Thursday, October 22, 2009

Puisi Adalah Peta Perjalanan Hidupnya
Allahyarham T. Alias Taib adalah antara penyair yang saya kagumi sosok puisinya. Kekayaan metafora asli yang dimilikinya sangat mengagumkan saya pada sejumlah karyanya. Saya mempunyai hampir lengkap kumpulan puisi persendiriannya; kecuali kumpulan pertamanya – Laut Tak Biru Di Seberang Takir.

Petang Condong adalah kumpulan puisinya yang paling saya gemari. Bahkan Petang Condong ini mempunyai pertautan panjang dalam dunia kreatif dan dunia akademia saya. Kajian penulisan ilmiah saya pada tahun akhir di universiti, saya menyorot Petang Condong inilah. Melaluinya, saya temui satu ruang untuk berkenalan dan akrab dengan penyairnya. Saya masih ingat, saya naik LRT turun di Setiawangsa. Di situ, dia telah sedia menunggu saya. Dengan kereta Datsunnya, saya akhirnya sampai juga ke rumah arwah di Lembah Keramat. Semuanya kerana Petang Condong. Dari situlah saya lebih menggali sosok peribadinya. Banyak juga perkara mengenai arwah yang tidak diketahui umum, tinggal menjadi sejarah dalam memori saya kekal kini.

Pun, saya tetap mimpikan Laut Tak Biru Di Seberang Takir. Setiap tahun ketika saya mengulang baca semua kumpulan puisinya (saya menjadikan setahun sekali sebagai “acara” wajib untuk kembali menelaah bukunya), Laut Tak Biru Di Seberang Takir ini sering berderau dalam sukma, sering beroleng bermain di mata. Entah bila mampu memilikinya. Buku yang tercetak dalam bentuk stensilan tahun 1972 itu tidak saya temui di mana-mana lagi. Saya sanggup beli jika ada sesiapa yang memiliki naskhah asalnya dalam bentuk stensilan itu.

Hanya sebulan dua yang lalu, seorang karib yang sangat memahami minat saya terhadap puisi arwah, telah menghadiahkan saya Laut Tak Biru Di Seberang Takir dalam bentuk fotokopi. Entah di mana karib ini temui fotokopi stensilan ini. Sangat saya hargainya. Lima tahun sesudah Pak Ungku pergi (meninggal 17 Ogos 2004), barulah saya dapat melengkapkan koleksi saya dan menatap Laut Tak Biru di Seberang Takirnya walaupun hanya dalam bentuk salinan fotokopi. Saya dapat menilai sosok asalnya bagaimana. Terasa puas.

Saya pegang kajian ilmiah saya pada tahun akhir 10 tahun lalu. Saya mendapat gred ‘A’ untuk latihan ilmiah itu. Kini seperti tiada makna lagi. Saya ingin menghumbannya sahaja ke laut hitam.

14 comments:

awangsulungmerahmenyala said...

karya yang klasik macam tape may tuh huhuhu.setiap seniman ada karya klasiknya tersendiri sesiapa yang beroleh karya klasik mereka bertuahlah orang itu tapi kalau sekadar fotokopi kira bertuah jugalah tuh kan,kalau lu ada majalah glam lagi lu cool bah hak hak.

FARAHNYEMAHMULYA said...

kenapa nak buang ke laut hitam..berjiwo lah...

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Saya mula meminati sajak-sajak T. Alias Taib ketika belajar dulu. Saya pernah menangis membaca 'Pasar Pengalaman'

saleeh rahamad said...

bang dah ada ke buku Di Sisi Pelita Minyak Tanah. Allahyarham pernah meminta saya membicarakan buku terkahir beliau tetapi sampai hayatnya sirna hajatnya tak kesampaian kerana perancangan yang dibuat dengan Gapena tak menjadi. kesian dia. siapakah yang bersalah?
buku itu masih saya simpan dan belum juga saya tulis tanggapan saya terhadapnya

Anonymous said...

Patut dikumpulkan semua sajak yang ditulis seumur hidup beliau dalam satu buku, edisi terhad pun tak apa. Macam 'Sajak-sajak Lengkap' Latif Mohidin tu atau sajak-sajak SN A Samad Said(tapi yang ni tak lengkap, hanya sampai tahun 2003/2004 sebab beliau terus menulis). Nak cari-cari yang lama, memang susah nak jumpa...tapi ramai yang nak membaca dan terus mencari. (Fahd Razy)

Zaid Akhtar said...

laut hitam tu jauh, bro.

benuasuluk said...

awang,
fotokopi tu pun kira jadilah awang, mana nak dapat buku yang asal dalam bentuk stensilan. Lagipun rasanya saya tak dikira bersalah kot sebab Laut Tak Biru Di Seberang Takir tu terbit sebelum saya lahir

benuasuluk said...

farah,
ye lah. Dulu walaupun hanya mengkaji Petang Condong, saya terlepas untuk melihat sisi sosok awal arwah sebab buku tu tak ada. Bila dah dapat buku tu, rasa macam saya tak berlaku adil pula untuk kajian sendiri.

benuasuluk said...

tengah,
setiap kumpulan puisinya saya ada pilihan sendiri yang mana satu puisi kegemaran saya. Petang Condong hampir kesemuanya saya suka.

benuasuluk said...

Ayah Leeh,
Di Sisi Pelita Minyak Tanah saya dah lama ada. Laut Tak Biru ini adalah koleksi terakhir arwah yang saya miliki, walhal ini buku pertamanya.
Teruskanlah menulis tanggapan terhadap beliau dalam Di Sisi Pelita Minyak Tanah tu walaupun dah agak terlepas. Hajat arwah tu...

benuasuluk said...

Fahd,
cadngan yang baik tu. Soalnya siapa yang nak buat dan siapa yang nak terbitkan. Saya kalau diberi keizinan untuk jadi penyusun 'sajak-sajak lengkap t. Alias', saya sanggup!

benuasuluk said...

zaid,
heh heh, ye ke jauh laut hitam tu? Tak terfikir pula gua.
:)

edolah said...

...mengingati arwah pak engku mengimbau kembali kenang sewaktu saya mula terjun ke lubuk deklamasi zaman sek men (1985)..sajak arwah "Dongeng Kota 2" mengangkat saya mengecap nikmat juara buat kali pertama..betul2 terjun (merebahkan diri) sewaktu mengungkapkan bait2.."Kota berbaring dan memejamkan matanya.."
Mahal sungguh kenangan tu !

benuasuluk said...

e,
mahal tu.