Friday, February 19, 2010

Tuan Ibarat Songket Berkilau Buku Terakhir T. Alias Taib?

Beberapa bulan lalu, saya ecerkan masa saya pada hari cuti untuk mencari sebuah syarikat penerbitan buku yang menerbitkan buku Allahyarham T. Alias Taib - buku paling akhir dan terbit selepas arwah meninggal. Buku ini saya pinjam melalui kawan baik saya, dan saya pinjam buku ini daripadanya agak lama; seperti tidak mahu memulangkan kembali kepadanya. Kata kawan saya, buku ini dibelinya di pintu pagar sekolah anaknya. Bukan kumpulan puisi, tetapi Kumpulan Pantun dan Madah T. Alias Taib, hampir sama seperti dalam Di Sisi Pelita Minyak Tanahnya. Buku ini berjudul Tuan Ibarat Songket Berkilau, cetakan 2004; betul-betul tahun arwah berangkat pergi.



Maka pada hari cuti, berdasarkan alamat yang tertera dalam buku, saya berpusing sekitar kawasan perumahan saya mencari tempat penerbit buku ini dengan niat mahu membeli. Alamatnya hanya berhampiran rumah saya. Ketika kali pertama melihatnya, sudah terdetik di hati saya alamat ini seperti tidak wujud nama dan nombor jalannya. Seperti alamat palsu (dan tidak ada nombor telefon syarikatnya di buku). Maka, seminggu dua juga pada setiap hari cuti saya berpusing sekitar Taman Sri Manja dan Taman Sri Sentosa di Jalan Klang Lama mencari tempatnya. Malangnya tiada. Walaupun syarikat penerbitannya berbunyikan “international” tapi saya percaya ia tidak ubah seperti syarikat “cap ayam.” Saya tahu alamatnya palsu semata. Saya minta tolong Nassury dan Nisah yang menjual buku agar mencari buku ini jikalau ada di mana-mana. Nassury dan Nisah pun tidak pernah tahu arwah ada buku terakhir ini. Nisah usahakan hingga mendapat nombor telefon syarikat ini, malangnya ini juga tidak dapat membantu. Sah, ini betul-betul “cap ayam.” Buku ini barangkali dijual seperti ala-ala “car booth sale.”

Kerana takut buku pinjaman daripada kawan ini menjadi lunyai, saya usahakan untuk memfotokopikannya dalam bentuk buku asal (dengan azam, jika menjumpai buku ini saya akan beli dan akan membuang cetakan fotokopi ini). Sesiapa jua sahabat jika menjumpai buku ini di mana-mana tolonglah belikan untuk saya dan hubungilah saya. Saya perlukan naskhah terakhir arwah untuk melengkapkan koleksi saya tentang penyair metafora ini.

Dalam Ingatan

Sekiranya arwah masih ada (meninggal 17 Ogos 2004), esok 20 Februari 2010, T. Alias Taib akan berusia 67 tahun. Puisi ini saya simpan dan bersarang ideanya sejak tahun 1999/2000 ketika sibuk mengkaji Petang Condongnya. Antara yang saya kekalkan aslinya ialah judulnya, yang saya simpan sejak 1999 itu. Selebihnya puisi ini saya simpan separuh dan saya siapkan sepenuhnya selepas Pak Ungku tiada; antara Serdang dan Sri Sentosa. Rasanya akan saya sunting lagi kemudiannya. Al-Fatihah untuknya.

Puisi Adalah Peta Perjalanan Hidupnya
(mengenang T. Alias Taib)

Bertahun-tahun dia menggali aksara
dari kata membina makna
lalu, serumpun puisinya yang bening
tumbuh merimbun dan menghijau

Dia, penyair mengabang telipot
dimesrai angin laut china selatan
dimatangkan tekad
didewasakan perjalanan kata

Dari laut tak biru di seberang takir
dia mengungsi menjadi pemburu kota
di tangan, seberkas kunci membuka pintu seninya
dalam perjalanannya, dia mencatat
kisah-kisah bagai sebuah opera
kepenyairannya pun menganjur seperti piramid
penuh rahsia dan teka-teki

Ketika langitnya sudah merunduk ke petang condong
dia masih penyair yang kaya kata-kata
pada cita-cita silamnya
dia merenung sosok bayang hitamnya
di sisi pelita minyak tanah

Dengan kudrat penyair tulen
dia mengayuh dan merangkak
hingga suatu senja merah
perjalanannya sampai di sebuah pasar pengalaman
hidupnya sudah tiba ke puncak

Ketika dia melangkah pergi
hidupnya sudah pasang penuh
selonggok puisi menjadi peta perjalanan hidupnya
terisi indah di pustaka bangsa
benarlah, tuan ibarat songket berkilau
dari jauh pun tampak sinar serinya

Melangkahlah penyair,
kau telah pergi
di sisi kami, sejarah akan selalu mengenangmu.


1999-2000, 2008, 13 April 2009, Serdang-Seri Sentosa KL

6 comments:

saleeh rahamad said...

bagus sekali bahasa abang wan ni. ap kata kita buat antologi puisi mengenang orang yagn dah meninggal? kita jadi penyelenggaranya. tapi siapa nak terbit dan beli ya. susah juga. saya ada sajak tentang arwah juga dan belum disiarkan (kerana tak ada penerbit nak siar).

Sham al-Johori said...

wan,
puisi yang wajar diterbitkan. Inilah kenangan berharga yang menusuk. Ayuh, kongsikan segera dgn manusia lain yang tak punya pengetahuan IT.
salam..

Nur Fatiha Fadila said...

Assalammualaikum, En. Wan

Begitu indah catatan ingatan En. Wan terhadap karya dan tokoh arwah T. Alias Taib itu sendiri.

Sebagai pelajar, ada manfaat yang dapat saya kutip melalui entri ini.

Terima kasih.

benuasuluk said...

Ayah Leeh,
walau tak ada sapa yang nak terbit atau nak beli puisi, puisi tetap perlu hidup; puisi selamanya akan tetap kekal puisi. Tak kisahlah walau dbp sendiri pun dah 'berikrar' tak mahu lagi terbit puisi. jadi, siarkanlah puisi sendiri di blog saja. Malang menjadi penyair di Malaysia

benuasuluk said...

Sheikh Sham,
puisi yang dah terbit di blog dianggap sudah terbit, jadi tak boleh terbit di tempat lain lagi haha. Jadi, baca kat blog sini sajalah ya, :)

benuasuluk said...

wardah,
kalau memberi manfaat berguna untuk sdr dan yang lainnya, saya bersyukur. TK