Thursday, May 20, 2010

Catatan Selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Puisi Tun Razak

Mohon maaf setulus-tulusnya kepada semua pemenang – daripada pemenang hadiah utama hinggalah kepada hadiah saguhati. Bukan niat kami untuk memperlekehkan pemenang. Tapi majlis kami tersangat miskin. Tentu pemenang yang datang beranggapan setidak-tidaknya akan dibuat dalam dewan separa mewah, ada orang besar sebagai tetamu utama yang menyampaikan hadiah, berkarpet merah, ada pelancaran antologi pemenang dan sebagainya. Tapi maaflah, kami tak mampu untuk itu semua. Pengumuman pemenang pun sudah bertangguh lama juga. Itu sahajalah yang mampu kami lakukan.

Kalaulah orang sebenar yang berhasrat menganjurkan sayembara ini masih ada di sini, saya percaya dia juga tidak mengingini majlis ini dibuat seperti ini rupa – dalam majlis kecil dalam bilik persidangan (yang kami gunakan untuk mesyuarat saja). Agaknya inilah barangkali maksud Shamsudin Othman dalam komennya terhadap entri saya sebelum ini tentang ... seperti “main-main.” Perlu saya sebut orang yang sebenarnya menganjurkan sayembara ini ialah Dato’ Omar Awang – Rektor pertama ASWARA dulu. Bila dia pergi, kami bingung bagaimana mahu diselesaikan acara tanpa ada apa-apa. Tapi acara tetap perlu dibuat. Maka, kami putuskan dalam mesyuarat fakulti bahawa majlis diadakan bersekali dengan acara diskusi secara kecil-kecilan. Bukan sederhana. Tapi tersangat kecil. Mujurlah kehadiran Pak Samad tersangat memberi erti kepada kami.

Saya ingin menulis lebih panjang lagi – tapi saya tak tahu apa hendak ditulis. Saya tiada lagi kata-kata. Ada rasa sedih dan terkilan bila melihat ramai yang datang dari jauh – dari Pulau Pinang, Johor, Pahang, pun ada. Mohon maaf setulusnya kepada semua. Dan tahniah setinggi-tingginya kepada semua. Segalanya sudah tercatat dalam sejarah. Terima kasih kepada semua.













No comments: