Lagi Cerita Teringat-ingat
Walaupun tinggal bersama arwah Tokwan, seminggu sekali saya akan “memaksa” Tokwan hantar saya balik ke kampung saya. Hubungan saya dengan kampung tidak pernah putus. Kawan-kawan lagi ramai. Hubungan saya dengan kawan-kawan bertambah kukuh bila saya mengambil keputusan “keras” untuk berpindah tetap tinggal dengan emak ayah sewaktu hendak masuk sekolah menengah.
Ramai kawan-kawan sekampung rata-ratanya sepupu sepapat saya dan sanak saudara belaka. Rata-rata orang kampung saya semuanya ada gelar yang menunjukkan hubungan antara kami semuanya bersaudara. Sebenarnya bukan sekampung, tapi dua kampung. Kampung saya, Kelut bagaikan bersaudara kembar dengan Kampung Lanjut Malau di sebelah kampung kami. Kedua-dua kampung ini mempunyai hubungan yang sangat istimewa dan terus berlangsung hingga kini. Semuanya kerana saling mempunyai pertalian hubungan saudara atau kekeluargaan.
Di tengah-tengah Kampung Lanjut Malau, ada berderet-berderet rumah (yang kami panggilnya rumah kongsi) yang di huni secara bersama oleh keluarga Melayu, Cina dan India dengan sebuah kuil hindu mengapuk dengan megah di tengah-tengahnya. Rumah kongsi ini sudah ada sejak lama, saya tak pasti sejak bila. Tak pernah saya ambil tahu, saya hanya tahu bermain saja di situ.
Di tengah-tengah jalan sempadan antara Lanjut Malau-Kelut, ada sebuah jirat cina membukit dengan megahnya. Kubur cina ini dibina di kawasan bukit yang agak tinggi. Orang luar yang masuk ke sini mesti akan nampak jirat ini, kerana sebelum ada jalan baru, jalan yang lama betul-betul akan melintasi jirat ini. Dulu, saya selalu memanjat jirat cina yang tinggi ini hingga sampai ke puncaknya. Tanpa rasa ngeri. Malah kadang-kadang saya sendirian saja naik sampai ke atas. Saya suka kerana pemandangan dari puncaknya terasa sangat indah. Saya boleh melihat pemandangan yang saujana, bahkan sayup-sayup saya akan nampak hingga sampai ke Jabi. Terlihatlah sawah bendang nan hijau menguning dan ladang getah yang hijau merimbun. Waktu itu bandar Pokok Sena tidak nampak kerana dilindungi oleh rimbunan ladang getah dan bukit yang menghijau hutannya. Sungguh seronok.
Kawan-kawan saya selain daripada Aziz sepupu saya, Meun dan Adnan dua pupu saya, Lee (yang kami gelarnya Lee Bereng), Mat Din Burung, Mat Not Hassan Darai dan ramai lagi, saya juga punyai sederet kawan-kawan bukan Melayu yang tinggal di rumah kongsi itu. Antaranya Tony dan adiknya Johnson serta Ah Seng. Yang merapatkan kami selalunya bolasepak. Kami selalu bermain di padang kami yang 90 peratusnya dipenuhi dengan batu lada. Bahkan kami ada pasukan tetap untuk bermain sekiranya ada perlawanan bolasepak kalah mati bawah 15 atau 17 tahun di sekitar kampung-kampung kami (yang kami panggilnya sebgai Lig bola). Johnson akan selalu di pintu gol. Tony oleh kerana ketinggiannya macam Lee Kin Hong pemain Kedah yang mahsyur dulu selalu kami letakkannya sebagai bek tengah sementara saya selalunya di bek kanan, Lee Bereng di bek kiri, Adnan di tengah. Ah Seng akan selalu di depan bersama Meun untuk sumbat gol. Waktu itu Lig selalunya tujuh sebelah. Jadilah formasi kami 3-1-2. Perlawanan selalunya 15 minit (separuh masa tujuh setengah minit).
Oleh kerana kampung kami satu-satunya kampung yang majmuk, maka selalulah kampung kami jadi sasaran bila bermain. Mereka betul-betul akan “menyerang” pemain bukan Melayu kami. Hingga pernah bergaduh dalam padang. Dan kami akan selalu di depan untuk mempertahankan Tony, Ah Seng dan Johnson. Sebabnya mereka kawan kami. Waktu itu “seteru” kami yang utama adalah Kampung Masjid Lama, Tualang, Kampung Minangkabau, Kampung Kolam dan Kampung Nawa. Kami tidak pernah menjadi johan. Tapi dalam hal-hal tertentu saya selalu beranggapan kami selalu menang dari sudut yang lain, iaitu kebersamaan kami. Saya hanya pernah merasa menjadi johan apabila satu kali (ketika team saya kalah mati), saya diimport oleh pasukan dari Kampung Tanjung Musang untuk bermain bersama mereka. Dan kebetulan pasukan mereka tiba-tiba juara. Medalnya masih saya simpan di kampung sampai sekarang.
Di kampung, datuk dan nenek Tony dan Johnson sangat akrab dengan orang kampung. Datuknya kami gelarkan Acu sementara neneknya kami panggil Amoi. Amoi ada kebolehan untuk merawat luka orang kampung yang kemalangan tanpa perlu pergi hospital. Adik saya suatu pagi raya pernah motosikal terbalik depan jalan masjid. Amoilah yang merawatnya. Kalau ada kenduri kendara kami tak pernah lupakan mereka. Terasa sangat harmoni. Dua kilometer dari kampung saya ada sebuah pekan kecil – Kebun 500 namanya. 99 peratus penduduknya adalah cina. Mereka membuka kedai di situ. Suatu masa lalu wayang kulit Sri Nawa dan opera cina selalu berlangsung di situ sebelum tradisi itu terbunuh dengan sendirinya. Waktu itu, tempat kami bagaikan pesta.
Hubungan setempat ala-ala majmuk masyarakat di tempat saya masih terus berlangsung hingga kini. Sudah lama kami hidup bersama. Tak pernah kami bakar kuil hindu atau kami runtuhkan jirat cina. Kami hidup bersama. Bahkan bahasa kami juga satu – bahasa Melayu dialek Kedah. Saya penuh percaya “kesatuan” bahasa inilah sebenarnya yang saling mendekatkan kami, menjadikan kami lebih memahami dan menghormati antara satu sama lain. Justeru, mengapa perlu bahasa lain untuk mendabik dada? Saya pasti hubungan ini akan terus berlangsung dengan harmoni dan indah. Kami bersatu, hormat-menghormati, saling mengambil berat tanpa dipengaruhi atau diajarkan oleh mana-mana tempik dan jerit slogan. Fikir-fikir, untung juga dilahirkan sebagai orang ulu.
Kepada yang lahir dan membesar dengan slogan dan segala tempik kata hikmat, jemputlah ke kampung tradisi kami; dan lihatlah bagaimana kami hidup bersama tanpa prejudis dan salah sangka. Lama dahulu, tanpa slogan dan kata-kata hikmat, hidup kami sebenarnya telah bermula.
6 comments:
cek wan, saya pernah baca buku tulisan dr farish a noor bertajuk DI BALIK MALAYSIA - DARI MAJAPAHIT KE PUTRAJAYA. dalam buku beliau telah disebut betapa cendiakawan dahulu sangat terbuka mindanya untuk menuntut ilmu dengan pelbagai bangsa.
betul kata cek wan, sebelum adanya kata2 hikmat dari pemimpin, kita dah lama buat, kemudian pemimpin yang mengeluarkan kata-kata hikmat inilah yg membunuhnya balik.
dalam buku tersebut disebut juga faktor2 kenapa rakyat malaysia susah bersatu selagi adanya sikap fasis bangsa dan fasis agama. sikap "bangsa dan agama aku lagi bagus dari bangsa dan agama kamu" itulah yang banyak membunuh perpaduan.
seronok baca kenangan2 indah kg cek wan ;)
Pak Wan,
Kuih Hindu? kuih apa tu..? hehe..
juga perhatikan di Kelantan dialek menyatukan semua kaum bahkan orang Cina perempuannya boleh dipanggil 'Mek'.. saya pernah beberapa kali terdengar orang India juga bercakap dialek Kelate seolah-olah dia bukan India.. sedang di tempat jarang ada India bercakap seperti seorang Melayu.. tidak di Kelantan.. ramai orang Cina dan India suka jadi orang Kelantan dan berbangga dgn dialek Kelantan.. di UM dulu ada seorang kawan Cina orang Tumpat.. dgn kawan2 mana pun dia tanpa malu dan segan berkecek Kelate. sebaliknya berlaku di kotaraya ini apabila melayu cina india rata-rata yg saya jumpa berkomunikasi dgn bahasa inggeris, bkn bahasa melayu.. eh bahasa malaysia.. jelek sangatkah BM? atau BM tdk boleh jadi bahasa komunikasi yang bagus? kesal apabila ada generasi baru ini cakap melayu..eh malaysia seperti orang putih bercakap..alah yg macam drama melayu ada org putih ckp melayu tu lah.. jadi.. sepertilah puisi baru di blog kawe.. kata-kata hikmat yang dimanterajampiserapahkan dan segala macam ilmu sakti yang dipertontonkan tak lebih dari retorik plastik si hipokrit..
salam ramadhan kareem.
epool,
wah banyak juga sdr membaca ya. Saya hargai pandangan sdr. Kenang-kenangan indah saya ni saya boleh kumpul, catat memoir atau autobiografi saya. Sdr pun tulislah pengalaman silam sdr sekali sekala
hasbul,
kuih hindu? kah kah kah. Saya salah taip. Sudah saya betulkan. Sebetulnya, KUIL hindu. Betul cakap sdr, yang "betul-betul" 1Malaysia ni cina, india, melayu Kedah dan Kelantan saja. Tempat lain, mereka masih "bersekolah" lagi ba hak hak
Huhu, gembira ek dapat berbangga dengan pengalaman macam tu. Huhu
tunggulah bila betul-betul cukup pengalaman saya itu ;)
Post a Comment