Monday, October 26, 2009

Bunga Gerimis

Antologi Bunga Gerimis yang diselenggarakan oleh Kamaruzzaman A. Kadir (yang kemudiannya menjadi pensyarah saya 1997-2000) ini tidaklah terlalu lama cetakannya. Cetakan pertamanya 1986, oleh Fajar Bakti.

Bunga Gerimis ini menjadi salah satu teks sastera saya peringkat SPM tahun 1992, selain dari antologi cerpen Hari Kemerdekaan terbitan Marwilis Publisher yang diselenggarakan oleh Ramli Isin dan Sahlan Mohd Saman (Ramli kemudiannnya turut menjadi pensyarah saya).

Saya ingat lagi ketika meminjam skim buku teks sekolah, saya terima buku Bunga Gerimis yang putih bersih – dan kemudiannya saya pulangkan buku itu kepada sekolah dalam keadaan separuh “lembik” setelah saya kerjakan sesungguh hati. Antara puisi yang menjadi santapan saya dalam Bunga Gerimis itu ialah puisi Negeri Tercantik oleh Nahmar Jamil, Ke Pelabuhan Jauh oleh A. Wahab Ali, Jelita Malam oleh Dharmawijaya, Sesetia Malam Pada Siang oleh Siti Zaleha M. Hashim, Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini oleh Usman Awang dan banyak lagi. Saya percaya Bunga Gerimis ini juga sedikit sebanyak membantu menumbuhkan sayap kepenyairan saya kemudiannya.

Selepas SPM, saya pulangkan kembali teks ini kepada pihak sekolah – dan kemudiannya saya tidak pernah temui di mana-mana Bunga Gerimis ini - hal ini turut "dibantu" dengan penutupan Fajar Bakti tidak lama kemudian.

Tahun lalu, ketika warawiri di sebuah kedai buku di Taman Ismail Marzuki, Jakarta, saya temui kembali Bunga Gerimis ini di sebuah rak dalam keadaan berdebu. Tanpa fikir panjang (sebenarnya malu-malu juga), saya beli Bunga Gerimis milik bangsa saya ini di tanah orang. Rasa puas dan gembira kerana buku yang pernah saya gulati hampir-hampir dua dekad lalu kini sudah kembali berada dalam dakapan.

12 comments:

awangsulungmerahmenyala said...

salam gerimis,
patutnya hang balas atau rembat buat apa bagi balik.apa daa...
aku punya dah hilang lah plak.

chekem mirza said...

saya dah lupa apa buku antologi puisi yang saya kronyok masa tingkatan 4 dan 5 tahun 1987-88. memang puisi macam jadi sebahagian sebab besar saya suka pada bahasa dan sastera

Romibaiduri Zahar said...

salam encik wan...
lama tak singgah...
untung masa zaman sekolah dulu-dulu ada kesempatan buku-buku macam ini dijadikan teks bacaan...
sayang sekali, entah tradisi ini akan berterusan atau tidak....
wallahualam

benuasuluk said...

awang,
tak baik rembat buku, kurang barakah. Tengok lu punya buku pun sendiri hilang.

benuasuluk said...

ce'kem,
saya ingat semua teks spm saya - selain bunga gerimis ada cerpen hari kemerdekaan, ada drama penantian, ada novel senjakala. paling best ada teks hikayat umar umaiyah. Umar Umaiyah ini pun saya hadam sampai bersepai jadinya.

benuasuluk said...

romi,
wah mana lama menghilang?

chekem mirza said...

wan,
seingat saya antologi cerpen suatu subuh yang bening, novel seorang tua di kaki gunung, Drama 3 zaman ... buku puisi jadi tak ingat pulak. Masa STPM ingatlah yang kumpulan sajak HS 1971-73 dan novel keluarga gerilya. Seingat saya dalam tu ada sajak mata ayah, balada pohon beringin dan banyak lagi. lupalah

benuasuluk said...

ce'kem,
teks-teks zaman ce'kem tu semua saya dah baca, curi-curi baca masa pak sedara ambil spm & stpm. Waktu tu saya tak faham apa sangat pun bila baca. Budak lagi waktu tu, ada ke patut keluarga gerilya budak sekolah rendah macam saya boleh baca. Mana nak faham.

Nur Fatiha Fadila said...

Assalamualaikum, En. Wan

Hebatlah En. Wan baca Keluarga Gerilya semasa di sekolah rendah. Saya kenal novel dan pengarang Keluarga Gerilya dan jatuh cinta dengannya semasa di semester satu tahun satu. Punyalah ketinggalan!

benuasuluk said...

wardah,
saya tak faham pun. Saya sedap membaca je. Adik Datang A. Samad Said pun saya baca di sekolah rendah juga, lagi saya tak faham ke sudah. Tapi novel yang paling berbekas saya baca masa sekolah rendah dulu Badai Semalam Khadijah Hashim

edolah said...

bukan novel "Bila Hujan Malam" ke.. karya Azizi?hehe

benuasuluk said...

e,
bila hujan malam? Ermm, :)