Puisi dan Kenangan
PUISI ini mengingatkan kenangan kecil saya lebih dua dekad yang lalu. Sewaktu alam kanak, hinggalah pertengahan usia remaja saya. Itulah seberkas pengalaman kecil saya yang mungkin tak terbeli kembali; apatah lagi ketika kita sedang menyusur musim-musim yang sangat menjengkelkan bila bercakap tentang nasib bahasa, sastera dan budaya. Menatap kembali puisi ini, ada banyak perkara yang bergenang dan bergelut pada kelopak mata. Terima kasih kepada Rahimidin Zahari yang sudi menerima puisi ini untuk majalah Pentasnya edisi Oktober-Disember 2008. Terima kasih juga untuk Sutung yang khabarnya mengedit puisi saya ini sedikit sebanyak. Saya hargainya. Pun, di sini saya perturunkan sepenuhnya puisi saya ini yang asal, bukan yang telah disunting Sutung.
Kebun 500 itu nama tempat saya di Pokok Sena, sebuah pekan kecil. Warna latarnya kekal tidak berubah seperti 25 tahun lalu. Cuma sayang, banyak yang sudah terampas dan terlucut daripada genggamannya. Dan puisi ini mewakili apa yang terampas dan terlucut itu.
Ingatan Kecil Kebun 500, 1980-an
Dengan mata runduk
kukayuh masa kiniku
dan berdiri di batas lama
aku anak kampung terpencil
berdiri dengan sosok hitam
memegang matahari
Di batas ini aku menjejak sepatu lamaku, lastik burung
dan senapang kayu; ladang getah yang menghijau
dingin air kali dan mesra angin timur di batas sawah
kubuka peta silamku
melihat kerangka budayaku yang tercarik
di sisinya kutemui Katen
Dalang Wayang Kulit Sri Nawa
memegang kelirnya yang berdarah
Ketika matahariku mati
aku melihat selonggok kelir ajaibnya
terbakar jadi abu
akulah etong yang kehilangan watakku
bunyi bertabuh dan alun serunai
Di tengah dada kecilmu,
aku menatap opera cina
saling bertingkah dengan Sri Nawa
pekan terpencil ini
menemukan dua budaya dalam satu rumpun
Kukayuh basikal karatku antara Kelut ke Lanjut Malau
kutemui album berdebu berendoi Lanjut Malau
lunak merdu suara Pak Lang Razak berzanji dan bermahabban
inilah sosok peradaban kita
berdekad-dekad lalu
kini, semuanya dikambus masa
Kutatap warna 90-an
membilang langkah opera cina mengengsot pergi
dan Katen perlahan-lahan
menanggalkan semutar dalangnya
sayup-sayup suara Pak Lang Razak masih merdu dan lunak
sesekali meriuhkan berendoi dan marhabban di Lanjut Malau dan Kelut
sesekali terasa getar suaranya seperti payah menemukan lagunya
dalam lenggok maju dan cuaca moden
Kembali ke laman ini
akulah lelaki yang hilang sosok budayaku
semuanya menjadi seperti debu diterbangkan angin
kuraba pipiku, terasa air mata panas di pipi
dengan bahasa apakah nanti
akan kuceritakan pada warisku
kamilah antara generasi
menatap selonggok budaya terkubur tanpa pusara
Kebun 500, kembali ke laman silammu
kutemui sebeban kesedihan tak terungkap
akulah ekeng yang kematian gerak watakku
akulah etong yang kehilangan jenakaku
dihunjam pedang ghaib
tatkala perang budaya menetaskan
sekian darah dan air mata
Ingatan kecil ini
adalah tanda kasihku padamu
yang telah menumpahkan sebening cintaku
pada warna silam, pada latar alam kanakku
pada kekinianku yang tiada
apa-apa untukku kenang
Kebun 500, aku kembali mengenangmu
dalam kabut pilu dan gerimis rindu
4 - 5 Januari 2007 - 7 Mei 2008
Kebun 500, Pokok Sena, Kedah - Serdang, Selangor
2 comments:
Salam Enche Wan
Aku pernah ke Kebun 500, selalu dok pi. Biasala org pancoq pokok sena. Ada org tanya aku pasai apa kebun 500? Menarik nak dijawab...tapi aku tak tau. Sampai la ni, kebun 500 dok mcm tu juga , cuma ada la sikit-sikit perubahan. terutama org kg nya, dah makin senang dan kaya-kaya..Apa pun puisi hang ni aku rasa kena dgn tempatnya kebun 500. Bangga juga aku walaupun bukan org kebun 500.Nanti aku pun nak buat puisi tentang kg aku, KG PANCOR , POKOK SENA...boleh ka enche Wan
Cikgu anjung sena,
tulislah sajak pasai pancor, hebat tu. Nanti kalau dah banyak-banyak kita kumpoi, kita terbitlah antologi pokok sena
Post a Comment