Menjawab Pertanyaan
RAMAI kawan yang tertanya-tanya perihal entri saya, "Serah Tugas." Mahukan kepastian. Ada yang cuba menelefon dari jauh. Ada yang menghantar pesanan ringkas. Ada yang terserempak di tengah jalan, terus tanyakan soalan. Dan menghairankan, ada yang dapat meneka dengan tepat ke mana saya harus pergi atau bertukar. Saya tahu, dalam diam ada juga pelajar-pelajar saya yang gelisah rupanya. Entah gelisah suka, entah gelisah tidak gembira.
Terima kasih kerana sangat mengambil berat. Saya amat hargainya.
Dan, ingin saya jelaskan; saya masih di sini. Sejak buat serahan tugas, belum ada apa-apa perubahan dalam hidup saya. Hidup masih terus. Tapi saya masih keliru hingga kini apakah saya telah membuat pilihan yang tepat (yang sebetulnya, apakah saya telah diberi pilihan yang tepat?).
Saya sudah tujuh tahun di sini. Sepanjang tujuh tahun ini, saya sudah ada empat kali pengalaman membuat nota serah tugas kerana bertukar/berpindah unit atau bahagian. Saya tidak terkejut jika selepas daripada ini, saya akan membuat nota serah tugas lagi. Sebab itulah saya tulis dalam entri itu saya masih keliru. Tidak gembira sangat. Saya sedar diri, saya tahu kemampuan diri.
Alangkah beratnya beban yang terkapuk di leher saya sekarang.
Marah
RAMAI juga yang menegur saya entri saya selalu marah-marah. Kenapa, ya? Kalau berjumpa kawan-kawan di luar, soalan mereka antaranya, masih marah lagi? Cengenya. Minggu ini saja saya dua kali ditegur perihal marah saya – sekali oleh Azizi sewaktu kami berlabun di DBP, sekali lagi oleh Ummu di PWTC. Fuh, dua-duanya orang Kedah yang saya kira prihatin sungguh.
Teringat saya, tahun lalu, sewaktu saya sedang menyusur malam di Menteng Satu, Jakarta. Sendirian. Saya duduk di sebongkah batu di depan Hotel Menteng. Tiba-tiba, datang seorang wanita yang tidak saya kenali, agak berusia saya kira. Mungkin 50 umurnya. Dia menepuk-nepuk bahu saya beberapa kali. Terpinga-pinga saya jadinya. Saya memandangnya atas bawah.
Kemudian, dia memegang kepala saya. Sedikit memicit-micit. Kemudiannya dia berkata, anak, kurangkan amarahmu, ya. Kawali diri. Jangan sampai amarah menguasai dirimu. Binasa dirimu nanti.
Mulut saya terkelohong menganga, tapi saya rasa berat dan amat payah untuk bersuara. Ada yang ingin saya tanyakan pada wanita ini. Tapi tersangkak. Kemudian, tanpa pamit, wanita ini berlalu meredah sunyi malam. Sampai sekarang, saya tertanya-tanya siapa wanita ini sebenarnya. Malah, sebelum berangkat pulang ke Malaysia, saya berharap-harap agar wanita ini sekali lagi mendatangi saya. Tapi, tiada.
Entah, saya mungkin ditakdirkan untuk menjadi seorang pemarah barangkali. Saya sukar atau susah hendak lepaskan kemarahan saya. Radang saya selalu membukit dalam diam. Hanya melalui tulisanlah saya mendapat tempat untuk melepaskan amarah yang bergelodak dalam jiwa. Saya tidak suka menyimpan marah saya, sekali saya lepaskan, habis di situ saja.
Mohon maaf, setulusnya kepada semua – andai catatan-catatan saya yang buruk dan bebal ini amat menyinggung nurani sekalian. Tidak saya sengajakan untuk sakiti hati sesiapa. Tetapi malangnya, saya juga berharap agar saya juga tidak akan disakiti oleh sesiapa. Saya berjanji akan cuba mengawal tulisan saya setakat yang termampu.
Terima kasih kerana mengecerkan waktu saudara berkunjung ke laman saya, yang tidak sepertinya.
8 comments:
Pada mula perkenalan saya agak gentar bertemu En. Wan. Seorang yang tegas dan serius, tapi apabila dah mengenali jadi kawan pula. Orangnya macam orang lain jugak pandai bergurau senda.
Marah bertempat tidak mengapa,
saya pun kadang2 hangin satu badan juga.. kih3
Betul tu!
Saya pun berkongsi perasaan yang sama.
Hahaha...
Tak salah marah2... kalau ada orang yang patut dimarah!
Simpan nanti darah tinggi lak!
Lagipun En.Wan muda lagi.
Darah masih panas!
Dah tua esok... mesti tak ingin nak marah2 dah!
Betul tak?
;-)
en wan...
kadang-kadang saya teringin juga jadi pemarah...
tak payah simpan-simpan
sebab diri sendiri yang sakit
orang yang kita marah tu pulak tak tahu
tapi terus-terusan buat kita marah...
alamatnya,
bila sekali marah...
saya dibenci
itulah saya sendiri tak suka bila saya marah!
hehehe....
:)
maaf...
sedikit biol hari ini...
sape wanita tu en wan, kenapa saya tak jumpa...hu2.mungkin masa tu, kami cbuk nak p bandung...hu2. Aapaun en wan, adalah antara pnsyarah yang teras, garang tetapi penuh semangat dan ambil berat. (puji ikhlas ni)..betul!
tengah,
saya menunggu juga kot-kot lah ada pelajar yang jatuh cinta dengan saya pula. Ada ke?
kih kih kih.
sorrow,
saya sentiasa muda. Bahkan semenjak dulu sampai sekarang, hati saya sentiasa remaja.
:)
romi,
marah dalam tulisan je mudah. Marah depan-depan nanti bergaduh tak berguna. Kita marah-marah orang dalam blog pun bukan depa tahu. sekadar tempat luah rasa hati saja. Tapi kalau nak "bergaduh", lepas aja depan-depan.
czuka,
awak semua tidur mampos awal-awal. Saya bangun di tengah malam melihat panorama Jakarta lewat malam. Tiba-tiba terjumpa pula. Ini berlaku selepas kita balik dari Bandung.
Pujian awak tu, kocek saya tak ada syiling pula.
:)
en wan...
saya serik marah orang depan2...
biasanya terus jadi musuh...
sebab tu saya pilih bawa diri aje...
senang orang nak lupakan kita terus...
betul tak?
hehehe....
:)
romi,
Saya jarang menjadikan orang yang saya marah itu sebagai musuh. Saya boleh sejuk sendiri selepas marah. Tapi orang yang saya marah itu yang selalunya lebih melanjut-lanjutkan marahnya pada saya sampai penyudah. Anehnya, saya masih hidup sampai sekarang.
En wan mungkin lain dengan orang lain...
saya dah biasa kene nasib macam tu...
sebab tu saya tak suka marah...
bila marah orang cabut...
cuma ada dua tiga orang aje yang masih setia dgn saya walau pernah gaduh besar...
Lain2 tuh....
haram!
Hehehe...
Post a Comment