Wednesday, May 6, 2009

Beberapa Catatan Perihal Gurindam

BUKU baharu saya, Siri Koleksi Gurindam Kanak-kanak Bertema telah saya terima. Terima kasih kepada editor, Badrol Awang yang sudi sendiri menghantar ke pejabat saya. Bahkan sedari projek bermula, Badrol kerap gemar bertandang untuk berbincang.

Saya tak pernah terfikir akan menulis buku kanak-kanak. Dan tidak terlintas untuk menulis gurindam. Semuanya bermula secara kecil-kecil pada tahun 2005. Saya mencatat beberapa helai gurindam kanak-kanak hanya sekadar untuk simpanan sendiri. Waktu itu, kebetulan saya mengikuti kursus secara sambilan menulis novel remaja dan novel kanak-kanak bimbingan Ali Majod (yang akhirnya novel remaja dan novel kanak-kanak saya hanyut entah ke mana).

Ada waktu-waktu tertentu saya bersembang-sembang dengan Pak Ali, berbincang-bincang. Sebut saja perihal karya kanak-kanak, Pak Ali akan terus memberi galakan. Sempat juga saya kutip beberapa saranan dan pandangan beliau, saya ingat dalam diam. Dan, dia akan sering bertanya-tanya; sudah sampai mana, sudah siapkah, eh jangan tangguh-tangguh, macam-macam. Saya jadi terharu dengan si tua yang kaya ilmu dan tidak kedekut ini. Rugi, saya hanya sempat berguru dengan Pak Ali tidak secara langsung seperti orang lain yang berguru dalam bengkel-bengkel tertentu. Malah, saya menjadi muridnya secara tidak rasmi saja, lebih dekat sebagai kawan sebenarnya.
Berdikit-dikitlah saya menulis. Saya siap sepenuhnya menulis koleksi gurindam ini pada tahun 2007. Hampir setahun juga saya peram dan biarkan begitu saja. Hinggalah pada sekitar Mac atau April 2008 saya hantar pada Utusan Publications & Distributors. Itupun saya hanya hantar satu siri sahaja dahulu, untuk penilaian mereka. Dan kebetulan, tulisan ini kena dengan kehendak penerbit, lantas segera saya titipkan keenam-enam siri dalam koleksi ini mengikut tema. Berkebetulan lagi, Badrol (yang dulunya adalah junior saya semasa bersekolah di Jabi, Pokok Sena dulu) menjadi editor yang menangani penerbitan buku ini. Saya senang dengan hal ini, setidak-tidaknya hubungan kami yang agak “renggang dan jauh” ini kembali akrab kerana buku ini.

Siri Koleksi Gurindam Kanak-kanak Bertema betul-betul siap tercetak dua hari sebelum PBAKL 2009 berlangsung. Saya menjengah ke gerai UP&D, memang ada terjual buku saya ini. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan orang lain terhadap buku saya di pesta buku itu. Apakah yang lebih bahagia bagi seorang penulis melainkan melihat “air tangannya” tercetak dalam bentuk buku? Dan ini, sangat membahagiakan saya. Buku saya ini boleh dibeli di kedai-kedai pengedar UP&D, secara berset ataupun membeli secara sebuah, sebuah.
Terima kasih untuk Badrol yang menangani buku ini dengan baik sekali, dan begitu sabar melayani kerenah dan cerewet saya (dia memang orang Pokok Sena yang jenis cool orangnya). Juga untuk Rozlan, yang kadang-kadang ikut serta turun dari Shamelin. Juga sekalung penghargaan untuk Ali Majod, guru-sahabat yang kuat merangsang; juga untuk semua yang sering mendoakan yang baik-baik untuk saya.

Sekarang saya harus kembali ke dunia puisi saya. Di tangan saya sekarang, ada dua buah manuskrip puisi – satu manuskrip puisi dewasa dan satu manuskrip puisi kanak-kanak. Manuskrip dewasa ini telah saya layangkan pada sahabat baik saya, Sheikhul Sham al-Johori untuk dinilai bagi diterbitkan. Harap-harap “jernih” di mata Sheikh Sham, dan kumpulan puisi ini akan diterbitkan kemudiannya. Sementara manuskrip puisi kanak-kanak ini masih saya simpan dalam kerenah dan cerewet saya, dan berangan-angan mahu menerbitkan sendiri secara suka-suka nantinya.

8 comments:

adiratno said...

Wan,

Tahniah sekali lagi dari aku...Tetes-tetes getah dari Kebun 500 sedang menggetahi dunia di sebelah selatan.

Nanti Kak Teh sama Kak Saja belikan untuk anak masing-masing..hu.hu.hu

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Tahniah En. Wan.
Jumaat ni jadi ke malam puisi?

benuasuluk said...

adi,
terima kasih.
Aku sekarang sedang berkira-kira nak buat syair nan panjang untuk teh.
:)

benuasuluk said...

tengah,
terima kasih jua.
tak jadi, tangguh lagi (dah kali ketiga). Orang kat sini mana minat puisi-puisi ni. Ada budak2 penulisan belajar pasal puisi? Ada?
Kalau masuk kali keempat nanti tak jadi juga, nescaya saya akan bakar anjung tu.
:)

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

ish... kejam bunyinya tu hu3...

z@dH hiRsHAm said...

Tahniah ye, En. Wan!
Apa lagi, belanja kami makan tau!
Malam puisi tangguh lagi...
Budak2 ni buat lawak dengan saya.
Kata mereka en. wan suh saya baca puisi.
Memang tidaklah, kan?!

awangsulungmerahmenyala said...

terima kasih dengan hadiah suluk cinta dan gurindam lu bro.

benuasuluk said...

tengah,
kejam mejam.

sorrow,
sekurang-kurangnya awak selamat untukkali ini.

awang,
hadiah kecil dari gua, yang tidak sepertinya.