Monday, November 30, 2009

Pidato Selamat Jalan

Dengan Bismillah madah bermula,
ke hadrat Illahi dipohon jua,
moga terjauh bongkak dan bangga,
madah cuma luahan rasa.

Bukanlah hendak menunjuk ria,
apatah lagi untuk berpesta,
tuan melangkah penuhlah gaya,
kami di sini berlapang dada.

Empat tahunmu sangatlah singkat,
bagiku lama tidak tersukat,
segala baikmu dilindung hasrat,
cuma pedihku tidak terlihat.

Maafkan hamba sering berbeza,
tidaklah angkuh adakala sekata ,
cuma tak sama etika kita,
walau tuan di puncak takhta.

Hamba ini pacal yang hina,
hanya kupunya madah seloka,
wahai tuan yang punya kuasa,
di depanmu kini benarlah nyata.

Hendak kutangis berat rasanya,
kukenang pedih dan juga jera,
orang di bawah tidaklah sama,
yang di atas tentulah besar suara.

Pernah diriku tuan bangga-bangga,
pernah kau puji berjela-jela,
walau tak pernah diri meminta,
dengan syukur lafaz di dada.

Pernah diri terlambung-lambung,
segala puji naik menggunung,
dihitung-hitung direnung-renung,
segala baik tetap disanjung.

Empat tahun sangatlah singkat,
untuk penguasa mengatur hasrat,
tapi semuanya sudah kau dapat,
di sinilah tempatnya terkabul hasrat.

Di sinilah tempat terkabul hasrat,
segala impian lama tersemat,
di sini puji dan pangkat meningkat,
barang yang dapat hendaklah kau ingat.

Tidaklah hilang segala hormat,
kerana berbeda usia dan pangkat,
mulut terpasung hati pun berat,
bagaimanalah hendak ditentang hasrat.

Tuan dulunya belacu lama,
di sini bergaya laksana sutera,
cepatnya masa tuan di takhta,
hari ini di hujung kuasa.

Dalam sejarah terpahat nama,
orang pertama di singgahsana,
setelah institusi bertukar warna,
kerusi pertama tuan merasa.

Alangkah bangga seluruh keluarga,
dari hutan Machang ke tengah kota raya,
kawan dan taulan tumpang bersama,
rezeki tuan dari Pencipta.

Bukan hendak mengungkit-ungkit,
hendak mengkhabar segala sakit,
pedih dan ria semua terpalit,
maka itulah daku mencoret.

Pusat intelektual harus diisi,
namun sayang tersasar lari,
‘kampus festival’ lebih terbukti,
kerlip kamera tidak terperi.

Intitusi ini akademik terasnya,
haruslah itu menjadi pertama,
kedua akademik ketiga pun ia,
barulah berkembang mahsyur merata.

Bila sudah tersalah pilih,
kiri dan kanan menjadi letih,
yang bawah pula asyik merintih,
tuan jadi kaca terpilih.

Ilmu seni banyak uratnya,
bukan semua faham tamsilnya,
laksana lautan luas ujananya,
begitulah faham fakir yang dina.

Kalaulah fakir faham tamsilnya,
lebihlah bestari tuan di peterana,
ilmu akademia itulah utama,
bukan konsert, bukan makan percuma dan beli pokok bunga.

Setahun lalu bermula pedih,
dituduh G12 berbelok dalih,
sahaya semua cuma memohon kasih,
itu pun malu dan rasa jerih.

Sangatlah hina ketika itu,
kononnya 12 derhaka tersalah waktu,
meminta-minta tak rasa malu,
sampai sekarang kusimpan sendu.

Elok jua angkara dua belas,
menjulur keris menyerang balas,
walau rasa batin tertindas,
terus bekerja tak pernah culas.

Semua berlaku ada hikmahnya,
dalam Ramadan Tuhan tunjuknya,
terguris tercalar dikunyah jua,
sampai mati tidak terlupa.

Begitupun hamba sasterawan kecil,
dipandang bagai penyair terpencil,
tuan merasa jiwaku kerdil,
tidak upaya menjadi kandil.

Penulisan itu tajam penanya,
tuan tersalah ukur nilainya,
di kamar mengasah tiada jemunya,
di kuliah pula menyebar ilmunya.

Kelas ketiga rasanya kami,
di bucu akademi tersorok kami,
tidak menonjol kononnya kami,
rasa ngilu hatinya kami.

Sebarang suara penyair pencil,
dianggap murah harganya nihil,
tidak memberi laba dan hasil,
menjadi pula penyair degil.

Penyair degil besar kepala,
perintah dan arahan ditolak sengaja,
murahkah penyair tiada harga,
dititah kuasa, terhukum aksara.

Sampai sekarang terhiris hati,
kugantung pena mahu berhenti,
kerja menyair tiada bererti,
berhentilah sahaya menulis puisi.

Bohonglah sahaya jika tiada yang menarik,
ada jua tuan berbuat baik,
banyak juga kejayaan tuan melarik,
hingga nama institusi meninggi naik.

Apa yang baik kami kenangi,
kepada tuan yang memayungi,
budi dan jasa kekal mewangi,
walau tuan melangkah pergi.

Sedikit sedih dan juga sesal,
kerusi tuan tidaklah kekal,
menjadi pengajaran buat yang tinggal,
semoga tak terulang tulah dan sial.

Catatan ini tidak mengungkit,
apa lagi hendak membangkit,
jatuh bangun dan juga sakit,
tidak mengalah walau sedikit.

Terasa sangat dekat pengajaran,
sahaya mengambil sebagai ingatan,
dengan politikus jangan bermain,
racun dan belati ia punya kawan.

Banyak perkara hendak dilepas,
banyak juga yang sudah terlepas,
kembalilah diri menjadi waras,
barulah hidup terasa puas.

Ingin dikenang yang baik rupa,
tapi yang durja lekat di sukma,
atas kebaikan terima kasih dan doa,
yang lain biarlah kukenang jua.

Ampun dan maaf silap dan salah,
berbincang, berdebat dan bertelagah,
mana tercuit, tersentuh dan bergumpal amarah,
biarlah terpahat dalam sejarah.

Banyak lagi yang hendak diluah,
tapi rasanya tak cukup kalimah,
hendak lepas semuanya terasa susah,
hendak mengenang pula terasa payah.

Di sini sahaja pidato terhenti,
menjadi catatan yang penuh erti,
selamatlah tuan melangkah pergi,
dalam benci dan rindu kami kenangi.

20 comments:

awangsulungmerahmenyala said...

indahnya madah seloka tuan,bagaimana tuang menghasilkannya dengan begitu baik sekali,ajarilah hamba.
dari bait-bait tuan itu ternyata orang yang dimaksudkan telah turun dari takhta.
singgahsana itu hanya sementara tuan,tiada yang akan kekal.
tapi pada firasat hamba,tuan sangat berlapang dada dengan pemergian tuan yang dimaksudkan itu boleh gantung pisang atau gantung apa-apa sahaja.
namun tuan jangan gumbira lah sangat manalah tahu penggantinya nanti lagi...ah,itu urusan tuanlah,pandai-pandailah tuang menghandelkannya hehehehe..
namun tuan

saleeh rahamad said...

tuan suluk,
bukan pacar tapi pacal. pacar kok berpacaran dengan siapa.

kalau ya pun nak marah janganlah diluahkan. bak kata orang tua, harimau di dalam perut, kambing kita luahkan.

Anonymous said...

one, diluah pada yang pergi, yang datang dengarnya bermacam peri, dan tak ubah sama seperti, kalau beginilah nasib institusi, nampak gayanya tuan kita hanyalah barua pak menteri... ke mana lah kita nanti

G12

Sham al-Johori said...

Wah, org AWSARA nampaknya sekarang ni suka berseloka ya!

Nur Fatiha Fadila said...

Huhu, indah dan dalam maksudnya :0

Seronok dibaca. En. Wan boleh buat kuliah cara-cara menghasilkan seloka yang benar-benar mampu menterjemahkan perasaannya. Hemoh Hemoh.

ekspresi said...

wow, panjangnya...
jarang sekali zaman sekarang ni oarng boleh tulis puisi tradisional panjang2. baguih...

Anonymous said...

sekarang yang panjang belum tentu utuh isinya. tapi puisi (syair?) pak wan ni hebat juga. Cuma saya nak tambah pandangan, sebenarnya publisiti meriah yang selama ini dibuat oleh Aswara sangat besar kesannya pada institusi itu. Dengan itu akan terbuka mata orangramai tentang kewujudan Aswara. Kuasa media sangat penting sekarang. Orang dah nampak Aswara sekarang dengan lebih jelas. jangan nak ikut sangat universiti tempatan kini. kami di universiti sangat tertekan dengan sistem baru yang kununnya mementingkan mutu akademik tetapi sebenarnya cuma melayan permainan kapitalis akademik Eropah. Inilah bahasa kewajipan penulisan dala jurnal ISI/WEB Sains sekarang.Janganlah sesiapa nak cuba masuk bekerja di UM kalau tak ada jurnal ISI.Tunggulah VC bertukar nantilah.

Eva Sardiyanti Sarudin said...

~ Terasa tumpul pabila diendah tapi tajamnya bisa menembus.

NASSURY IBRAHIM said...

Seronok baca seloka ini dan kreatif. cuma, ada satu baris panjang tu elok dipendekkan agar seragam.

benuasuluk said...

awang,
saya tidak sebagus mana untuk ajar tuan menulis. Saya sekadar mencatat sahaja apa yang terpendam selama ini.
Betul, kalau tuan baca betul-betul, tuan akan tahu dan faham bahawa saya tidak gembira pun dengan situasi ini. Banyak sangat hati terluka, barangkali yang pergi pun hatinya turut terluka. Sebab itu tidak ada 'pesta' gantung pisang di sini. Orang di sini semua baik-baik belaka.

benuasuluk said...

Ayah Leeh,
hak hak dah betulkan. Sebelum ni asyik sibuk berpacaran, sampai dah jadi keliru hu hu.

Saya tak marah pun sewaktu menulis ni. Bahkan saya bermenung lama memikirkan baik buruk kalau saya muat naik entri ini. Tapi saya sedar saya menulis dalam keadaan waras. Saya sudah marah sejak lama, bahkan secara berdepan pun saya marah dan menegur dulu. Tapi sudah maklum kita orang kecil sebarang kata hanya menjadi debu yang diterbangkan angin cuma.
Ayah Leehku, betul saya tidak marah,yang Ayah Leeh baca ni memanglah sekadar 'kambing' yang saya luahkan, :-)

benuasuluk said...

sahabat anon G12,
semoga semangat kita untuk terus bekerja tidak patah dan luntur. Sekarang kita kembali ke zaman ASK lama, kembali ditadbir oleh orang dari kebudayaan sendiri. Sirihpulang ke gagang (walaupun dalam situasi akademik tidak berapa sangat menggembirakan). tapi kita terima, sekurang-kurangnya orang dalam lebih baik dari kita membawa penumpang luar seperti PTD masuk ke sini dan menjadi raja!

benuasuluk said...

Tuan madrasah,
saya ciplak semangat SN je. ha ha.

benuasuluk said...

wardah,
saya tak pandai untuk mengajar orang. Cukuplah menulis untuk diri sendiri. Sdr belajarlah dari orang yang pandai supaya tidak menjadi berguru kepalang ajar.

benuasuluk said...

tuan tanah tanjung malim,
tak bagus pun, banyak kelemahan sebenarnya. Saya bukan arif sangat dengan benda alah tradisional ni.

benuasuluk said...

tuan anony 5:24PM (gaya tuan menulis macam Ayah Leehku),
memanglah puisi panjang saya ni tidak bagus pun isi dan tak ada makna pun barangkali.
Bekerja di ruang akademik memang selalu membuatkan kita tertekan kadangkala. Bukan tertekan dengan kerja kita, tapi tertekan dengan krenah, mehnah dan tribulasi di sekeliling ruang kerja kita. Hakikatntya kita seronok dengan dunia kerja kita. Nak buat macam mana,nampaknya semua institusi akademik" menyimpan" masalah tersendiri.

benuasuluk said...

rainrose,
emm, itu sesudah sebelum ini agak lama senyum dalam tangisan...

p/s - Lama tak jumpa. Novel dah siap dibaiki? Bila nak hantar?

benuasuluk said...

Sdr. Nassury,
terima kasih atas pandangan dan saranan. Dari awal lagi saya tak selesa dengan baris tu, tapi nak dibuang atau dipendekkan ... ahh susah nak cakaplah, be!

Luqman Hakim QA said...

berhenti jadi penyair, jadi la pengayuh gerek. tak dak orang nak kacau dan kayuh la sepuas-puasnye!

benuasuluk said...

luqman,
minggu depan aku ambik kunci. Mai tolong cuci rumah aku, :)