Laporan Panel Penilai Sayembara Menulis Puisi Sempena Gema Merdeka Muzikal Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Kedua
Sayembara Menulis Puisi Sempena Gema Merdeka Muzikal Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Kedua adalah anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Sayembara menulis puisi untuk Tun Abdul Razak pernah dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Pahang dan Sekretariat Penulis Muda DPMP pada tahun 2003, yang telah menghasilkan antologi Mengenang Negarawan Ulung (LMNP:2003), mengandungi 54 buah puisi karya pemenang dan juga penyair jemputan.
Sayembara Menulis Puisi Sempena Gema Merdeka Muzikal Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Kedua adalah anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Sayembara menulis puisi untuk Tun Abdul Razak pernah dianjurkan oleh Lembaga Muzium Negeri Pahang dan Sekretariat Penulis Muda DPMP pada tahun 2003, yang telah menghasilkan antologi Mengenang Negarawan Ulung (LMNP:2003), mengandungi 54 buah puisi karya pemenang dan juga penyair jemputan.
Panel telah menerima sebanyak 85 buah puisi yang dihasilkan oleh 60 orang penulis. Sayembara ini dibahagikan kepada tiga kategori: Pelajar Sekolah Menengah, terdapat 16 buah puisi oleh 12 orang peserta; Penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta sebanyak 35 buah puisi dengan 27 orang peserta, dan Kategori Dewasa sebanyak 34 buah puisi dengan 21 orang perserta.
Hasil penilaian sayembara ini, pihak panel mendapati kelemahan yang ketara, ramai peserta yang condong menulis tentang slogan dan propaganda mengenai tokoh yang mereka tulis. Oleh kerana slogan dan propaganda yang berlebihan, menyebabkan puisi kehilangan nilai estetiknya. Terdapat juga puisi yang terlalu prosaik dan polos –bercerita dan menyalin kembali kisah hidup Tun Abdul Razak, dari zaman kelahirannya sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah. Tidak terkecuali ada pula puisi yang membiarkan kesalahan fakta, umpamanya Tun Razak meninggal dunia pada tahun 1976, tetapi dicatatkan di dalam puisi peserta pada tahun 1972. Hal-hal ini amat diperhatikan dan diambil berat oleh panel penilai.
Setelah penelitian yang adil dan saksama dibuat, panel penilai bersetuju untuk memilih karya-karya berikut sebagai pemenang Sayembara Menulis Puisi Sempena Gema Merdeka, Muzikal Tun Abdul Razak. Bagi Kategori Pelajar Sekolah Menengah, senarai pemenangnya sebagaimana berikut:
Hadiah Pertama : Tun Abdul Razak: Legasi Patriot Bangsa
Hadiah Kedua : Jasamu Akan Kukenang
Hadiah Ketiga : Pahlawanku
Hadiah Saguhati : 1. Kau Wira Pembangunan
2. Perwiraku
3. Cetera Bapa Pembangunan Negara
4. Seorang Tokoh Yang Berjasa Kepada Negara
5. Semuanya Keranamu
Bagi Kategori Penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta senarai pemenangnya:
Hadiah Pertama : Nakhoda Bangsa II
Hadiah Kedua : Madukara di Pohon Persada
Hadiah Ketiga : Sebutir Permata di Taman Nusantara
Hadiah Saguhati : 1. Kau Wira Bangsa
2. Wira Pertiwi
3. Kerana Jasanya
4. Memoir Seorang Pejuang
5. Tun Abdul Razak: Nyanyi Ini Tiada Hentinya
Bagi Kategori Dewasa pula senarai pemenangnya adalah sebagaimana berikut:
Hadiah Pertama : Lelaki Mawar di Puncak Tamadun
Hadiah Kedua : Kerinduan Ini…
Hadiah Ketiga : Tun Razak: Bapa Pembangunan Negarawan Agung
Saguhati : 1. Cahaya Jamung Kedua: Seorang Wira Wangsa
2. Budimu Nan Menggunung Jasamu Kan Kusanjung
3. Bezanya Dia
4. Waktu Itu Aku Tiada Lagi
5. Tun Razak: Negarawan Sohor Pemikir Masyhur
Sembilan buah puisi yang mendapat hadiah utama dari ketiga-tiga kategori dipilih kerana mempunyai kekuatan tersendiri, berbanding dengan puisi-puisi yang diberikan hadiah saguhati. Kekuatan tersebut melibatkan pengolahan bahasa yang teradun baik, getaran emosi dan imaginasi yang dibina dengan penuh yakin. Kesemua karya bertolak dari kehebatan seorang tokoh, dan temanya sudah pasti akan menjurus kepada sosok tokoh tersebut secara total. Walaupun berbicara mengenai tokoh yang sama, tetapi keterampilan daya kreativiti dan sensitiviti itu akan memberikan hasil karya yang berbeza. Sudut pandangan yang disorot oleh seorang penulis dengan seorang penulis yang lain, sudah semestinya akan berbeza mengikut sudut mana yang mereka pilih.
Puisi Tun Abdul Razak: Legasi Patriot Bangsa memberikan penyataan yang jujur dan murni penyair kepada tokoh pemimpin sanjungannya. Tulis penyair ini:
Lahirmu di dada bintang
di tengah gelojak perang dan penjajahan
mematangkan keberanian
belajar, merantau dan kepeguaman
mengasah bakat kepimpinan
mempertajam siasah kebijaksanaan.
Bagaimana kebesaran dan daulat
dilupakan akan makna megah
menyinari telaga di dedaunan menyisir
tanggungjawab pada rakyat terus mengalir.
Puisi Jasamu Akan Kukenang walaupun dari aspek bentuknya masih terikat dengan gaya pantun dan syair, tetapi corak penyampaiannya yang mudah dan langsung itu menjadikannya dekat dengan pembaca.
Walaupun sudah lama dia tiada
namun bagiku kaulah yang pertama
tokoh Negara sepanjang masa
kerana dirimu amat berjasa.
Razak Satelit sudah dilancar
untuk penghargaan buat dirimu
namamu tetap disanjung mulia
kerana jasamu amat bermakna.
Puisi Pahlawanku juga memberikan sanjungan yang tinggi kepada Tun Abdul Razak, dan kepimpinannya itu disetarafkan dengan kepahlawanan seorang wira. Penyair mengungkapkannya seperti berikut:
Pahlawanku,
kau anak yang berjaya
kau anak yang setia
terpahat di hati rakyat
kaulah Tun Abdul Razak
memang gelaran Bapa Pembangunan.
Puisi Nakhoda Bangsa II berjaya mengangkat citra Tun Razak sebagai tokoh nakhoda bangsa. Pengakuan penyair ini amat jelas:
Nakhoda bangsa!
di dermaga nostalgia ini juga
kami kalungkan dikau
rantaian indah bunga-bunga bangsa
yang mekar mewangi dari sebenih pekerti pertiwi
molek semaian terjaga disirami sepucuk tunas setia
dengan titisan penawar bahagia
dijauhi tunjang akar perpaduan bersama
dari renjisan bias racun sengketa
disuburkan tunas kemajuan sekerapnya
dibajai cermat tanpa sebungkus rasa haloba
yang menghiasi taman perkasihan bangsa
mekar kembanganya bukan disusuli duri berbisa.
Madukara di Pohon Persada, sebuah puisi yang jernih lagi bersih cara penyusunan baris dan rangkapnya. Tanpa kata-kata yang melambung bombastik, penyair ini dengan sedar merakamkan kehebatan negarawan ini.
Kita berasal dari daerah yang jauh
umpama pohon yang tumbuh
di kebun yang berlainan
namun akar melata di bumi yang satu
mencari air di tanah yang dalam
dan tanah air ini amat bertuah
atas kelahiran seorang negarawan ulung
membuahkan buah fikir yang ranum.
Puisi Sebutir Permata di Taman Nusantara, langsung menterjemahkan segala sumbangan dan jasa Tun Razak.
Dikau menghampar gagasan di ladang pertiwi
ideologi DEB terbentang penyubur benih jati diri
manfaat wargaku membina empayar ekonomi
pada sekebun batas manusiawi
…
….
Puisi Lelaki Mawar di Puncak Tamadun memotretkan tentang budi dan jasa yang ditinggalkan oleh Tun Abdul Razak tidak akan terhapus oleh sejarah sehinggakan penyair ketiadaan kata-kata terbaik untuk menggambarkan terima kasihnya itu. Rakaman kekaguman penyair itu dinyatakan:
Dengan bahasa apakah lagi untuk aku luahkan
rindu yang terhukum oleh waktu lalu
setelah tanah air menjadi taman mimpi
yang tidak terkatakan
harmoni dan indah
dalam lingkaran harum damai
Di dalam puisi ini tiada ungkapan tentang Felda, DEB dan segala macam jasa-jasa yang pernah ditinggalkan oleh Tun Abdul Razak untuk bangsa dan tanahairnya, tetapi pemilihan kata-kata oleh penyairnya telah memberikan kesan emosi amat luar biasa kekagumannya kepada Tun Abdul Razak dan kehebatan tokoh tersebut berjaya diserlahkannya.
Di hujung detik yang menyembunyikan sangsi
kau bangunkan tamadun bangsa daulah akal fikir
kau pacakkan jatidiri dengan bara jihad
kau tanamkan perpaduan dengan satu kepercayaan
kau semaikan kerukunan dengan nafas iman
lalu kau adun nikmat semuanya dalam satu kesepakatan
subur menjadi setaman mawar
segar di puncak tamadun bangsa.
Puisi Kerinduan Ini… juga tidak menyebut tentang UMNO, Mageran, DEB, Buku Hijau, Penyata Razak, Felda dan apa-apa sahaja sumbangan jasa yang sinonim dengan Tun Abdul Razak. Kerinduan Ini… menjadi bertenaga kerana kejayaan pemusatan isu kepada tokoh yang dipilih, dan justeru dibicarakannya dengan penuh luhur.
Kaulah negarawan di pentas hati kami
serinya terus mewangi
tidak pernah gugur dan terhenti
kaulah bapa yang melukis dunia
membingkai erti purnama
lalu kau biarkan cahayanya jatuh menerpa
mendewasakan ribuan pemuda Malaysia
kenal budaya, kenal etika
kenal merpati di angkasa
kenal kemboja dan cempaka
kenal sukma paling mulia
nyaring suaramu menggegarkan jantung
ramah mesramu meruntuhkan gunung.
Kesan pengulangan kata yang digunakan oleh penyair juga menggambarkan bahawa dia faham, dan amat maklum tentang selok-belok tokoh yang ditulisnya. Imej-imej yang dipilih jelas serta jernih, menggambarkan perasaannya yang amat dekat dengan tokoh pujaannya itu.
Puisi Tun Razak: Bapa Pembangunan, Negarawan Agung, walaupun penyairnya amat memuji tokoh yang disorotnya, tetapi cara pujian dengan penuh faham dan sedar.
Ini tanah bertuah
melahirkan negarawan bangsa
menyambung pembawa jamung nusa, hasrat
sedaya bertekad membebat beban berat
dari lukamarah perpaduan tersiat, tekal
kental semangat cekal niat; perjuangan
menjadi doktrin penawar berpanjangan,
kukuh tekar persada watan disanjung
ampuh akar siapa warga dijunjung.
…
…
Tun Razak menukar dari jerebu langit kelabu
kepada selaksa warna pelangi menerangi
langit negara bangsa kami, tekarlah cerlang harmoni.
Memandang ke hadapan dalam konteks pembinaan negara bangsa, panel sependapat, bahawa sayembara sebegini wajar diteruskan demi melahirkan generasi pelapis dalam dunia perpuisian tanahair. Kehebatan seseorang tokoh bukan sahaja boleh dirakamkan melalui penulisan biografi atau memoir semata-mata, tetapi juga boleh diadun, dicerna dalam baris dan rangkap puisi yang puitis lagi indah, tanpa memberatkan slogan dan propaganda semata-mata. Puisi-puisi yang terpilih ini, nescaya akan menjadi kalung permata tentang kehebatan tokoh yang sentiasa berada di hati rakyat jelata negara ini.
Sekian, terima kasih.
SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan (Ketua Panel)
Haji A. Rahim Abdullah
Rahimidin Zahari
5 comments:
2010 baru sampaikan hadiah? huh kalau gitu, jgn kondem DBP kerana lewat bagi hadiah sastera perdana.
haha. sori pak wan. kita kena buat juga walaupun susah. tak apa. aswara dah buat yang terbaik.
Abang Leh,kes DBP berbeza dgn Aswara saya kira. DBP tak bagi sebab arwah Filldayus tak dapat tarikh bapak menteri.
Pak Wan, sedap laporan panel tu.
ayah leeh,
kira ok la. Buat sayembara 2009, bagi hadiah 2010. tak de la kami himpun-himpun selonggok macam jual kat pasar malam, 3 barang singgit hehe.
syeikh mufti,
apa jadi dengan arwah filldayus sekarang, mati ditimbus sejarah?
Laporan sedap sebab urus setia bagus hehehe
Post a Comment