Thursday, May 21, 2009

Dia Memanggil Saya Mulu

AHAD, saya ke Kedah untuk urusan kerja pejabat. Mengambil keputusan untuk pulang bermalam di kampung, walaupun saya disediakan bilik penginapan kerana kerja rasmi saya.

Kepulangan saya kali ini terasa penuh hemah dan hikmah yang diberi oleh Allah. Tok Wan saya, yang sebelum ini terkedang sakit, akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 11:15 malam, 17 Mei 2009. Di hadapannya, kami semua waris terdekatnya melihat sepasang mata letih, perlahan-lahan tertutup rapat.

Memang perjalanan pulang saya ini di luar jangkaan; semuanya dalam pengetahuan dan pengaturan-Nya. Dan besoknya, Isnin 18 Mei, 11:30 pagi, kami semua menggiringnya ke kebun akhir; dalam rasa sayu yang menggebu. Saya terimbau kata emak, beberapa hari lepas, Tok Wan ada berkata; “hangpa semua ingat elok-elok, aku hari Isnin tau.” Kata-katanya ini, pada awalnya sedikit pun tak memberi makna.

Dan betullah, Ahad malam Isnin hayat akhirnya, dan keesokannya Isnin dia perlahan-lahan kami turunkan ke dalam liang. Entah ini kebetulan atau apa. Sampai ke saat ini, saya ketiadaan kata-kata bila berbicara tentang arwah. Semalam, waktu hendak berangkat pulang ke KL, saya hanya peluk Tok tanpa sepatah kata.

Selamat berangkat Nenda Musa, ke negeri paling abadi. Kematian tidak pernah memisahkan kita, pada ingatan dan doa. Pada rindu dan kenang. Semoga damai di sana, dalam barakah dan kasih sayang-Nya.

Dari sini, Mulu akan selalu mengenangmu.

al-Fatihah!

9 comments:

awangsulungmerahmenyala said...

salam takziah,
al-fatihah.

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Salam takziah.
Saya juga teringat arwah Tok Ayah
saya yang meninggal satu hari sebelum bulan puasa tahun lepas.
Moga roh mereka aman di sana....

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Demikian perjalanan hidup. catatan ini mnyentuh. dan ... menyelinap insaf.

chekem mirza said...
This comment has been removed by the author.
chekem mirza said...

Takziah Wan. Tiada yang manis apabila kehilangan yang tersayang melainkan memori. Itulah yang menghidupkan ingatan kita pada dia

benuasuluk said...

awang,
terima kasih. Amin.

benuasuluk said...

tengah,
terima kasih. Amin.

benuasuluk said...

Lan,
ya, kita pun akan ke sana juga nantinya.

benuasuluk said...

ce'kem,
terima kasih.ingatan itu memang melebihi segala-galanya.