Sunday, October 4, 2009

Anakku, Celana Kodroi dan Sebuah Cerita

Tengah hari tadi, anakku pulang dengan tangis yang mengongoi-ngongoi. Tidak aku pasti apa puncanya. Belum pernah anak lelaki sulungku berkelakuan sebegini aneh pada perkiraanku. Tangisnya berlanjut-lanjutan agak lama tidak henti-henti. Aku merapatinya, menggosok-gosok kepalanya sambil menanyakan apa yang sudah berlaku?

Dengan teresak-esak, anakku menjelaskan, “Abang terjatuh tadi.”

“Lho kalau setakat terjatuh takkanlah sampai sebegini sekali tangis kamu,” tukasku sambil terus menggosok-gosok debu yang melekat pada pakaiannya.

“Yah, Abang bukan sekadar terjatuh. Tapi telah melukakan celana Abang. Ini celana yang paling abang sayang,” balasnya sambil menunjukkan celana itu yang sudah terkoyak pada bahagian lutut. Aku amati celana kodroi biru gelap itu yang kubeli Ramadan tahun lalu di Kedai Anakku. Memang benarlah ada kesan koyakan yang agak besar.

“Emm nanti boleh minta Ibu jahitkan,” aku juga memujuknya.

“Tak sama lagi, Yah. Setelah terjatuh tadi, terus celana ini tidak mahu lagi bercakap dengan abang. Dia menjadi seperti si bisu.” Ayat ini membuatkan aku terperangah.

“Dulu sering saja dia mahu berbicara dengan Abang. Tapi kini tidak lagi. Yah, aku telah melukakan hatinya.” Ya Tuhan, anak ini benar-benar mengejutkan aku.

Kupegang celana kodroi biru gelap anakku dengan rasa sedikit aneh. Celana boleh bercakap? Mana mungkin! Kuamati lagi. Tiada apa istimewanya celana yang sudah setahun usianya ini, kecuali warnanya yang mula kelabu. Aneh, sejak bila pula anakku mula berperangai aneh seperti ini? Sedangkan sebelumnya aku tidak melihat pun sebarang perubahan yang berlaku pada dirinya. Gerangan apa yang merasuk dirinya, fikirku bertalu-talu.

“Yah, tolong usahakan agar celanaku kembali boleh bercakap. Tolong Yah!” rayu anakku semahunya. Bahunya masih berhinggut-hinggut menahan sedu. “Kalau tidak, tolong carikan celana baru untuk abang, mesti seperti celana ini. Celana yang boleh bercakap.” Sambung anakku lagi.

Semakin aneh anakku ini pada perkiraanku.

Tapi dia masih seperti anak kecil yang biasa sahaja di mataku.

Tiada apa-apa yang pelik dan jelik pada anak kecil sementah enam tahun ini.

“Abang tanggalkan celana ini. Biar Ayah tengok-tengokkan dulu,” kataku cuba memujuknya lagi. Sedang fikiranku sudah ke lain, sudah hanyut dan sudah terbang melayang.

Ya Tuhan, anakku dirasuk apa?

Ketika anakku berlalu, aku mengibas-ngibas celana yang sedikit berdebu itu. Kemudiannya, aku memekap celana tersebut ke telingaku.

(Sungguh, aku melakukan tindakan bodoh ini sesudah dia jauh daripada penglihatanku).

Tiada apa-apa yang aneh. Tidak ada denyut nafas. Apa lagi ada kata-kata daripada celana ini. Apa yang istimewanya kodroi ini pada kaca mata anakku sehingga dia sangat sayangkan celana ini, getus hati kecilku.

Lewat malam, ketika anakku sudah nyenyak di peraduan, kuunjukkan celananya yang terkoyak pada isteriku minta dijahit. Bersamanya juga kuceritakan pada isteriku siang tadi tentang keanehan dan keganjilan sifat dan sikap anak sulung kami. Tentang celana yang boleh bercakap. Tentang celana yang kononnya kini sudah bisu. Tentang celana baru. Tentang celana baru yang boleh bercakap. Tentang ... tentang semuanya.

Tahu apa terjadi? Isteriku menyebelahi anak sulung kami, sambil membidasku dengan kata-kata:

“Awak ini boleh membaca, dan malah boleh mentafsir Muhammad. Boleh menebak Latiff dan Baha. Boleh membaca Azizi. Boleh mengulit Ungku Lias. Boleh menguras Zakir dan Zaen. Boleh tersampuk dengan Rahimidin dan Marsli. Tapi sayang, gagal mentafsir fikiran anak sendiri. Gagal menebak apa kemahuan anak sendiri!” Begitu ucap isteriku, sambil tangannya menghulur ke arahku, minta celana diserahkan padanya.

Aku terhenyak. Apa kena mengena pula celana koyak ini dengan senarai nama penulis yang disebutkan isteriku? Mustahil perangai aneh anakku bersangkut paut dengan buku-buku sastera yang pernah aku baca. Walhal, anakku tidak pernah menyentuh buku-buku aku. Cakap isteri ini membuatkan aku tersandar tanpa kata.

Sekarang isteriku bersiap dengan benang di tangan – mahu menjahit bagian celana yang terkoyak itu.

Sungguh, keajaiban yang berlaku itu benar-benar menjadikan aku seperti si dungu. Saat jarum mula menjalar pada bagian celana yang koyak itu, saat itulah telingaku menangkap bunyi dengusan dan suara mengaduh dari celana kodroi anakku itu. Suaranya sempat kutangkap – sarat dengan rintih dan pedih; seperti jarum itu tusukannya terlalu ngilu.

Dan, aku betul-betul sudah menjadi si dungu, ketika melihat anak lelakiku ini bangun dengan terpisat-pisat sambil berjalan ke arah kami. Dengan wajah kantuknya, dia menanyaiku:

“Yah, sudah jahitkah celana? Tadi abang dengar celana itu mengaduh sakit!”

6 comments:

awangsulungmerahmenyala said...

wah,
sebuah cerita atau sinopsis cereka kanak kanak yang boleh bumm nih,wow.
terbitkan lah sebelum aku mencurinya terbitkan terbitkan!!

MARSLI N.O said...

Ha. ha. Ha.Kat mana dia jatuh? Bagan Pinang?

benuasuluk said...

awang,
terima kasih. Tapi aku bukanlah penulis cerpen. Tak layak aku masuk dalam wilayah cereka. Hanya sekadar menulis memenuhi tuntutan kertas-kertas kosong yang bersepah di rumah sahaja. Tak ingin menjadi apa-apa.

benuasuluk said...

Sdr. Marsli,
ha.Ha.Ha. Hak. Hak. Hak.

maryam khalilah said...

Salam.
Sdr Wan,

Sdr mempunyai 'flair' menulis karya kanak-kanak. Cara sdr menuliskan entri ini membuktikan begitu. Saya harap sdr akan mengembangkan entri ini menjadi sebuah novel, atau cerita. Nilai implisit di sebalik cerita begitu mengesankan.

Wassalam.

benuasuluk said...

Sdr. Maryam,
terima kasih atas perhatian dan komen positif sdr. Saya hanya menulis tanpa rasa apa-apa. Saya hargainya. Pandangan sdr. memberikan inspirasi baru.
Salam hormat.