Wednesday, May 19, 2010

Catatan Selepas Diskusi Kumpulan Puisi Tiga Penyair

Bukan jenis saya untuk gunakan ruang institusi sendiri untuk mengangkat karya sendiri. Kalau nak, saya boleh buat masa 2008 dulu sewaktu Suluk Cinta baru terbit dan masih panas; juga sewaktu kami masih bermewah-mewah. Jadi, saya hanya terima pelawaan Nasriah untuk Diskusi MPR dulu – oleh Zakir yang kebetulan waktu itu tidak dapat hadir. Kertas Zakir pada waktu itu dibaca oleh Shamsudin Othman; secara “tebuk-tebuk” dan dengan tambahan ulasan olehnya. Jadi, naluri untuk mendengar panel bercakap sekali lagi di hadapan saya tetap masih ada.


Justeru, bila teman sepejabat, Faisal Tehrani mengacah saya untuk diskusikan buku kami, saya agak keberatan mulanya. Takut nanti dikata menggunakan biaya Fakulti dan ASWARA untuk kepentingan lain. Lagipun, buku saya sudah agak lama. Ingin Jadi Nasrallahnya masih panas, dan meletup sakan. Jual di PBAKL 2010 saja sudah laku 1,000 naskhah. Tapi Faisal pandai. Dia memancing saya dengan turut mahu mengajak Rahimidin sekali. Kalau saya tak lepas pandangan, Perjalanan Saliknya belum pernah didiskusikan lagi. Pun saya masih susah nak terima ajakan Faisal.


Tapi bila Faisal mencadangkan kami uruskan semuanya – daripada hal memilih panel sendiri, menetapkan tarikh sendiri serta mengeluarkan ongkos poket sendiri sebagai biaya bayaran kepada panel serta sedikit makan minum, tak fikir panjang saya terus setuju. Rahimidin pun setuju. Lalu, kami usulkan kertas projek kepada Fakulti. Dato’ Anwar luluskan tanpa banyak bicara. Saya rasa beliau faham walau dalam keadaan institusi tidak berduit, aktiviti mesti juga berjalan walau apa kaedahnya pun. Jadi, kesanggupan kami bertiga untuk mengeluarkan duit poket sendiri mengurangkan beban Fakulti waktu itu.


Faisal memilih SN A. Samad Said sebagai pembicara, Rahimidin memilih Prof. Madya Arbak Othman. Saya pula memilih Zaen Kasturi. Ayat Zaen sewaktu saya hubunginya amat meninggalkan kesan. Zaen pantas setuju tanpa berfikir, dengan jawapannya, “baguslah kalau penulis buat usaha sendiri. Daripada harap DBP lebih baik buat sendiri. Tak tahulah apa fungsi DBP sekarang. Selepas diterbitkan buku, dibiarkan begitu saja.” Kurang lebih begitulah kata-kata Zaen kepada saya. Saya tidak berkata ya atau tidak terhadap pandangan Zaen itu – cuma saya berkata kepadanya kalau DBP masih bersikeras dengan sikap dan dasar primitif orang atasannya seperti sekarang, Suluk Cinta itulah buku pertama dan terakhir saya dengan DBP. Teruslah menulis, hanya itu jawapan Zaen kepada saya.


Seminggu dua sebelum acara, tiba-tiba ada sedikit suntikan dana diberi kepada setiap Fakulti, termasuk Fakulti kami. Dato’ Anwar setuju membiayai belanja makan minum untuk acara diskusi ini – dengan persetujuan semua dalam mesyuarat di peringkat Fakulti bahawa diskusi ini perlu dibuat bersekali dengan acara Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Puisi Tun Razak (acara ini akan tulis pada entri berikutnya). Dengan sesaknya nafas dana yang sangat mendesak, tanpa banyak soal kami setuju bagi meringankan beban Fakulti, walau pun kami tahu nanti acara penyampaian hadiah itu nanti tanpa karpet merah.

Begitulah kurang lebih – 11 Mei 2010, Diskusi Kumpulan Puisi Tiga Penyair berlangsung dengan sukses sekali. Kehadiran khalayak sangat memberangsangkan walau dalam skala yang kecil dan memberikan inspirasi baru kepada saya dan Faisal. Saya puas bukan sebab buku saya didiskusikan – saya puas bukan sebab keluar duit poket sendiri bayar kepada Zaen – saya puas kerana saya semakin sedar bahawa dalam kesederhanaan hidup kita akan menjadi lebih matang dan bijaksana. Ketika sedang bersiap-siap untuk boarding di KLIA dalam perjalanan ke Johor Bahru, saya terima sms Faisal bertanyakan perasaan saya bila program kami selesai dengan jayanya. Sepatah jawapan saya kepadanya, “bahagia!”




Terima kasih kepada semua yang hadir – daripada pensyarah, pegawai, pelajar, kawan-kawan yang baik, teman-teman Editor Bahagian Majalah DBP, wartawan, penerbit buku, penjual buku dan semuanya, terima kasih sekali lagi. Terima kasih juga kepada Rahimidin yang terima pelawaan kami – juga terima kasih setulusnya daripada kami kepada Pak Samad, Pak Arbak dan Zaen Kasturi.


Selebihnya, gambar-gambar ini boleh menjelaskan melebihi catatan saya ini.

2 comments:

S.M. Zakir said...

zaen berikan ulasan dan pandangan yang bagus. seorang penyair lebih memahami penyair.. tidak sebagaimana seorang penyair palsu memahami penyair tulen he he (nasib jadi batu kapur ada juga rasa macam rishi kapoor)

Bagus, kita kena berdikari. nanti kita keluar duit sendiri pergi lancar kat Jogja ke, Bangkok ke pulak. Airasia boleh sponsor bagi tambang free - tapi kena booking sekarang untuk tahun depan punya he he

benuasuluk said...

tuan batu kapur,
kadang-kadang ulasan penyair palsu pun lebih berguna hehe. Tapi pandangan zaen memang bagus, tak terfikir saya boleh ke situ kupasan dia hanya berpegang kepada dua tiga kata yang diangkatnya menjadi kata kuncinya.

Jangan lupa pagi ahad nanti tuan, kita tengok pakcik lumayan nak naik kuda katanya hehe