Catatan-catatan yang Tak Tercatatkan dari Pokok Sena
(i)
JUMAAT petang, tergesa-gesa saya berangkat pulang ke Pokok Sena. Tok Wan saya di sebelah emak, sakit kuat. Dua bulan lalu ketika saya kembali, dia masih boleh duduk tercokoh. Sekarang hanya baring terlentang. Hendak apa-apa, anak menantu yang uruskan (Tok Wan saya hanya punyai empat anak perempuan, mak saya kedua).
Cakap emak membuatkan saya tersentak. Di mulut Tok Wan asyik bertanya, “Mana Tok Mulu? Mulu tak balikkah?” Ketika orang kampung sudah mula membacakan surah yassin, saat itulah Tok Wan bertanyakan saya. Saya anak dan cucu yang paling jauh dari keluarga, dari sisi jarak.
Mulu adalah panggilannya untuk saya (maksudnya, Penghulu). Saya tak tahu bagaimana gelaran ini boleh muncul. Bahkan seingat saya ketika saya sudah mula boleh berfikir ketika usia lima atau enam tahun, panggilan ini sudah melekat dalam diri saya. Orang kampung yang akrab dengan saya juga memanggil saya dengan panggilan Mulu.
Berhadapan dengan Tok Wan, macam-macam saya fikirkan. Saya seperti merenung ke dalam diri. Naif benar keadaan dirinya sekarang. Dulu tubuhnya kemas sasa, sekarang sudah nampak selangka. Mujur, dia masih kenal kami anak beranak, dalam keadaan percakapannya yang sudah bercampur-campur antara nyata dan tidak. Dia sudah menghampiri tahap nyanyuk. Sekejap cakapnya jelas, sekejap entah ke mana-mana.
Saya pandang Tok, airmatanya meleleh. Tok pun selalu uzur dan selalu asyik penat-semput. Sabtu tengah hari, ketika saya salam mahu pulang, tiba-tiba Tok Wan berkata bilakah dia boleh ikut saya mahu ke KL? Saya diam tak terkata.
Saya berdoa dalam hati, moga-moga ketika saya kembali sekali lagi ke Pokok Sena, dia masih berdaya menunggu Mulu. Air mata tertitik ke dalam.
(ii)
AYAH saya, masih berbalut kakinya. Hampir dua bulan, buku lalinya patah – rebah di kebun getah terserandung akar sewaktu sedang menoreh. Alhamdulillah, sudah semakin baik – sudah boleh berjalan, menunggang motor dan memandu kereta. Saya mahu saja ayah pencen menoreh, tapi kata-kata tak terluah di depan ayah. Saya hanya beritahu emak, suruh ayah berhenti menoreh. Emak hanya senyum kepada saya tanpa kata. Bolehkah orang tua hanya duduk cokoh sahaja tak buat kerja? Bodoh kamu, benuasuluk!
Daerah kami (Pokok Sena baru dinaiktaraf sebagai daerah baru di Kedah Februari lalu). Sebelum ini, kami sedaerah dengan Kota Setar, walaupun kami hulu. Sudah ramai orang luar di tempat kami – Myanmar, Siam, Bangla semua ada. Mereka bekerja di kebun-kebun getah, di ladang-ladang, di kilang kayu, di stesen minyak.
Satu hari kata ayah, di Pekan Nat (pekan sehari – Nat dalam bahasa Siam), mereka juga berbondong-bondong ke pasar membeli keperluan. Dan perkara ini, betul-betul terjadi di depan ayah. Peniaga-peniaga (orang tempatan) katok pendatang-pendatang ini. Bayangkan kata ayah, sekilo ikan wan hidup (haruan) dijual dengan harga RM 50.00 sekilogram. Biasanya ikan wan hidup lebih murah dari ikan wan kering. Tak salah saya, ikan wan kering dijual dalam RM 30.00 sekilogram. Jadi, peniaga betul-betul cekik darah. Tapi, mereka beli juga kerana mahu (bagi yang tak tahu ikan wan hidup dan kering, dua-duanya sedap). Sayur-sayur, ulam-ulam atau cili yang dijual selonggok RM 1.00 dijual kepada warga asing ini RM 3.00 selonggok. Mereka beli juga tanpa omelan.
Ayah melahirkan rasa kurang senang. Orang-orang kita sudah hilang tanggungjawab hidup. Sudah hilang norma mulia. Sudah lunyai rasa kebersamaan. Sudah lenyap kemanusiaan. Semuanya sudah mahu menjadi lotong dan kera. Kata ayah, pendatang-pendatang yang datang ini, semuanya hidup susah di tempat mereka. Kalau mereka senang, tak hingin mereka datang ke Malaysia. Kita pun, kalau Malaysia sedang merempat, sudah pasti akan juga mengambil langkah untuk berhijrah. Berhijrah itu ialah untuk mencari satu lagi kehidupan. Yang lebih baik tentunya. Jadi, layanlah juga pendatang-pendatang ini juga dengan rasa manusia kita. Mereka bukan hewani. Kita tak rugi apa-apa pun.
Ayah saya, sangat cemerlang di hati saya. Dia tidak ada sarjana, tapi kepala otaknya saya percaya mampu mengalahkan seratus sarjana kita. Dia hanya miliki kesarjanaannya dalam kebun getah dan di tengah-tengah bendang yang melaut.
(iii)
KETIKA bergebang di laman rumah pada masa yang lain pula, ayah berkisah lagi tentang pendatang. Ceritanya, abang kepada bapa saudara saya, Pak Teh membuka kandang menternak lembu. Sambil itu, dia bersawah.
Bagi menjaga sekandang lembu, dia mengupah seorang pekerja – dari Myanmar. Islam. Dibawa tinggal bersekali dengan abang Pak Teh saya. Makan tidur semuanya di rumah itu. Solatnya rajin, akhlaknya terpuji. Bila akhlak terpuji, bab-bab kerja tak payah ditanya lagi; ringan saja tulang.
Satu pagi, ketika isteri abang Pak Teh saya sedang memasukkan air dalam periuk nasi, dia bertanya nak buat apa. Dijelaskan, ini nasi semalam, tak habis dimakan; jadi boleh tabur bagi ayam makan.
Lelaki ini minta jangan dibuang nasi itu, sayang katanya. Habis nak buat apa, tanya isteri abang Pak Teh saya. Jawab lelaki itu, beri kepada saya. Maka, diberilah nasi itu. Isteri abang Pak Teh saya pun melihat apa yang hendak dibuat dengan nasi itu. Nasi sejuk yang ada dalam periuk itu dikokok-kokok ke dalam pinggan. Kemudian digaul dengan garam. Dan, dengan bismillah diapun mula mengunyah nasi itu, pelan-pelan. Dia makan nasi yang sudah lembik terkena air itu bercampur garam.
Sambil makan, dia berkata kepada isteri abang Pak Teh saya; di tempatnya, di negaranya hidup sangatlah susah. Hendak makan pun payah. Apatah lagi hendak jumpa nasi lebihan seperti ini. Itu yang dia minta untuk makan nasi itu sebagai sarapan paginya. Isteri abang Pak Teh saya sangat tersentuh hati. Mulai hari itu, jika ada nasi yang lebih, akan dipanaskan dan diberi kepada pekerjanya yang luhur ini sebagai makanannya, tidak dibuang lagi.
Begitu cerita ayah saya. Dan kita di sini, sanggup ke hotel untuk makan-makan hingga habis RM 100.00 satu kepala.
(iv)
DUA hari pulang ke kampung, saya temui cebisan-cebisan apa yang saya cari. Saya temui kasih sayang saya. Saya temui kisah saya. Saya temui kisah-kisah orang terpencil. Saya temui kisah-kisah orang kerdil. Saya temui selonggok kisah yang saya tak terfikirkan. Syukur, Allah memberikan saya ruang untuk menafsir selonggok pengajaran ini.
11 comments:
salam ziarah.
Saya nantikan sdr. di UPM.
salam sejahtera,
tok wan saya kedua-duanya telah tiada.sama macam anda selalu bertanya mana cucu mereka menghilang?
saya, jikalau Malaysia ini susah seperti Burma dan kita seperti bangsa rohhingya saya akan berhijrah ke Mongolia.
oh lupa memang wajar anda digelar mulu sebab anda juga muluk dan suluk.saya kira anda juga BAURUT ba hak hak hak.
Sdr. Azam,
Saya amat rindukan suasana kampus hijau, seperti 12 tahun lalu. Entahkan penantian sdr. itu seperti membuang masa saja menunggui saya. Saya doakan sdr. nanti sudah berjubah ketika saya kembali ke sana...
awang,
terima kasih kerana tak jemu berkunjung ke sini. Kalau ada anugerah pengomen terbanyak di benuasuluk, sdr.lah pemenangnya.
Tapi, saya kira walaupun saya baurut di mata sdr., tapi sedari dulu lagi sdr. selalu saja gagl mengalahkan ketampanan saya. Dan, sdr juga selalu kalah memenangi hati perempuan yang kita gila, atau perempuan yang menggilai kita. hak hak.
Salam,
Tok Mulu, balik derian Kebun 500 dah berbunga ka? Harap orang tua hang sihat, tapi macam jugak orang tua aku, kalau boleh dah lama dah suruh berenti ke market, ke dusun, tapi biasa la orang tua, mana tau dok diam, kecuali kalau dah tak larat nak menguet kot baru dia dok diam-diam.
adi, derian belum musim. La ni anak padi baru naik tinggi betih. Pokok getah daun tengah menghijau. Kampung nyaman semacam. Tenang bro. Hujan mengguyur, angin meribut. Rasa macam nak letak jawatan balik jadi mulu.
Jangan berhenti dulu, En. Wan...
Tunggulah kami habis PeTA.
Sorrow,
menjadi lumrah, yang baik dan terbaik harus berangkat dulu. Saya pun, mahu masuk dalam senarai yang cepat berangkat, pergi.
Sampai masa, jangan dihalang saya pergi.
sebetulnya saya tak punyai kampung halaman seperti en.wan. Sekali-sekala singah di johor atau pun perak kampung mak abah ibu, itu pun bila menjelang raya puasa.
Kampung saya di sinilah, di Kampung Tengah Gombak. Dibesarkan dan bersekolah di sini. Nampaknya sekarang kerja pun masih di sini :)
tengah,
saya, kalau boleh juga mahu menjadi seperti sdr.;
ahir di Pokok Sena,
sekolah di Pokok Sena,
masuk universiti di Pokok Sena, berkahwin dengan orang Pokok Sena, bekerja juga di Pokok Sena,
bla bla bla juga di Pokok Sena,
ne nong ne nong di Pokok Sena...
tapi, hidup selalu memberikan kita lain warna, berbeda rasa. Kuasa tuhan, kan?
Saya selalu percaya
orang-orang tua inilah yang lebih ilmunya dari orang-orang bersarjana...
malangnya, dalam hidup saya hanya ada abah dan umi dalam golongan itu...
en wan antara orang yang paling bertuah kerana masih ada tok wan...
saya...?
Ada pun macam tak ada...
Pendatang ini pun ada banyak juga jenis golongannya...
mungkin saya masih belum terjumpa dengan golongan yang en wan katakan
mungkin kerana dunia saya masih di kawasan KL dan Selangor...
rata-rata yang saya jumpa...
mengalahkan tuan dan lagaknya
tak ubah seperti... saya pula yang pendatang di tempat sendiri...
terutama sekali di Selayang dan Rawang...
Jangan pula tak tahu, di Selayang mereka sudah anggap Myanmar ke-dua
romi,
salah siapa, ya?
Post a Comment