Sunday, September 13, 2009

“Kelip-kelip”

Dahulu, ketika bangun bersahur di kampung, saya akan selalu merenung ke luar tingkap rumah. Atau duduk di pelenggar selepas bersahur memandang kebun getah yang berbalam hitam-hitam tidak jauh dari rumah saya. Dalam angin pagi yang menyucuk, saya akan tenung berlama-lama sekali.

Saya lihat terang timbul cahaya api dalam kebun getah, sebentar terang-marak, sebentar kabur dan ghaib seketika. Seperti kelip-kelip. Waktu itu saya tahu ada orang-orang kampung saya yang sudah turun dalam gelap pagi untuk menoreh sejak pukul tiga atau empat pagi. Pada bulan Ramadan, ada yang lebih selesa untuk bangun awal dan keluar menoreh. Bahkan ada yang akan selesai menoreh dan pulang semula ke rumah sebelum waktu bersahur habis.

Merenung “kelip-kelip” cahaya api dari rumah sangat mengujakan saya. “Kelip-kelip” ini akan bergerak dari satu pokok ke satu pokok. Menetas satu perasaan yang sangat halus dalam sukma saya. Ramadan tahun ini saya begitu teringin untuk menatap “kelip-kelip” saya. Tidak pernah dalam fikiran saya sedetik pun saya tidak merindui kampung halaman. Syahdu bila dikenangkan.

“Kelip-kelip” ini selalu mengekori saya; hingga kini. “Kelip-kelip” ini selalu saja menghantar isyarat saya terhadap kampung ingatan.

6 comments:

FARAHNYEMAHMULYA said...

kelip2 ku sangka api,
kalau api mana sumbunya;
bukan kepalang berkecil hati,
bila agaknya berbuka sama?

ekspresi said...

salam aidilfitri

MARSLI N.O said...

Sdr BS: Kadang aku berasa cemburu dengan kau. Ramai peminat dan ada yang ajak berbuka sama. Agak-agak bilalah aku dapat pertanyaan begitu, ye?

benuasuluk said...

farah,
kelip-kelip kusangka api,
kalau api mana sumbunya,
jumpalah "kakak" pinjam suami,
barulah kita berbuka sama.

wakaka

benuasuluk said...

ekspresi,
salam aidilfitri juga buat sdr. Menu raya karipap sedapkah,:)

benuasuluk said...

Sdr. Marsli,
ha ha ha