Tanjung Rhu: Catatan-catatan Singkat
(edisi terlambat)
(edisi terlambat)
28 April - 2 Mei 2010, ke Langkawi untuk Projek Puisi Alam di Tanjung Rhu. Ini kerjasama antara penganjur, Tanjung Rhu Land dengan Fakulti Penulisan ASWARA. Tanjung Rhu Land diketuai oleh Tan Sri Tajudin Ramli, bekas orang besar MAS suatu masa lalu. Seminggu sebelum berangkat, sebahagian kami sempat berjumpa dan meramahi Tan Sri Tajudin di Kuala Lumpur Golf & Country Club di Bukit Kiara. Sungguh, kami yang hadir petang lembab itu – SN Dato’ Anwar Ridhwan, A. Rahim Abdullah, Shamsudin Othman, Rahimidin Zahari dan saya sangat kagum tentang pengetahuan seni dan sastera Tajudin. Selain humble, dia juga sangat ambil tahu tentang dunia seni – dan bahasa tentunya; malah pengetahuannya tentang sastera lebih hebat daripada “Awang Batu” yang ditulis Rahimidin. Diceritakan kepada kami hasratnya untuk kami melakukan projek puisi alam ini. Sebelum ini beliau sudah membawa satu grup pelukis dari UiTM untuk melukis panorama di Tanjung Rhunya. Tujuannya tidak lain; atas kesedarannya untuk mempertahankan ekologi dan keindahan alam sekitarnya. Tanjung Rhu hasratnya akan dibangunkan dengan azamnya untuk meminimakan sehabis mungkin kerosakan alam dan menitikberatkan kelestarian alam. Semua ini terkandung dalam kertas kerja kami – dengan kata kuncinya hablumminAllah hablumminannas.
Maka pada 28 April, kami 13 semuanya – ditokok oleh Ahmad Sarju, Siti Zainon Ismail, Zaen Kasturi, S.M. Zakir dan empat pelajar ASWARA – Nur Fatiha, Rabiatuladawiyah, Siti Fairuz dan Khalila berangkat ke Tanjung Rhu, Langkawi – mencerap alam siang dan malam di Tanjung Rhu selama lima hari. Rupa-rupanya menulis puisi dalam keadaan terancang begini; ditokok pula dengan kesenangan dan kemewahan di sini menjadikan tersiksa jiwa untuk menulis. Cadangan asal kami akan menyerahkan puisi kami kepada penganjur pada hari akhir tidak terlaksana. Kami bawa pulang ke KL untuk diperkemaskan dan akan hantar kembali sesegera mungkin.
Di bawah ini catatan ringkas saya mengikut hari serba sedikit. Yang lebih detail, biarlah menjadi kenangan kepada kami 13 semuanya.
28 April
Selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa, Langkawi 9:25 pagi – terus berangkat ke hotel, Tanjung Rhu Resort. Mak datuk, punyalah kelas penginapan kami disediakan Tan Sri. Saya cakap kepada Rahimidin kalau kami jadi KSU Kementerian pun takkan dapat kelayakan untuk bermalam di sini dengan kadar sebagai anggota perkhidmatan awam. Penginapan ditokok dengan makan kadarnya hampir mencecah RM 2,000.00 sehari untuk satu kepala. Selepas check in, kami mendengar taklimat oleh Dekan Fakulti Penulisan, SN Dato’ Anwar Ridhwan tentang objektif program, dan kemudiannya mendengar hasrat orang Tanjung Rhu Resort sendiri. Haji Shukri mewakili Tan Sri yang tidak dapat hadir atas urusan di luar negara. Kami diberitahu bahawa keluasan keseluruhan Tanjung Rhu ini ialah 1,100 ekar.
Sesi pertama di sebelah petang, kami dibawa melawat bahagian daratan Tanjung Rhu. Bersama kami, Encik Zoher seorang naturalist yang sangat mengagumkan kami dan Encik Sharidan (yang rupanya orang Pokok Sena), Penolong Pengurus Komunikasi Tanjung Rhu. Penerangannya kepada kami sangat jelas, teliti – dia seperti betul-betul memahami bahasa alam. Kami berkenalan dengan bakau, pasir, dan cemara yang berkeliling. Asyiknya tak dapat nak diterangkan. Ketika matahari mula jatuh, kami berjalan di beting pasir – melihat teritip dan tapak sulaiman di putih pasir. Saya hanya boleh kata wow!
Malamnya, kami bersama Pak Ali, penduduk asal Tanjung Rhu mendengar cerita asal sejarah tempat ini. Saya diam sepanjang ceritanya, menyalin percakapannya dalam benak. Sah, ini akan menjadi inti sajak saya nanti. Saya ralit mendengar ceritanya tentang Pulau Tuk Umai atau Pulau Panglima. Saya membayangkan siang tadi Zoher sudah menunjukkan tapak kampung asal di seberang sungai – kini sudah kosong tidak berpenghuni lagi. Aduh, sajak saya semakin ada...
Pak Ali (berketayap) bercerita
29 April
bersedia untuk ke Pulau Panglima
Eksplorasi kami teruskan di hari kedua. Dari awal pagi hingga matahari tegak di kepala, kami menaiki bot membelah laut – destinasi kami Pulau Panglima. Memang kami berlama-lama di sini, tanpa sedar. Kami masuk ke alam hijau – bakau minyak, bakau kurap, bakau putih, api-api putih, pisang-pisang, tumu, janggus (gajus), tamarind dan macam-macam lagi. Dan kami seperti masuk ke benua gelam – nama saintifiknya maleluca lucadendren. Saya percaya mesti ada dua tiga penyair akan tulis pasal pokok gelam ini.
selepas letih melilau di Pulau Panglima
Kemudian kami menyusur beberapa pulau kecil di sekitarnya – Zoher masih tidak jemu-jemu memberi penerangan. Saya bertanya Zoher bagaimana beliau dapat mencerap semuanya dalam mindanya, dan berapa lama ia mengambil masa untuk diingat – jawapan Zoher mengagumkan saya. Baginya, setiap hari adalah suatu yang baru baginya. Apa yang dilihatnya pada setiap hari adalah perkara dan benda baru. Percakapannya bukan diulang-ulang seperti dirakam. Dia memang sensitif – apa yang kami tidak nampak atau dengar- dia dapat menangkap semuanya. Di tengah pulau-pulau bakau dan helang merah di atas kepala, dia menawarkan saya untuk mencuba memandu bot – sesuatu yang tak pernah saya lakukan seumur hidup saya. Ingat lawak, rupanya serius. Pergghh, saya diberitahu Zaen mengucap panjang dan Dato’ mati kata-kata dalam bot ketika saya memandu. Haha. Perkara ini menjadi gurauan kepada kami. Tengah hari, dalam penat, muka kemerahan tetapi wajah dan hati yang terasa puas, bot kami menuju semula ke daratan di Tanjung Rhu.
pakat mendengar Zoher si naturalist memberi penerangan
Malamnya ada acara barbeku di tepi pantai. Makanan enak-enak dan mewah-mewah. Selepas makan, sekitar 10 malam sekali lagi kami menaiki bot meredah segara. Kali ini acara memancing. Cikgu Ahmad Sarju dan Haji Rahim mohon tidak ikut, atas alasan kesihatan. Maka, dua buah bot meredah gelita malam. Saya memilih bot yang Shamsudin menjadi juragannya bersama-sama Zakir, Rahimidin, Zoher, Khalila dan Fatiha. Sebuah bot lagi yang juragannya Zaen disertai Dato’ Anwar, Siti Zainon, Rabiatul dan Fairuz. Beberapa kali beralih tempat kerana ikan tidak menangkap. Ketika Dato’ Anwar keriangan dan Siti Zainon menjerit ria mendapat ikan, satu bot kami menganga dan menguap tak dapat apa lagi. Hanya ketika benar-benar terlalu lama barulah pancing Shamsudin mengena seekor kerapu. Jenahak yang saya rindu-rindu sampai ke sudah tak dapat-dapat. 2:00 pagi kembali ke hotel dengan pengalaman yang menguja. Ketika di atas katil saya masih rasa bot saya seperti masih beroleng-oleng.
30 April
Pagi, acara hanya di sekitar hotel. Minum berlama-lama sambil berbual-bual. Jemu berbual, balik ke kamar dan mencatat sesuatu. Tengah hari putih dalam hujan renyai, dihantar Cik Ani yang baik ke Masjid An-Nawawi, Ayer Hangat untuk solat Jumaat. Petang, acara bebas, kami memilih untuk ke Kuah. Estima Kak Siti Zainon awal-awal lagi berangkat keluar, dan singgah merayap entah ke mana. Kami yang sengaja lambat ini terus ke Kuah. Mabuk coklat sekejap. Saya terasa tawar. Tak ada apa yang mahu dibeli. Lagipun ini bukan kunjungan pertama saya. Otak penuh dengan sajak, penuh dengan bakau, cemara, helang, beting pasir.
beting pasir, petang - berhadapan dengan Tanjung Rhu Resort
Malamnya kami berkampung di Pavillion – mengadap laptop dan mula menulis. Besok semua orang akan membentangkan puisi masing-masing – tak ada yang terlepas. Saya tidak tersedar entah pukul berapa Zaen menghilangkan diri, ghaib tiba-tiba di tengah kami yang memilih diam; dan sesekali berlucu di tengah lengking puisi.
1 Mei
Pagi ini bermula sesi pembentangan puisi. Sayang Kak Siti sudah pulang dulu pagi ini kerana ada acara bertindih. Dato’ Anwar memulakan pembentangan puisinya dahulu. Melihat puisnya kami sudah gelisah melihat susunan, keteraturannya dan “kebersihan” karyanya. Kemudiannya Haji Rahim. Kan saya cakap dari hari sebelumnya, mesti akan ada yang merakam tentang meleluca lucadendren! Kemudiannya Cikgu Ahmad Sarju yang tak pernah putus-putus di mulutnya menyebut perkatan “lumayan’ membentangkan karyanya. Ahmad Sarju kami beri ruang kepadanya untuk menulis pantun. Namun, dia memberi bonus kepada kami dengan membentangkan beberapa buah puisinya.
Petangnya, kami berehat sebentar dan ada acara bebas. Saya, Rahimidin, Zakir, Shamsudin dan Zaen memilih untuk ke Makam Mahsuri. Sayangnya kali ini Cik Ani yang baik tidak menghantar kami. Sudah banyak yang berubah di sini, kompleksnya lebih baru, tersusun dan lebih cantik dari dulu. Ramai orang berjual-jualan. Makam tetap masih di situ dan masih seperti dulu. Di dalam kawasan makam, kami terpukau oleh sihir si burung merak. Keluar dari Makam, singgah membeli minyak gamat. Saya tengok saja kawan-kawan membeli gamat. Tak tahulah saya kot-kot dalam diam Haji Sham membeli minyak belacak, :-).
Petangnya, kami berehat sebentar dan ada acara bebas. Saya, Rahimidin, Zakir, Shamsudin dan Zaen memilih untuk ke Makam Mahsuri. Sayangnya kali ini Cik Ani yang baik tidak menghantar kami. Sudah banyak yang berubah di sini, kompleksnya lebih baru, tersusun dan lebih cantik dari dulu. Ramai orang berjual-jualan. Makam tetap masih di situ dan masih seperti dulu. Di dalam kawasan makam, kami terpukau oleh sihir si burung merak. Keluar dari Makam, singgah membeli minyak gamat. Saya tengok saja kawan-kawan membeli gamat. Tak tahulah saya kot-kot dalam diam Haji Sham membeli minyak belacak, :-).
Malamnya sekali lagi kami berkampung di Pavillion Tanjung Rhu Resort. Sebahagian yang belum membentangkan puisinya terus membentangkan malam ini, termasuklah saya sendiri. Terakhir membentang ialah Zaen. Banyak pendapat, teguran, perkongsian pandangan yang kami bincangkan bersama bagi membaiki karya. Banyak perkara yang kami bualkan. Keputusan dibuat, Jumaat depan akan berjumpa di ASWARA untuk membincangkan puisi bagi tujuan penerbitan buku. Tan Sri tidak mahu menunggu lama, jadi pembaikan karya harus disegerakan dan dihantar kepada penganjur.
Tengah malam, habis acara, semua Tok Bomoh merayap berlima ke tepi pantai, merebah diri di bangku pantai merenung bintang di malam gelap dan menyerah diri kepada embun malam. Berbual-bual dan ketawa-ketawa.
2 Mei
Hari terakhir di Tanjung Rhu Resort. Semuanya sudah malas bergerak. Penerbangan 7:10 malam nanti. Masa masih panjang. Selepas minum, semua acara sendiri-sendiri. Saya naik ke kamar dan mahu berkemas. Saya mahu berlama-lama dalam kamar 211 sendirian (sama seperti nombor rumah lama saya di Serdang dulu). Tepat pukul 5:00 petang kami berkumpul di lobi dan mula bergerak meninggalkan Tanjung Rhu Resort menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Sharidan, menghantar kami dengan jabat erat di pintu kereta. Saya mengintai bayang-bayang Cik Ani yang baik, dan Yuni yang mesra sebelum berangkat. Malangnya, tiada. Seperti ada sesuatu yang tertinggal jauh ...
6 comments:
Tuan,
Aduh, aduh, aduh...
Catatan kembara yang penuh makna tersirat.
Teruskan perjuangan kita.
Tahniah,
catatan yang indah dan mengharukan.
tuan madrasah,
kena pergi balik le sheikh, balik KL sedar-sedar hati terjatuh kat sana. Kena pergi cari ni hehe
abang im,
zaenlah si helang merah perkasa
rahimidinlah si wangi kemuning
shamsudinlah si kelambaya yang menawan
zakirlah si bukit batu kapur penuh rahsia
akulah si beting pasir yang timbul dan tenggelam dalam lipatan ombak laut
hehehe SN gelak sakan tengok ayat ni, :-)
tak tinggal Yuni tu ya, En Wan :)
Yuni tu ikon tg rhu apa
Post a Comment