar pagar, catatan Marsli setidak-tidaknya memberi saya inspirasi yang lain.

2 comments:

aie said...

dah jumpa artikel dalam suratkhabar yang hang cari ari tu?.. kalau dah ada, jangan lupa upload..

benuasuluk said...

ayie, dah ada; Marsli yang kirimkan, nak baca turun mai bawah ja :-)