Tuesday, December 8, 2009

Kembali ke Parlimen

Sesudah dua tahun tidak ke sana, semalam saya hadir ke Parlimen. Bukan menggantikan tempat Mahfuz, tapi menjadi pegawai bertugas bagi kementerian saya. Kali terakhir saya bertugas tahun 2007 rasanya. Inilah kali pertama saya hadir ke parlimen sesudah PRU ke -12 lalu. Dalam hati berkira mesti seronok kehadiran kali ini sebab dewan hampir sekata antara kerajaan dan pembangkang daripada segi jumlah keahliannya. Namun sayang, jangkaan saya meleset. Hampir separuh dewan kosong, baik sebelah “sini” dan sebelah “sana.” Selebihnya diisi oleh ahli dewan yang keluar masuk dewan (aksi ini berlangsung dari 10:00 pagi hingga 10:30 malam!).

Dari awal lagi urus setia mengingatkan, jaga-jaga, sidang hari ini sampai malam!

Sesi pagi selain menjawab soalan lisan, adalah perbahasan tentang Kementerian Wilayah Persekutuan dan kemudiannya dilakukan penggulungan oleh Menterinya. Banyak soalan yang menarik dari pihak pembangkang, bahkan terasa juga panasnya. Soalan banyak yang cerdik-cerdik, tapi jawapannya banyak membuatkan saya nganga, menguap, gelak – dan adakalanya rasa seperti tercekik. Dan mencakar-cakar sebaris dua tulisan di kertas. (Huh Lutfi, nampaknya tahun depan mantan penyair boleh terbit buku la sebab makin prolifik). Sesi perbahasan kementerian ini bermula 11:30 pagi, langsung hingga hampir 6:00 petang.

Dari 6:00 petang hingga 10:30 malam pula sesi untuk Kementerian Pelajaran. Inilah sesi perbahasan, menjawab dan penggulungan yang saya nanti-nantikan. Muhyiddin tidak ada, bertugas rasmi di Jepun. Fuad Zakarshi Timbalannya hadir untuk menjawab dan menggulung. Banyak perkara juga yang diutarakan dalam sesi petang ke malam ini. Sungguh, saya tidak menguap dan menganga saat ini. Cuma sayang, Timbalan Menteri tidak sempat menjawab semua soalan dan menggulung ketika Speaker menangguhkan dewan pada pukul 10:30 malam. Akan disambung ke pagi selasa.

Ada beberapa beberapa perkara yang menarik perhatian saya bila perbahasan mengenai Kementerian Pelajaran. Pertamanya oleh YB Pokok Sena (fuyoo, you the man!, you the man!) yang menyentuh mengenai sebuah sekolah yang betul-betul berkonsepkan “sekolah asrama.” Sekolah ini dibuat di bawah flat. Di atas rumah, di bawah sekolah. Bukan baru, tapi sudah 20 tahun (dan selepas 52 tahun merdeka). Bayangkan tidak selesanya anak-anak yang bersekolah di sini. Bersebelahan bilik darjah, ada tong sampah yang setiap hari akan datang dipungut oleh pihak bandaraya. Sekolah di bawah, rumah diatas. Jadilah “sekolah berasrama penuh”, kata YB yang menjadi sahabat baik ayah saya ini. Saya tergelak kuat bila Mahfuz sebut “sekolah berasrama penuh.” Oh, “sekolah berasrama penuh” ini bukannya ada di Kebun 500 di kampung saya atau di Kampung Nawa atau di pekan Pokok Sena. Sekolah istimewa ini berada di tengah jantung bandaraya Kuala Lumpur.

Saya terfikir, Kuala Lumpur adalah cermin kepada negara. Kalaulah sekolah di tengah-tengah bandaraya pun menghadapi masalah sebesar ini, bayangkan sekolah yang ada di luar bandar. Di Sabah dan Sarawak pula, ada sekolah yang ada kemudahan elektrik tetapi tidak ada makmal dan kelengkapan komputer. Lebih parah, di Tenom ada sekolah yang dibekalkan dengan peralatan komputer. Ironinya, sekolah tersebut tidak ada kemudahan elektrik. Dan komputer pun tersimpan dalam kotak tidak dibuka-buka menanti kunjungan “gladiator” bernama anai-anai datang menggigit. 52 tahun saudara!

Banyak persoalan menarik yang tidak sempat dibahas dan diperdebatkan dibawa ke pagi Selasa. Pegawai yang hadir bertugas hari selasa mungkin akan melihat hingga penggulungannya.

Namun, ada satu hal menarik yang disentuh oleh Salahuddin Ayub yang mungkin terkesan di hati saya. Salahuddin menyentuh antaranya tentang tiadanya lagi apa-apa penyata untuk Kementerian Pelajaran selepas Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib. Kenapa tidak ada Penyata Hishamuddin katanya, kenapa tidak dibuat Penyata Muhyiddin katanya lagi. Hal ini yang membuatkan kita tertinggal jauh (dan sekali lagi bacaan saya: Penyata-penyata yang disebutkan oleh salahuddin itu sebenarnya adalah cermin kepada Kementerian Pelajaran). Dan cermin yang ada sekarang sudah terlalu lama, kabur, buruk dan sompek barangkali. Justeru, perlukan penyata baru bagi mewakili iltizam Pelajaran.

Salahuddin juga menyentuh tentang perlunya Pelajaran belajar daripada sejarah. Jangan diulang lagi perangai buruk seperti pelaksanaan PPSMI dulu. Dibahas, ditentang dalam dewan, akhirnya lulus, dilaksanakan – dan akhirnya kerajaan memansuhkan PPSMI. Langkah ke depan, dan kemudiannya langkah kembali ke belakang. Pelajar jadi mangsa. Nampaknya, sesi perbahasan tentang pelajaran boleh saya puji kesemua YB yang mengambil bahagian; baik dari kerajaan dan pembangkang. Semua serius bila bercakap soal pendidikan. Tapi, soalnya, pelaksanaannya bagaimana?

Terakhir perbahasan Salahuddin yang menarik perhatian saya adalah perihal sebuah menara yang menjadi kecintaan kita bersama – Dewan Bahasa dan Pustaka (saya benci bila orang pandai-pandai menyebut DBP sebagai dewan bahasa dan petaka atau apa-apa - seperti institusi itu yang bersalah sepenuhnya – yang bersalah itu orangnya, bukan institusinya). Kata Salahuddin, DBP adalah sebuah monumen yang gagah. Dengan ketinggian menara barunya, kukuh batu-batuannya, memperlihatkan DBP memang gah. Namun sayang, apa yang DBP lakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Seharusnya kalau menaranya kukuh, tinggi dan tersergam indah, seharusnya juga begitulah bahasa Melayu diperjuangkan oleh DBP. Cadang Salahuddin, KP yang ada sekarang perlu diganti dan ditukarkan. DBP perlukan KP baru, yang lebih berwibawa, yang faham perjuangan DBP. DBP perlu diisi dan dipimpin oleh orang baru yang boleh memberi fikiran untuk berhadapan dengan cabaran semasa. Tidak cukup dengan itu kata Salahuddin, DBP bukan sahaja perlu menukarkan KPnya, bahkan juga perlu untuk menukar Pengerusi Lembaga Pengelolanya sekali. Ulangnya lagi, KP tak tukar-tukar, Pengerusi tak tukar-tukar. Lepaskanlah ia, biarkanlah dia pergi. Semoga dia berjaya di Media Prima, kata Salahuddin. Berilah peluang kepada orang baru pula untuk memberi buah fikiran (saya baca: setelah orang lama gagal!). Sudah sampai masanya, DBP perlukan semua orang baru, kita letakkan sejuta harapan untuk DBP martabatkan kembali bahasa Melayu, katanya. Itu antara percakapan Salahuddin yang sempat saya saring – cukuplah. Nanti ada orang marah saya pula.

Saya ingin bangun dan meminta laluan daripada Salahuddin untuk mencelah dan memberi pandangan tentang soal bahasa dan DBP. Tapi tidak jadi, sebab orang Pokok Sena belum pilih saya lagi menjadi wakil rakyat. Haha. Kalau dibenarkan saya mencelah dalam dewan, nescaya penggal hadapan orang keliru sama ada hendak memilih Mahfuz atau saya. Hak hak. Cukuplah kalau orang Pokok Sena hantar Mahfuz ke dalam dewan. Berbaloi-baloi!

12 comments:

Nur Fatiha Fadila said...

Assalammualaikum, En Wan.
Tentang DBP tu, saya sangat setuju. Tidak mahu lagi mendengar caci-cerca tentang DBP. Berpenat lelah pejuang dahulu menubuhkannya, tetapi kini bagai tidak bererti. Sangat tidak wajar dan para berkenaan ambillah perhatian.

awangsulungmerahmenyala said...

salam,
iya saya tertarik berkenaan penyata,bukan penyata hishamudin atau mahyudin saja yang tidak ada semenjak anwar ibrahim dan sehingga ke sekarang sudah tidak ada penyata.mengapa iya?sekurang-kurangnya buatlah penyata samy vellu ka kan?kahkahkahkah...ba hak hak.

iya tentang DBP memang saya bersetuju memang suatu hujahan atau usul serta persembahan yang baik dari MP Pokok Sena diakui orang-orang pokok senan petah berpidato dan berkata-kata serta menyair dan byk lagi,namun berat perut kahkahkahkahkah.
tak guna juga kalau berat perut kahkahkah....

Che Kem said...

sangat setuju dengan salahudin; penyata yang ada sudah lama. pemimpin yang adapun tak minat untuk memajukan pendidikan sebab itu bukan matlamat mereka pun...mereka lebih minat eventsssss supaya press datang ambik gambar dan mereka keluar TV, paper tia-tiap hari...depa pun selebriti kan

Sham al-Johori said...

Dao saya satu aja supaya tuan tak jadi YB. Sebabnya, kalau tuan jadi YB, dewan itu lebih parah jadinya. Dan yang pasti kalau tuan jadi YB nanti, negara akan kehilangan seorang penyair lagi; saya akan kehilangan rakan sepenyairan dan tuan akan jadi macam Firdaus Abdullah. Kah kah kah kah!
Syeikh Rahimidin akan ketawa pecah perut; pak Zakir akan menangis tak sanggup melihatnya. Hehehehehe

lutfi said...

salam.
Uih, lepas jadi mantan penyair, bercita-cita nak jadi ahli parlimen plak. baguih-baguih.

bab kp dbp tu, no komen, kehkeh

Anonymous said...

Salam En Wan
Kalau tuan nak jadi ahli parlimen pokok sena, aku lah org pertama pi undi tuan. siap buat kelab penyokong lagi...apa-apa pun tuan , bab pelajaran ni org ambik berat ..tapi kadang-kadang tak pernah siasat pun..buat dulu baru dok hingaq..mcm-mcm.. bab dbp ni tuan..betoi la..kerja kalau dah glema susah la...tuan balik la jadi wakil rakyat pokok sena..lepas tu ckp kat parlimen..


anjungsena, sp

benuasuluk said...

wardah,
baik buruk dbp pun kita sayang juga.

benuasuluk said...

awang,
itu sebab orang pokok sena kepala otaknya bukan duduk di perut,macam orang pknk, macam lu. Kepala otak duduk di perut. Macamlah perut lu bagus sangat, macam jamban shahab perdana ja gua tengok.

benuasuluk said...

che Kem,
nak buat macam mana dah dia orang selebriti. Kita ni kerja mengeluh jelah.

benuasuluk said...

sheikh sham,
jangan bandingkan saya dengan firdaus. Saya lagi bagus tau kah kah kah.

benuasuluk said...

lut,
masalahnya semua ahli parlimen tak nak berenti-berenti lagi, tak nak jadi mantan ahli parlimen. Kalau aku jadi YB esok, hang letak jawatan sebagai cikgu, jadi pegawai khas aku mu dak? takpa, aku tak suruh hang buat teks ucapan. Teks ucapan aku buat sendiri la. Haha.

benuasuluk said...

anjungsena,
ya, undilah enche wan.
:)