Monday, May 17, 2010

Justeru, Anggaplah Saya Bukan Siapa-siapa

Saya seperti sudah berjanji, tahun ini tidak ingin mencatat apa-apa berkaitan pelajar saya – termasuk memuji atau mengeji dalam laman blog saya ini. Sehingga semalam, rasanya saya berjaya. Tetapi hari ini saya batalkan janji saya itu – kerana saya tahu ramai pelajar yang membaca curi catatan saya di blog ini.

Saya bukan sudah hilang sabar. Tapi sudah hilang semangat rasanya. Apa yang boleh saya buat sebagai penyelia untuk projek akhir pelajar jika tarikh akhirnya besok untuk pelajar serahkan naskhah bersihnya; sedangkan sejak awal tahun hingga sekarang pelajar yang saya selia hanya datang diselia sekali dua, dengan satu dua bab yang entah apa-apa – dan selebihnya langsung tidak datang – atau selebihnya mengelak lari jika nampak bayang saya?

Saya tidak memilih pelajar sewaktu minta diselia. Pelajar sendiri yang mencatat dalam proposal asal memilih saya untuk menjadi penyelianya. Memang saya cerewet. Tahukan? Justeru, mengapa tegar memilih saya? Apa guna menjadi penyelia jika saban minggu saya tertongong-tongong di kamar kerja menunggu pelajar, sedangkan pelajar tidak kunjung datang? Dan tanpa rasa apologi untuk memberitahu atau memohon maaf. Sepuluh sebelas tahun lalu ketika saya juga diselia oleh pensyarah saya, saya tidak pernah gagal untuk hadir berjumpa penyelia. Kalau pun batal itu atas permintaan penyelia saya. Dan, saya tidak menyimpan pun nombor telefon bimbit penyelia saya. Tapi pelajar saya semuanya menyimpan nombor saya. Terlalu beratkah untuk memberitahu jika ada gendala? Maaflah kalau saya tidak boleh berabang kakak sepertimana penyelia atau pensyarah yang lain. Mereka makam tinggi, saya makam busut anai-anai saja.

Esok, 18 Mei adalah hari akhir pelajar menunjukkan naskhah bersih kepada penyelia masing-masing – sebelum dihantar kepada penilai luar dan penilai dalam; dan kemudiannya dinilai dalam sesi Projek Akhir awal Jun nanti. Apakah pelajar yang saya selia ini akan datang melonggokkan beban kerjanya sekali gus kepada saya; yang akan membuatkan jantung saya seperti tercabut? Tahun-tahun sebelum ini penyeliaan saya biasanya dibuat ikut bab demi bab. Dan pelajar datang mengikut jadual berbincang dengan saya sebagai penyelia. Kalau pun tidak ada apa-apa langsung catatan, pelajar datang juga bagi memaklumkan status terkini kepada penyelia. Nampaknya, situasi kali ini lain benar rasanya.

Oh, saya bukan sudah hilang sabar saja. Tapi sudah hilang semangat, hilang kepercayaan dan sudah hilang naluri untuk membantu. Kalaulah esok pelajar seliaan saya datang dan letakkan sekepuk beban kerjanya di atas meja saya, saya akan cakap, maaf awak tersalah orang. Saya bukan penyelia awak lagi! Dan bukan jenis saya orangnya yang akan membaca semuanya sekali harung. Saya tak ada kekuatan untuk itu semua. Saya tidak akan membaca apa-apa catatan setebal 300 halaman sekali duduk. Saya banyak urusan lain lagi.

Selamat membaca keluhan saya jika singgah membaca. Kalau tak baca pun, nanti ada kawan-kawan atau pensyarah lain yang baik hati akan tolong bagitahu. Hanya saya ingin nasihati buat penghabisan - bakat sahaja tidak cukup kalau tidak dibantu dengan sikap dan iltizam yang betul. Toleh - dan renung diri - bertanyalah kepada diri sendiri.

Selebihnya, saya bukakan kunci yang merantai antara kita. Justeru, anggaplah saya bukan siapa-siapa untuk saudara ...

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

8 comments:

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Kecewa benar bunyinya....

Eva Sardiyanti Sarudin said...

Terasa saya en. wan... tapi saya tak macam tu kan...hahahahaha...tak pe lah en. wan kalau rasa en. wan ada hati nak baca hasil kerja mereka bacalah, kalau tak tinggalkan je kat atas longgokkan buku2 yang berlambak kat bilik en wan tu...habis cerita dan tak pening kepala....

akhir sekali,

Selamat hari guru...
saya tahu jawapan en. wan
"saya bukan guru"
tapi en.wan tetap pendidik.
hahahhahhhahahahha....

z@dH hiRsHAm said...

Ya, mungkin terlewat... tapi saya juga ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU, En. Wan...
1 lagi, saya sedang menunggu hari konvo...
Ada 'hutang' yang saya nak jelaskan pada En. Wan...
Huhuhu!

benuasuluk said...

tengah,
entahlah. Saya tak tahu apa yang saya rasa sekarang...

benuasuluk said...

eva,
terima kasih. tapi saya tetap masih bukan guru.

benuasuluk said...

sorrow,
dah ada hutang bayar ajelah. Apa nak tunggu-tunggu konvo. Mati tercekik baru tahu tak sempat bayar hutang kahkahkahkah

adiratno said...

Wan,

Demikian memang episod penyelia dengan anak-anak buah. Aku pun sama gak, sekarang nie bebudak tak berapa nak dengaq kata, tak reti nak ikut sistem, orang cakap buat lagu nie, dia nak buat ikut suka dia, degil dan bodoh sombong..

benuasuluk said...

adi,
menyelia pekerja dengan menyelia pelajar berbeza. Tapi aku rasa sakit hatinya serupa saja, :-)