Thursday, October 8, 2009

Aku, Anak-anakku, Kepala dan Sebuah Tivi

BERKALI-KALI sudah kutegur anak-anakku. Jangan terlampau kerap menonton tivi. Kurangkanlah sedikit menonton. Begitu tegurku. Teguranku kali ini bunyinya sedikit keras lantaran mutakhir ini kuperhatikan secara senyap perbuatan atau tindakan mereka ini terlalu melampau kini. Celik mata tivi. Makan di depan tivi. Tidur di depan tivi. Balik sekolah tivi. Cuti sekolah tivi. Hal ini terlalu merisaukan aku.

Sejak anak sulungku kecil lagi sudah ada tanda-tanda jelas dia gilakan tivi. Jika ada masa-masa tertentu aku menonton, kuperhatikan yang anakku ini terlebih memberi tumpuan terhadap apa yang aku tonton. Sekarang, sudah kukurangkan tanganku untuk menekan punat tivi sejak naik menyampah dengan segala siaran mana-mana saluran tivi. Dulu, aku gemar menonton siaran berita, namun sejak akhir-akhir ini minatku hilang lantaran aku sering saja tertipu. Berita sekarang penuh dengan cerita-cerita pembohongan oleh si pembohong, penipuan oleh si penipu, penindasan oleh si penindas dan segala kejahatan si penjahat. Minatku putus.

Malah, movie yang dulunya sering menjadikan aku lewat tidur sekarang terasa hambar sekali. Semuanya seperti bertukar menjadi selonggok sampah – hanyir, loya dan memualkan. Jalan terakhir, aku mengambil keputusan untuk tidak mempedulikan lagi peti keparat ini. Sesekali, telingaku terasa sumbing apabila mendengar isteriku turut mengajuk-ajuk nyanyian yang terasa buruk pada pendengaranku. Entah dari mana tivi mengutip segala bakat-bakat baru yang kononnya berkarisma besar – sebenarnya mereka terlebih bermimpi besar. Tidak mereka tahu mereka hanya menjadi gunjingan aku saban waktu.

Berbalik pada cerita anakku. Dahulunya, sesuai dengan usianya, dia hanya menonton rancangan kartun. Tidak aku kisahkan, itu sesuailah barangkali dengan keanak-anakannya. Kemudian, minat si anak sulung ini sudah mula mula mencambah dan menjalar pada dua lagi anakku. Dua orang anakku ini akan menuruti apa sahaja rancangan yang menjadi kesukaan abang sulung mereka.

Hinggalah suatu hari bulan lalu, kuperhatikan minat anakku-anakku sudah mula mencapah ke arah lain. Mereka kini menonton rancangan yang dulunya menjadi kegemaranku.

“Kenapa?” soalku pada suatu hari.

“Masa sudah berubah. Kami ingin segera dewasa.” Jawapan yang keluar daripada mulut anak sulungku sedikit memeranjatkan aku.

Kemudiannya, kerana kesibukan atau entah apa-apa, aku tidak mengambil kisah sangat dengan perihal hobi ketiga-tiga anakku. Hinggalah pagi tadi mereka menjadi hantu tivi yang benar-benar gila. Si abang memberontak tidak mahu ke sekolah. Si tengah menjerit tidak mahu ke taska. Si kecil meraung-raung tidak mahu dihantar ke pusat jagaan. Semuanya kerana tivi. Tivi. Tivi.

Haram jadah, tempikku kuat-kuat. Kerana radang, aku hempaskan tivi ke lantai. Kemudiannya, aku melangkah keluar ke pejabat tanpa memandang pun anak-anakku.

Pulang petangnya dari pejabat, kuperhatikan ada sesuatu yang aneh pada ketiga-tiga orang anakku. Di ruang tamu mereka duduk bersila sambil memandang ke hadapan, seperti sedang menonton tivi. Tetapi ada yang ganjil dan aneh. Kepala mereka telah terpulas ke belakang.

Isteriku meraung lalu jatuh terjelepuk.

“Kenapa jadi begini?” soalku dalam kalut dan tidak tentu arah.

“Ini semua abah punya pasal. Siapa yang suruh hempaskan tivi. Sekarang kepala kami terpulas, mengadap ke belakang kerana abahlah.” Si sulungku, bersuara seperti dalam keadaan tertekan.

Buru-buru, tanpa berfikir aku berlari menuju ke kedai tivi. Mujur rumahku tidak jauh dari sederetan kedai di pekan kecil ini – ada sebuah kedai tivi di situ. Cina kedai tersengih memandangku.
“Cepat taukeh, kasi tivi skrin rata, yang paling besar, yang paling lebar. Jenama paling baik,” buru-buru aku bercakap dalam suara yang termengah-mengah.

Kemudian, aku pulang dengan sebuah tivi baru, berskrin rata dengan saiz incinya yang paling besar dan lebar. Dengan cekatan dan gementar, perlahan-lahan aku memasang tivi, lalu menekan punat tivi.

Di belakangku, terdengar tiga bunyi kertupan yang menggerunkan. Perlahan-lahan, kutoleh ke belakang. Kepalang terkejutku bukan mainan. Kepala tiga anakku yang tadinya terpulas ke belakang kini sudah kembali bertukar kepada kedudukan normal seperti manusia lainnya. Tubuhku menjadi lembik tiba-tiba. Dan pandanganku gelap.

Ketika aku membuka mata, sayup-sayup terdengar suara isteriku, “syukur abang dah sedar. Abang pengsan tiga hari!”

6 comments:

MARSLI N.O said...

Kisah Mona yang dulu tu dah habis ker?

adiratno said...

Wan,

Teringat lagi kepala Mona, Syaja Sikin? teerpulas masa member berlari pakai seluaq pendek sendat nak main bola 7 Sebelah padang Syed Omar (Upaq's Team)

awangsulungmerahmenyala said...

seluag sendat iskh aku bukan boleh tgk gals pakai seluag sendat nih nnt mulalah poen depa pun nala punya timboi hehehe..

hah mana citer mona gersang,mana?hehehe...

benuasuluk said...

sdr. Marsli,
ada lagi. Nak ke kisah macam tu lagi?
:)

benuasuluk said...

adi,
aku hanya ingat striker yang sampai ke sudah tak boleh boh gol, last sekali rebah berguling bila kena das depan pintu gol yang macam acaq, makan selut. Patut shidi john bagi penalti aku ambik tapi hampeh dia tak cup wisel. Takut bias dekat kelas kata dia. Podah.

benuasuluk said...

awang,
lu kaki bangku. Lu tak termasuk upaq's team. Lu jadik pom pom boleh la. Hak hak hak.