Sunday, November 8, 2009

Balada Mantan Penyair, :-)

Saya terlupa rupa-rupanya berhenti menjadi penyair, disebut sebagai mantan penyair. Lebih kurang, seminggulah menjadi mantan. Malam Jumaat lepas, ke acara Baca Puisi Pena – hos SN Anwar Ridhwan. Kerana baru seminggu menjadi mantan, saya terlupa saya bukan lagi penyair. Terhegeh-hegeh saya siapkan sebuah puisi khas untuk Anwar. Bila sampai sahaja di pagar Rumah PENA, baru teringat aku bukan lagi penyair. Maka, puisi untuk Anwar ini terkunci senyap-senyap dalam beg sendeng merah saya sampai tamat acara. Oh kalaulah Zakir dan Lutfi tahu malam tu, mesti lagi teruk saya digelakkan mereka.

Pedih juga telinga diusik kawan-kawan sebagai mantan. Sejarah selalu membuktikan bahawa selepas menjadi mantan, kita sudah tidak berguna lagi. Harap-harap saya menjadi mantan yang tidak tergolong dalam kalangan tersebut. Haha.

Saya turunkan puisi tersebut untuk kawan-kawan yang singgah di sini. Tak akan disiarkan di mana-mana. Ini puisi pertama selepas seminggu saya mogok tak mahu menjadi penyair. Rupanya susah juga nak berhenti menjadi penyair. Tak kisahlah walau tak dapat bacakan depan Dato’ Anwar. Ini interpretasi saya terhadap sebuah cerpen Anwar Ridhwan yang sangat saya gemari. Siapa pengikut karya Anwar pasti tahu cerpen yang mana. Selepas menulis entri ini, bolehlah saya emailkan puisi ini untuk Anwar.

Percakapan yang Tak Terucapkan Masitah kepada Budin dan Jali
(dengan apologi kepada Anwar Ridhwan)

(i) Kepada Budin

Kang, maafkan aku
kerana menjadi suri yang menyimpan titik hitam
kenangan dari khazanah perang
menjadi sejarahku yang abadi
kerahsiaan ini sangat menghukumku
antara kecintaan, kasih sayang dan ketaatanku padamu
aku telah terlebih dulu
memilih jalan payah
dengan menghukum diri
memilih menjadi perahsia
maka itulah, bertahun-tahun ini
aku mengendong kenangan perang
menjadi beban yang tidak terungkapkan

Kang, maafkan aku
kerana menyimpan bencana perang
lalu menjadi perang dalam diri
yang tidak kunjung padam
kerana antara kecintaan, kasih sayang dan ketaatanku padamu
aku telah terlebih dulu memilih duri susah
dengan memenjarakan diri
dalam tembok kerahsiaan
maka itulah, bertahun-tahun ini
aku menulis sejarah perang dalam diri tidak berjiwa

Kang, maafkan aku
kerana sesudah perang berakhir
engkau gagal menerka
masih kusimpan rapi
perang dalam diri; doakan aku
agar terus teguh menjadi perahsia


(ii) Kepada Jali

Anak, maafkan aku
kerana sering menjadikan engkau
penjara dalam diri
aku ibu yang cuba menjadi tabah
dengan sedikit kekuatan
kerana saban waktu engkau berdiri di depanku
sebagai cermin dan arca silamku yang gelap
bertahun-tahun ini aku memaksa kesedihan
terbenam ke dalam sukma paling jauh

Anak, maafkan aku
engkau bayang-bayang perang
yang tiada kesudahan
bagaimana ingin kukatakan padamu
sejauh ini aku mengheret nestapa perang
dan engkau membesar menjadi remaja
tidak berwajah dan berhati bapamu di depan mataku
sungguh, aku sangat terhukum

Berangkatlah anak,
walau kutahu keberangkatanmu
takkan mampu memadam sejarah hitamku
takkan mungkin menghilangkan
kenangan perang bertahun-tahun lalu
yang sangat kurahsiakan selama ini

Maafkan ibu, anak
jika kau pulang nanti
aku masih jua begini
mengheret perang dalam diri
tanpa kesudahan
aku ingin terus menjadi ibu kepadamu
dalam perang
dalam perang
dalam perang

(iii) Kepada diri

Tuhan, doakan aku
agar terus kukuh pendirian
menjadi isteri dan ibu yang perahsia
yang tabah membenam
nestapa perang
nestapa perang
nestapa perang


Taman Sri Sentosa, KL 2009

16 comments:

Sham al-Johori said...

Tuan tanah rusuh dari benua sepi,
Wah, selepas keluar dari diksi 'mantan penyair', nampaknya lagi ganas susuanan kata-katanya; jelas menikam.

Ala, biasalah, merajuk orang tua macam kita ni tak lama. Kejap aja. Lagipun penyair kecil mcm kita ni mana boleh berhenti jadi penyair. Kalau berhenti jawabnya, macam-maca sakit menyerang. Silap-silap boleh jadi gila...
Hehehe, biar merapu janji tidak berbekas di hati.
selamat menjadi penyair kembali.

Rahimidin Z said...

Haloo....

Nur Fatiha Fadila said...

Subhanallah.

En. Wan saya bukan hendak memuji. Ini apresiasi saya sebagai pembaca. Puisi ini benar-benar meruntun jiwa. Terasa benar kesengsaraan jiwa yang dihadapai Masitah lantaran menyembunyikan kebenaran. Terima kasih atas perkongsian.

"Sesudah Perang"

anjang Bahar said...

sesudah perang,
tanahnya dipugar musuh!
membawa derita terus...

lutfi said...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Eva Sardiyanti Sarudin said...

~berbisa sehingga menikam qalbi...terasa agungnya seorang wanita yang menjadi perahsia perang dalaman....


'sesudah perang'

chekem mirza said...

itu cerpen 'sesudah perang'. Saya ingat sangat cerpen ini sebab masa belajar sastera dulu saya rasa teknik penulisannya berbeza dan memberi kesan dalaman khususnya watak wanita yang berperang. Kalau boleh nak baca dan nak ingat balik cerita 'sesudah perang'.

benuasuluk said...

sheikh sham,
lepas siap betul-betul buku negeri kata-kata, baru berenti terus!
:-)

benuasuluk said...

Abe Im,
ya haloo haloo. Maaf be, terlupa sekejap kata dah berenti. Takpa, ni boleh sambung balik berenti. Bolehkah?

P/s - Salam takziah dan dukacita atas kepulangan ayahanda tercinta. Moga-moga tempat terbaik disediakan Allah untuk almarhum ayahanda.

benuasuluk said...

wardah,
tak ada apa sangat pada puisi mantan penyair. Tu pun sebab tersalah tulis. cerpen Dato' lagi berbekas berbanding dengan puisi si mantan yang entah apa-apa

benuasuluk said...

anjang bahar,
dalam kata-kata sdr.

benuasuluk said...

lut,
waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh. Terlupa bang terlupa. Kalau tak tersedar mau aku baca kat Pena malam tu.

benuasuluk said...

rainrose,
dah siap novel tu? Saya tungguuu

benuasuluk said...

ce'kem,
cerita alkisah raja sekumantara tu pun boleh tahan.
Tunggu nanti saya balas balik dengan cerita hikayat lampam di bawah jamban
:)

edolah said...

seperti mafhum tuan hj sham al-johori.. berhenti menjadi penyair akan tambah merusuh jiwa dari benua sunyi..kerana bagi manusia macam kita, puisi menjadi terapi..hehe

benuasuluk said...

edolah,
itulah pasal. Rusuh, rusuh jadinya.