Wednesday, May 27, 2009

PPMN dan Si Pembohong

AGAK lewat saya menulis pengalaman di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009. Sejambak tahniah untuk teman-teman di PENA, yang bersungguh-sungguh menjayakan perhimpunan ini setelah penganjuran pada 2005 di Tanjung Piai.

Perhimpunan ini memberikan seribu makna untuk saya. Yang pertamanya, tentulah mengukuhkan hubungan baik saya dengan teman-teman di PENA. Saya hanyalah “ahli tidak bersekutu” PENA sampai sekarang. Saya memang “berat mulut” untuk bertegur sapa dengan orang (sekarang dah makin baik). Sekarang saya sudah semakin serasi dengan kawan-kawan di PENA, juga sudah boleh beramah mesra sepatah dua kata dengan rakan-rakan penulis yang lain. Saya boleh mesra dengan sesiapa sahaja, cuma “enjin” saya sedikit lambat untuk panas. Dan saya seronok menjadi pembuka jalan untuk ASWARA terus mahu bekerjasama dengan PENA. Dan Zakir bolehlah terus himpit ASWARA melalui saya. Manalah tahu tahun depan kami boleh bekalkan beg seminar. Huh, marah dengan Ghaffar Abdullah ni dok sindir-sindir kami bagi apa untuk program ini (sebenarnya Ghaffar "rabun jauh" sebab tak nampak logo yang digantung di pentas itu salah satunya logo ASWARA yang berkilat emas itu, :).

Keduanya, inilah kali pertama PENA mengundang saya untuk membentangkan kertas kerja saya. Kali pertama dihubungi Wan Zaidah, saya sudah menolak kerana saya rasa masih belum masa untuk saya berdiri di pentas untuk bercakap seputar dunia sastera penulis muda. Saya masih tersangat muda, dari segi karya tentunya. Tapi Wan keras hendakkan saya turut terlibat. Selebihnya, saya bergelut April-Mei-Jun adalah musim padat saya di kampus, dengan aktiviti dan projek penulisan pelajar yang minta diselia. Dan pembentangan ini meninggalkan bukan sedikit kesannya pada jiwa muda saya. Saya bawa pulang selonggok kenangan manis dari Melaka sepanjang tiga hari berkampung di sana.

Saya ingatkan sesi di Melaka akan berakhir dengan tenang. Rupanya tidak. Sesi terakhir Arif dan saya diserang hebat oleh “kawan-kawan.” Sebagai mantan MPR saya tidak ingin memihak kepada Ariff, tetapi dari satu sisi yang lain saya juga seakan-akan menemui kebenaran daripada apa yang diperkatakannya. Dan hal ini bolehlah dibahas di lain kali jika berkesempatan. Ada eloknya juga adik-adik di MPR duduk tenang seketika, dan memikirkannya kembali. Apatah lagi setelah membaca satu dua catatan di blog adik-adik MPR, yang tiba-tiba menggores rasa curiga saya apakah ini MPR sekarang? Maaf, saya tidak ingin melanjutkan polemik yang dimulakan oleh Ariff.

Kalau pun ada kenangan pahit untuk saya, tentulah ketika saya diserang dengan gelaran “pembohong.” Inilah kali pertama dalam sejarah hidup saya dalam mana-mana pertemuan penulis, seminar, bengkel atau apa-apa yang saya hadiri, saya mendengar kalimah “pembohong” dihamburkan oleh peserta kepada panel. Saya belum melaluinya lagi. Pun, serangan itu sedikit pun tidak mengejutkan saya, apatah untuk mengecutkan saya. Seperti yang saya katakan sewaktu menjawab, sebagai penulis saya bertanggungjawab dengan apa yang saya tulis dan apa yang saya cakap.

Bodohlah saya kalau hendak memperlekeh tempat kerja sendiri, dan merendah-rendahkan sahabat sekerja saya. Bukan itu maksud saya. Mungkin saya tidak pandai bercakap untuk membentangkan hujah. Teman-teman di kementerian bekerja setahun 366 hari dengan lebih daripada 400 aktiviti yang minta diselesaikan. Aktiviti lebih banyak daripada jumlah hari, bayangkan! Memang mereka tidak boleh jadi pemikir. Jadi, saya lontarkan cabaran dan harapan agar penulis-penulis membantu kawan-kawan saya yang tidak berupaya melihat sosok budaya dengan kacamata seorang pemikir atau budayawan. Kami hanya berupaya menjadi pentadbir atau pengurus budaya sahaja. Ini yang “orang itu” tidak faham (atau buat-buat tak faham sebenarnya?). Sebab saya menyinggung kawan-kawannya di kementerian? Apakah kawan-kawannya yang dia sebutkan nama satu persatu itu bukannya kawan-kawan saya juga?

Satu lagi, tentang masa depan sastera. Dia sinikal dengan kenyataan saya, lalu menggelarkan saya ini “pembohong.” Terpulanglah. Saya peduli apa. Saya hadir bukan untuk mengira berapa banyak harta boleh dikumpul kalau menulis. Sejak menulis pada 1995, saya juga mampu membeli rumah melebihi harga RM 300,000.00 dan tiga buah kereta saya boleh beli secara tunai kalaulah saya menulis karya pop, kisah pelacur, kisah gay-lesbian, kisah berebut laki orang, kisah mengongkek isteri orang, kisah nikah cerai nikah cerai, kisah nak bunuh diri sebab kecewa, tiba-tiba ada hero jadi penyelamat. Tapi bukan arah ke situ dunia saya. Saya hadir untuk bercakap tentang masa depan sastera kita. Memanglah Pak Samad menulis sepenuh masa sekarang. Tapi cubalah fikir, kenapa Pak Samad sekarang sampai sanggup berjuang di jalanan? Saya rasa dia buta. Atau dia menulis hanya memikirkan tentang temboloknya saja.

Bergelut saya menyiapkan kertas kerja antara sibuk mentadbir, mendepani kerenah pelajar dan beratus-ratus helai halaman novel pelajar minta saya lunasi (saya baru pulang dari Kedah atas urusan rasmi kerja empat hari, dimarahi anak-anak belum sempat menghilang lelah dan bermanja berangkat pula ke Melaka); tergamak saya digelar “pembohong” dan cuba menakut-nakutkan adik-adik yang baru hendak menulis. Tapi sebagai penulis, saya juga ada tanggungjawab saya. Ada juga beban bangsa yang mahu juga saya pikul bersama. Ada duka juga yang meminta untuk saya tumpang berlara. Saya tegaskan sekali lagi, saya bertanggungjawab atas apa yang saya tulis dan apa yang saya cakap.

Saya tidak marah. Bahkan emosi saya sedikit tidak terusik. Tulisan ini juga bukan untuk menegakkan benang basah. Saya masih waras. Di hadapan komputer sekarang pun saya masih waras. Kalaulah ungkapan “pembohong” ini datangnya daripada anak-anak muda yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia penulisan saya takkan merasa apa-apa. Tapi bila ungkapan “pembohong” ini datangnya daripada mulut orang yang kononnya sudah berpuluh-puluh tahun menulis (dan kaya-raya dengan menulis) serta dunianya dulu amat rapat dalam membangunkan hayat kepengarangan seseorang penulis; di hati kecil, saya berasa sedih dan risau.

Pun, saya pergi dan pulang dengan rasa puas yang tidak tergambar.

29 comments:

sahrunizam abdul talib said...
This comment has been removed by the author.
sahrunizam abdul talib said...

Wan,

Demikianlah apabila orang merasakan dirinya terlalu hebat. Begitulah jadinya. Manusia seperti itu sukar untuk menerima kebenaran dan seringya lain di bibir, lain pulak di hati. Kalau dah tak muda lagi tu, menyampukpun agak- agaklah. kalaulah Si Nazmi speaker pada hari itu..

saleeh rahamad said...

ni apacerita ni bang.. adaa krisis ke yang timbul. tak bagus untuk persaudaraan islamiah tapi kalau ada perbahasan ilmiah tidak mengapa. saya tak seronok dengar ada yang bersinggit begitu. juga saya tak tau siapa yang tuduh pembohong tu...nantilah kalau ada masa saya nak dengar post mortem dari teman pena.

Rahimidin Z said...

Wan,
hanya masa yang akan mencatatkan siapa yang tertulis di dalam sejarah dan siapakah pula yang akan terpadam. zakir lagi tahulah. dan lut paling tak suka kalau saya memadam-madamkan sejarah.

benuasuluk said...

Sdr. Sahrunizam,
terima kasih atas perhatian dan sokongan sdr. Ya, saya pun terfikir juga kalau-kalaulah si nazmi yang jadi speaker sesi itu ...

benuasuluk said...

Ayah Leeh,
tak ada apa-apalah. Tak ada isu besar pun. Tak ada perbalahan dan pecah belah pun. Semuanya ok. Catatan ini hanya untuk kenang-kenangan saya saja.

benuasuluk said...

Abe Im,
ya, sejarah tidak pernah berbohong. Tunggulah sampai masa dan ketikanya, kita tengok siapa yang akan tenggelam dalam sejarah.

Luqman Hakim QA said...

Lain kali panggang depa sampai rentung. Biar tahu langit masih berbumbung, lantai masih beralas, mulut mesti berjaga...hehehe.

benuasuluk said...

Sdr. Luqman,
orang macam ni tak payah panggang rentung pun. Sejarah pun tak ingin mengenang manusia-manusia macam ni...
Lebih baik kita belajar cara-cara nak buat karipap sedap macam kat Bukit Katil lagi baik.
:)

ekspresi said...

saalam wan,
ini kunjungan pertama aku ke blog kau. em, kita buat kerja kita dah la. aku malas nak cakap apa-apa dah..

lutfi said...

Salam.
Bila nak pi makan karipap lagi?
kah kah.

Hasmora said...

Sdr Lut.. cik Wan..

Saya adalah lelaki yg tertanya-tanya di mana kesedapan karipap itu hingga ke hari ini masih lagi disebut-sebut.. lain kali nak pegi kena ajak saya sekali.. nak sohehkan kerangupan karipap tersebut-sebut.. haha.. jangan bimbang, saya ustaz had-hari.. hui..

awangsulungmerahmenyala said...

bro,
apa nih bro kasar bahasa tuh,mengongkek bini orang,jgn lah pakai ayat tuh,pakai entot-entot lah huhuhu tak pun jarjis jarjis,skrg nih atau mungkin nanti lu akan dpt istilah baru me noh noh omarkan si salbiah hahaha...nanti lu dengar lah.

apa barang nak buat citer-citer tuh semua baik lu buat citer nak p new york 1 new york 2 dan new york di hatiku selamanya hahahaha...

z@dH hiRsHAm said...

Biarkan si luncai terjun dengan labu2nya!
Biarkan...

SATIRA + KACAU said...

Saya datang membaca.

Satira+Kacau

benuasuluk said...

ekspresi,
betul, lebih baik kita layan kerja kita.

benuasuluk said...

Lut,
kalau nak pi lain kali toong ajak aku. Takpa, Zakir ada simpan nombor telepon cik karipap tu rasanya
:)

benuasuluk said...

Hasmora,
sdr. rugi tak merasa karipap tu. Lain kali kalau pergi Melaka lagi, jangan lupa ke Bukit Katil
:)

benuasuluk said...

awang,
me noh noh omarkan? Woit, aku tertinggal keretapi ke? Ni apa Kes?
Kalau guna mengupaq-upaqkan kasaq tak, bro?
:)

benuasuluk said...

sorrow,
masalahnya ini bukan cerita luncai.

benuasuluk said...

satira,
saya tahu apa yang sdr. baca
:)

S.K said...

Salam,

tuan, seingat saya, sewaktu PPMN, ada perbincangan mengenai samada penulis itu pemikir.

Pemikiran ada tingkat-tingkatnya.
Tak semua berfikir, tuan. Tak semua berfikir di tingkat yang sama...

Seseorang yang di bawah bisa saja memanggil seorang yang dapat melihat dari atas sebagai... "pembohong..." kerana dia tidak sampai dan tak bisa melihat...

Perbezaan tingkatan :)
Tuan harus mensyukuri nikmat tingkat itu :)
Saya bersyukur ditemukan dalam perhimpunan itu :)

Tentang mantan MPR, saya sebagai orang luar, dapat melihat sesuatu yang kurang menyihatkan sedang berlaku. Tetapi, ya, saya orang luar :)

Juga tidak mahu memanjangkan polemik itu, cuma berharap adik-adik itu bermuhasabah. Saya sendiri sedang belajar supaya apa yang saya perhatikan itu tidak berlaku pula dalam kumpulan kecil saya di pulau cinonit ini, insyaAllah :)

Salam sastera :)
S.K@sg

ali atan said...

Budak2 MPR berkelompom khususnya yag masih muda metah malah tidak boleh ditegur cepat melatah tak ketahuan arah. Belajarlah daripada seniour mereka yaang sudah mapan menggunung ilmu sedia keluar kelompok bergaul mbertukar pandangan. Sejak hari pertama lagi mereka sudah menunjukkan kelompok2 mereka dengan tidak mahu bertegur apa dengan penulis muda lain. Gejala ini gejala budak-budak remaja.

Korakora said...

kalau kata2 ariff tu betul, kena sokong. hehehe.. sama ada kita termasuk atau tidak, terkait atau tidak, itu soal kedua :)

benuasuluk said...

Sdr. S.K.,
terima kasih atas kunjungan ke sini. Juga terima kasih atas pandangan tuan yang bernas dan tepat itu. Saya amat menghargainya. Salam ukhuwwah dan moga sdr. dan teman-teman berbahagia di pulau cinonit.

benuasuluk said...

Sdr. Mohd Ali Atan,
terima kasih. Saya juga sependapat dengan sdr; penulis perlu keluar dari kepompong untuk lebih segera mendewasa

benuasuluk said...

Mi,
wo lamanya ko tak hinggap di sini. Sokong jangan tak sokong,:).
Tapi masalahnya asam pedas ko tak sedap; karipap sedap kau tak sempat merasa. Sapa suruh datang lambat hak hak hak.

Nur Fatiha Fadila said...

Menulis bukan kerana nafsu, tetapi atas dasar perjuangan yang melibatkan maruah bangsa dan yang utamanya maruah agama yang dianuti. Saya masih baru dalam mengenali dunia penulisan tetapi saya bersetuju dengan pandangan saudara. Sebagai penulis, duit juga memang penting tetapi usah terlalu dipentingkan sehingga sanggup menggadaikan nama'sastera' atau meninggalkan 'sastera' semata-mata kerana harta.Takut-takut hasilnya tidak berkat.

benuasuluk said...

wardah,
saya hargai pandangan sdr. TK.