Monday, December 21, 2009

Catatan-catatan Pendek Seminggu

(i)

Kampus tersangat sunyi melebihi daripada biasa. Sedang cuti semester, hingga awal Januari. Sejak hampir lima tahun belakangan ini, saya selalu terasa seperti sedikit “ngeri” bila sahaja pelajar mulai cuti semester. Pada waktu inilah saya (semua pensyarah sebenarnya), akan berkurung di bilik menyemak kertas peperiksaan dan tugasan pelajar. Selalunya saya memang suka berkurung di ruang yang sunyi, tapi tidak untuk perkara ini. Tersiksa rasanya. Semuanya seperti mengambil masa yang terlalu lama untuk dihabiskan. Rasa “ngeri” ini kadang-kadang menimbulkan rasa serik. Namun, rutin ini terus berulang dan berulang.

Saya sering menjadi juara pensyarah yang paling lewat menghantar kertas markah kepada HEA – selalunya saya “bersaing” dengan Zakaria Ariffin untuk mendapat gelaran pensyarah terakhir menghantar rekod markah pelajar. Tahun ini berazam untuk menghantar lebih awal kepada HEA. Ada juga tugasan pelajar terpaksa saya angkut bawa pulang ke rumah untuk dibaca dan ditanda. Tapi, tinggal tempoh seminggu lagi sebelum tarikh akhir, saya percaya saya akan terus memegang gelaran pensyarah paling degil dan liat menghantar markah peperiksaan akhir semester pelajar.

(ii)

Minggu ini teruja lain macam, sebab baru ambil kunci rumah. Belum bercadang untuk pindah dalam tempoh waktu terdekat ini. Banyak perkara yang belum selesai di PJ ini. Saya belum sempat pun jatuh cinta dengan PJ lagi. Banyak hambatan yang perlu saya beresi sebelum angkat kaki berpindah untuk masuk ke rumah sendiri. Biarlah saya selesai satu, satu dahulu. Namun, saya tidak dapat sembunyikan rasa girang dan teruja untuk masuk ke rumah sendiri, sesudah menjadi kaki penyewa agak lama juga.

Rumah ini saya kira agak jauh untuk saya ulang alik ke pejabat setiap hari. Tapi itu bukanlah menjadi perkara yang utama pada perkiraan saya. Saya pun sebenarnya tidak tahu mengapa saya memilih untuk membeli rumah di sini. Datang tengok rumah contoh sekejap sahaja, bincang dua tiga patah dengan orang rumah, orang rumah setuju, terus saya bayar wang pendahuluan sebagai tanda jadi. Bermula bulan depan saya akan “dihambat” selama 25 tahun sebagai orang yang berhutang dengan kerajaan. Pun, rasa teruja setelah seberkas kunci di tangan rasanya lain macam.

(iii)

Sudah banyak kali isteri saya berkata kita sekarang perlu hidup di zaman anak-anak kita. Tidak perlulah terlalu bernostalgia tentang kenangan-kenangan lalu. Saya rasa terpukul dan terkedu. Saya jawab balik, kalaupun saya perlu hidup pada zaman anak-anak saya sekarang, apakah menjadi satu kesalahan atau bebanan kalau saya ingin mengenang bagian-bagian atau sobek-sobekan kenangan hidup masa lalu? Dan ini pun menjadi satu keterujaan kepada saya. Januari ini, Adib si sulung saya akan mula masuk darjah satu. Maka minggu ini berkesempatan membuat persediaan sebelum Adib masuk sekolah.

Banyak perkara yang saya kenangkan. Adib (dan adik-adiknya) sangat beruntung; memiliki apa yang tidak dapat saya miliki sewaktu usia saya sementah dia. Walaupun tidak semua keinginan Adib dan adik-adiknya saya penuhi, namun saya kira mereka lebih beruntung jika saya berpaling melihat diri saya 27 tahun lalu. Semuanya tertayang-tayang dan berlegar dalam ruang kecil di sudut hati. Itu bagian saya, dan bagian orang-orang yang sezaman dengan saya dahulu. Sekarang lainlah pula. Begitulah maksud isteri saya. Jadi, janganlah membanding-banding harga kelengkapan sekolah anak yang terlalu mahal berbanding dengan zaman kita dahulu, katanya lagi. Kita hidup bukan pada zaman kita sekarang, katanya ulang bersipongang dalam kepala saya.

Saya mengenang bukan sebab cerewet berhabis duit banyak untuk sekolah anak. Tidak, bukan itu maksud saya. Saya hanya mengenang betapa nilai kehidupan kita sudah banyak yang berubah. Kita memiliki sesuatu, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan sesuatu yang lain di belakang kita. Dan anehnya, sesuatu yang kita tinggalkan di belakang kita itu dahulunya pernah menjadi satu bagian yang terpenting dalam hidup kita.

(iv)

Syarahan Agung Sasterawan Negara dan Seniman Negara agak ramai yang hadir. Tahniah untuk Muhammad dan Anwar atas pidato yang mengesankan. Muhammad lantang, tegas dan lebih berani daripada biasa. Sementara Anwar lembut, beralas dan menikam, walaupun sebenarnya kertas kerjanya saya kira lebih tajam. Saya perhati ramai orang tertawa bila Muhammad bercakap dengan telo Sungai Acehnya. Sedangkan inti ucapannya banyak membuatkan kita menjadi perenung, penafsir dan kemudiannya menangis dalam diam. Jadi, kita sedang tertawa pada perkara yang harus kita tangiskan. Bangsa kita, budaya kita, sastera kita, bahasa kita sedang dalam perjalanan menuju tragedi. Ungkapan-ungkapan “tragedinya” sangat mengekori dan mengesankan saya. Dan saudara, tolong jangan sebut saya pembohong lagi. Sangat menyakitkan. Tanyalah pada Muhammad apa perlu kita berbohong dan menjadi pembohong pada perkara yang harus kita tangiskan?

Sesi Syed Ahmad Jamal saya kira agak malang. Bagi saya ketidakhadiran dua orang teman setarafnya saya kira suatu kemujuran. Beliau seorang pun sudah cukup baik saya kira. Cuma, ketika beliau bercakap terlalu banyak gangguan di bawah. Ramai yang bercakap-cakap – dengan agak kuat pada perkiraan saya. Semua sudut berbunyi dengung. Saya terasa terganggu. Bukan tidak boleh bercakap, tapi perlahanlah sedikit. Sehingga ada sekali beliau menegur, orang tidak suka dia bentang kertas, jadi mereka bentang kertas di bawah. Tak malu ke bila seorang Seniman Negara menegur seperti itu, walaupun gaya cakapnya penuh jenaka?
(v)

Sudah bertentang dengan Zakir dan Saleeh, orang kuat PENA. Dengan ini, kami mengisytiharkan genderang Malam Genta Puisi ASWARA-PENA kembali dipalu. Insya-Allah, kita bertemu lagi 31 Disember 2009 nanti. Kalau ikut penggiliran, tahun ini akan kembali ke Rumah PENA. Kerjasama kami sudah masuk tahun ketiga. Maklumat lanjut akan beritahu kemudian. Malam Genta ini akan menjadi acara penutup untuk kalendar 2009 ASWARA dan PENA.

Jemputlah datang nanti beramai-ramai, walaupun kami tidak menjanjikan apa-apa bunga api untuk yang hadir.

(v)

Salam Maal Hijrah untuk semua saudara, saing dan sobat; serta yang berkunjung ke sini. Semoga kedatangan tahun baharu Hijrah ini memberikan sesuatu yang indah, jernih dan mercup untuk kita; dan untuk Islam agama kita hendaknya. Amin!

6 comments:

Nur Fatiha Fadila said...

Assalamualaikum, En. Wan,

Saya pula sangat rindu akan suasana belajar dan tidak sabar memulakan semester depan yang khabarnya bagai berenang dalam api dan bernafas dalam selut. Dalam masa yang sama menahan rasa dalam menunggu keputusan peperiksaan.

En. Wan dapat membaca kertas kerja Prof? En. Wan beruntung kerana tidak semua semua hadirin yang mendapatnya.

Tahniah untuk penghijrahan ke rumah baru.

benuasuluk said...

wardah,
belum pindah jangan la tahniah lagi, :)

edolah said...

mana janji nak pinjamkan koleksi 3 buku 'terrorist suci' tu..

benuasuluk said...

kri,
haha. Tak abis baca lagi.

edolah said...

takut2 lepas habis baca semuanya...dengar2 tuan ada di palestin pulak...tak sempat nak bergenta puisi di pena nanti!

benuasuluk said...

kri,
kalau pi, saya bawa tuan sekali. Syahid ramai-ramai baru best sikit. Ka tuan takut?