Tuesday, January 12, 2010

e-pembelajaran atau “e-satu sesi” atau “e-satu aliran?”

Di London, melalui suara Menteri Pelajaran yang saya sayangi (betul, saya tak tipu bab sayang-sayang ni), akhbar melaporkan Malaysia berminat untuk mengaplikasikan teknik e-pembelajaran di sekolah dalam usaha memberi lonjakan kepada sistem pendidikan negara selaras perkembangan teknologi yang melanda pada masa ini. Katanya lagi, ia sebagai usaha menambah baik sistem pendidikan yang dilakukan secara berterusan dan transformasi itu sesuatu yang boleh dicuba yang mana melaluinya mutu pembelajaran di sekolah akan dapat dipertingkatkan. Bagus, untuk jangka masa panjang tersangatlah bagus.

Saya tengok anak saya. Pagi buru-buru ke sekolah KAFA. Tengah hari, kalut dan tergesa-gesa ke sekolah kebangsaan. Petangnya, bapanya terkocoh-kocoh tinggalkan pejabat, meranduk kesesakan jalan raya untuk mengambil anak di sekolah. Bapanya sudah tidak boleh pulang lewat seperti dulu lagi dari pejabat kerana ada anak kecil menunggu di sekolah. Malamnya, anak buka buku sekejap, dan kemudiannya terkulai lena. Kesian.

Saya toleh melihat zaman sekolah saya dahulu. Pagi ke sekolah. Petangnya, boleh selesaikan kerja sekolah sebelum keluar bermain; atau ke padang sekolah untuk latihan rumah sukan. Dan ada banyak lompang masa untuk kami bermain. Apalah nama dunia kanak-kanak jika tidak ada masa untuk bermain, Tan Sri. Malamnya ke madrasah untuk mengaji muqaddam dan quran di menaksah. Pulangnya, masih sempat membelek-belek buku sekolah sebelum masuk tidur.

Tan Sri, saya tengok anak saya, saya rasa belas. Sekolah saya hulu dulu, miskin berbanding dengan sekolah anak saya di tempat bertaraf bandaraya, tapi saya mempunyai “masa depan” yang lebih baik dari anak saya dalam meraikan dunia kanak-kanak saya. Apalah ertinya menjadi kanak-kanak kalau tidak dapat meraikan dunia kanak-kanak itu? Atau, saya terlalu kolot dan primitifkah Tan Sri dengan pertanyaaan ini?

Oh, dalam gundah gulana dan melankolia, sebelum terlaksananya e-pembelajaran ini, sayugia saya menyarankan eloklah rasanya kementerian Tan Sri memikirkan untuk melaksanakan sekolah satu sesi. Siapkanlah segera mana-mana sekolah yang tergendala dan tidak siap, baharulah sekolah satu sesi boleh dilaksanakan. Orang lain tidak mahu tidak mengapa, tapi saya sangat mahu sekolah satu sesi. Bagi saya yang tidak sarjana ini, sekolah dua sesi ini bolehlah untuk negara-negara seperti Namibia atau Congo atau Euthopia. Negara terbilang seperti kita ini hanya perlukan sekolah satu sesi sahaja.

Tan Sri yang dikasihi, saya hanya mahukan anak saya meraikan dunia kanak-kanaknya; seperti mana dahulu pernah saya raikan sewaktu usia saya sepertinya. Bukankah Tan Sri juga pernah menjadi kanak-kanak dahulu?

(ii)

Isteri saya mengeluh, ditegur guru besar. Ada ibu bapa yang datang mengadu cara pengajaran isteri saya tidak betul, pelajar susah memahami. Isteri saya bertugas di sjkc (sengaja saya pendek dan kecilkan hurufnya). Tahun lepas pun isteri saya mengadu. Saya gelak sahaja. Kata mereka, ayat isteri saya salah dalam karangan. Sampai datang menegur di sekolah. Isteri saya menjelaskan, mereka tetap rasa salah. Akan dibawa ke DBP untuk bertanya. Gila, fikir saya. Keesokannya isteri saya memberitahu, ibu bapa itu memang betul-betul pergi ke DBP bertanyakan perihal bahasa. Jawapannya, isteri saya betul. Saya hahaha lagi. Mana mungkin isteri saya yang berkelulusan linguistik Melayu bengong sangat. Haha.

Tahun ini nampaknya lebih awal berulang peristiwa sama. Kelas yang pada perkiraan isteri saya adalah kelas yang paling cerdik pelajarnya. Pun tidak faham. Sampaikan ibu bapa datang berjumpa guru besar, dengan suatu cadangan yang menyebabkan saya hempaskan surat khabar ketika membaca. Tan Sri nak tahu apa cadangan ibu bapa pelajar? Kalau boleh, mohon isteri saya mengajar dalam bahasa Mandarin untuk memudahkan pemahaman pelajar. Isteri saya bukan mengajar lukisan, atau Moral, atau Jasmani. Isteri saya mengajar bahasa Melayu. Gila apakah hendak mengajar bahasa kebangsaan dalam bahasa lain? Itulah Tan Sri, punca yang menyebabkan saya hempaskan surat khabar. Kasihan surat khabar Melayu itu saya kerjakan begitu.

Jadi, Tan Sri usulkan dan laksanakanlah segera sekolah satu aliran. Belum terlambat lagi. Bila satu aliran, nescaya tidaklah jadi begini. Fikiran kita boleh menjadi satu, perasan kita boleh menjadi satu, gagasan kita boleh menjadi satu, matlamat kita boleh menjadi satu, negara kita boleh menjadi satu, cinta kita boleh menjadi satu, tanggungjawab kita boleh menjadi satu, semuanya boleh menjadi satu. Kalaulah kalimah Allah pun kita boleh “kongsi”, takkanlah sekolah satu aliran tidak boleh kita kongsi? Takkanlah sekolah satu aliran tersangat keji bunyinya?

Selepas dilaksanakan sekolah satu sesi dan sekolah satu aliran, teruskanlah e-pembelajaran, atau e, e, e yang lain. Saya akan menyetujuinya, dan akan berdiri di belakang Tan Sri. Semuanya demi anak-anak kita, anak bumi tercinta, dan demi masa depan dunia pendidikan dan masa depan negara. Ubahlah, lakukan sesuatu sementara kuasa masih di tanganmu. Kalau terlaksana, Tan Srilah orang yang terkehadapan mengubah sejarah; jika tidak, akan terus tenggelam dalam sejarah.

15 comments:

adiratno said...

Wan,

Aku telah lama menyanyikan lagu itu "Kesian anak-anak kehilngan zaman kanak-kanak mereka"...

awangsulungmerahmenyala said...

aku bersunat sekali lagi kalau mat sembab ikut cadangan hang kahkahkahkahkahkah.dapat pantun aku ka?

Luqman Hakim QA said...

wan,

1. eeeeeeeeeee.....

2. tu la 1Malaysia yang caca-marba, bikin orang waras jadi gila

lutfi said...

Sekolah satu aliran, Mmmm - PAk Menteri kata tak perlu. BA kata perpaduan kaum boleh dibina tanpa perlu sekolah satu aliran. Politik taik kucing memang macam tu.

Sudahnya, cikgu juga yang susah. Buat betul salah, buat salah, pun salah.

benuasuluk said...

adi,
terasa tua benaq hang, :)

benuasuluk said...

awang,
aku sudi jadik tok mudim. Pantun hang buat aku menggeletar sampai hari ni kahkahkahkah

benuasuluk said...

luqman,
1. eeeee.... eeeeeee taik!
:)

benuasuluk said...

luqman lagi,
2. kalau ikut kepala gila aku, aku sondol ja sjkc tu dengan kereta kebal aku. haha.

benuasuluk said...

lut, kalau diberi hang tiga hari untuk jadik no. 1 di KP, apa yang akan hang buat dulu, renovate bilik baru, tukar PA biar dapat yang lebih bergetah, tukar pegawai yang koman atau tak sebulu dengan hang, tukar karpet baru; atau apa?

MARSLI N.O said...

Sdr RH: Saya suka cara Sdr menulis yang semakin merendah nadanya tetapi lebih terkesan menyindir. Tulislah banyak-banyak dan terbitkan sebagai buku.

benuasuluk said...

Sdr. Marsli,
saya hargai pandangan sdr. Apa-apa pun dalam sulit dan gelisah, kita perlu nyatakan yang hakikat; juga yang batil.

chekem mirza said...

A) itulah susahnya jadi cikgu kat malaysia ni sekarang. guru sudah dilihat tidak bijak oleh budak-budak jadi buat apa mereka ke sekolah kan lebih belajar ngan mak bapak dia aja.

B) saya pun jatuh kesian dengan anak sendiri banyak betul jadual tugas nya, yanga khirnya dia sendiri tak mahu layan. Tak pi hantar kelas tambahan dia akan ketinggalan dari orang lain. persaingan skarang tak sihat.

C) saya terkejut dengan kurikulum bahasa sekolah rendah sejak anak saya di QDees lagi. Fikir saya orang yang buat kurikulum itu too ambitious

d) orang politik tak pikir nak buat sejarah sebab mereka pun tak pass sejarah. mereka belajar bgm nak mengekalkan kuasa bukannya bangsa!

benuasuluk said...

ce'kem,
(a) kesian cikgu, kan?
(b) saya sedang menimbang-nimbang, takut anak tertinggal atau takut anak tertekan? Tertinggal boleh dibentuk, tertekan susah cakap
(c) ya, ya too ambitious.
(d) sesungguhnya mereka terdiri dari orang-orang yang sesat dan menyesatkan dalam sejarah manusia

lutfi said...

Tukaq setiausaha, biaq cantik sikit, haha

benuasuluk said...

lut,
kalau aku pun sama haha