Saturday, May 30, 2009

Catatan Ulangtahun

TARIKH hari ini, tujuh tahun lalu, saya dengan debar-gelora bersila dengan tertib di depan Tuan Imam Masjid Mukim Gong Chengal, Pasir Puteh, Kelantan. Pagi cerah, angin lembut terasa menyapa. Pada pagi yang jernih inilah, bertemankan keluarga saudara dan sahabat, saya menamatkan zaman bujang.

Tujuh tahun yang berlalu bagai tak terasa masa bergerak pantas. Tidak sedar diam-diam saya sudah bergelar suami sejauh ini. Rasanya seperti baru semalam saja saya berkahwin. Sedar tak sedar, anak-anak mula membesar di depan mata, daripada seorang berkembang menjadi tiga. Sungguh, bila melihat pelan-pelan anak-anak mula membesar, barulah saya sedar saya tidaklah muda sangat lagi. Si sulung saya, jika tak berhalangan tahun hadapan akan masuk darjah satu.

Kepada isteri, maaf kalau jarang saya mengingati detik-detik ulangtahun kita seperti ini. Tapi, itu sedikit pun tidak merobah kasih sayang kita. Betapa masih terasa, engkau masih seperti dulu, santun yang bertimpuh di masjid tua di balik langsir. Usia kita makin menua, tapi di dada terasa cinta kita masih bergelora.

Tak ada apa-apa hadiah berharga untukmu, melainkan puisi jernih yang kukarang dulu; mungkin engkau pernah membacanya sebelum ini. Ambillah, dan paterikan di hatimu ...

Segugus Sajak Kepada Isteri

I

Kukenang seberkas kata manis
tika mula belajar bercinta dan mengepung rindu
kulonggokkan dengan sopan dan tenang
di depan imam
Allahku, dengan penuh syukur
aku bertelut di rumah-Mu.


II

Ketika jabat imam erat
dan saat akad lancar meluncur
engkau perempuan, aku mahkotakan
nama dan cintamu dengan sepenuh
ikrar dan seru

III

Hari pertama bersatu dalam tautan kasih padu
bersama kita kendong mimpi manis
hingga baranya terpercik bulan
di malam terpilih.


Kuala Lumpur, 2002


KAU ADALAH OMBAK LAUT CHINA SELATAN

Kau adalah ombak Laut China Selatan
dengan dada samudera yang luas
kauhamparkan seluruh cinta
kaubeningkan kasih biru dengan selembut deru
akulah pelaut yang mabukkan bunga rindu


dengan deru ombak biru kauhamparkan cinta putih
di dasarmu terbenam mutiara
akulah pencari yang tersilau sinarmu
di dasarmu bersusun karang memutih
akulah penyelam yang terpana oleh seribu asyik

sesekali aku terlupa gelombangmu
kau adalah ribut dalam diam
aku pendayung yang karam
terdampar di tebing pulau nan jauh
seperti putih pasir, dengan mesra kasih
kaupimpinku kembali menyusur pulau indah
di sana kita membina janji untuk hidup seribu tahun lagi

di sisir pantai ini
aku melihat cintamu yang saujana
tak terbaca oleh mata
di mersik ombak ini
aku meraba malammu yang bercahaya
tak tersuluh aku
di tebing pasir memutih
aku melihat kasihmu berkemilau
tak tergapai indera kerdilku

antara desir kenangan yang belum menjauh
aku memandang perawan yang kupuja
berlindung di balik langsir masjid tua
antara imam dan saksi
saudara dan tetangga berkeliling
kita berijab; dan bahtera kita pun berdiri di gigi pantai

Kau adalah ombak Laut China Selatan, Zuraidah
dengan tenang ombak dan gelisah gelombang
aku lelakimu, ingin lagi berdoa:
denganmu, aku mahu hidup seribu tahun lagi.

14 Julai-3 Ogos 2005, KL


10 comments:

Nur Fatiha Fadila said...

Tahniah dan semoga bunga-bunga kasih abadi harumnya buat pasangan mukmin di siratul mustaqim.

benuasuluk said...

wardah,
amin. terima kasih atas doa sdr, moga-moga menjadi nyata.

FARAHNYEMAHMULYA said...

kita takdok abe nak karang sajak indah2 gini
sedeynya idup kito

benuasuluk said...

farah,
lamanya tak ke sini, tak rindu abe ke?
Alah, kita ni ada, takyah susah-susah cari abang lain. Nak berapa rangkap?
:)

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam sdr yang dihormati. tersentuh membaca puisi begini; bila ianya lahir jauh dari sudut hati - dari rasa kasih. didoakan semoga kekal bahagia hingga ke syurga.

Anonymous said...

en wan..sikit je beza dgn saya...ulangtahun pun dekat sama masa..
hak..hakk...

benuasuluk said...

Sdr. Rendra,
amin. Terima kasih.
Selalulah berkunjung ke sini.

benuasuluk said...

Mandala,
selamat berbahagia juga untuk sdr.

Epool said...

pheewiit! ;)

selamat ulang tahun perkahwinan cek wan.

benuasuluk said...

epool,
suurrr, tk bro!