Wednesday, April 8, 2009

Majlis Doa Selamat

DI kampung-kampung, doa selamat menjadi acara kebiasaan bagi orang kampung. Doa selamat pindah rumah baru, doa selamat anak lulus periksa, doa selamat anak mahu ke universiti, doa selamat hendak pergi haji, dan sebagainya. Itu belum dicampur lagi dengan majlis tahlil dan kenduri arwah. Itu sudah menjadi satu kelaziman.

Dan biasanya, jemputan untuk menghadiri majlis ini adalah dengan ikhlas sepenuh hati; walaupun nanti jamuannya cukup ala kadar, atau sekadar mengenyangkan perut. Tidak bermewah-mewah. Yang penting, kita hadir memenuhi hasrat besar tuan rumah yang mengundang dengan ikhlas, dan kita pun hadir dengan ikhlas.

Baru-baru ini, saya “menerima” dua undangan menghadiri majlis doa selamat dari orang besar; bukan orang kampung. Sedikit aneh jemputannya. Masuk surat jemputan melalui pejabat. Mengundang seramai boleh kakitangan pejabat hadir ke majlis doa selamat di rumahnya.

Dan anehnya (menjelikkan saya dan kawan-kawan sebenarnya), nama kami dimaklumkan pada tuan rumah bahawa kami sekalian akan hadir ke majlis tersebut; tanpa terlebih dahulu kami ditanyakan terlebih dahulu sama ada boleh hadir atau tidak. Dan surat “arahan” menghadiri majlis doa selamat ini hanya sampai ke tangan saya hampir pukul lima petang, ketika saya sedang berkira-kira mengemas kerja terakhir sebelum pulang. Dan seronoknya, majlis itu akan berlangsung pada pukul tujuh malam.

Dalam masa tidak sampai sebulan, saya menerima dua “jemputan” ini oleh orang yang sama, dan menghirisnya hati, orang pejabat di atas menguruskan hal ini juga dengan cara yang serupa; seolah-olah kami ini belon yang boleh ditiup angin sesuka hati di mana perlu.

Saya tahu - majlis doa selamat pertama diadakan sebagai majlis memohon berkat supaya si polan tidak kalah, dan majlis kedua dianjurkan kerana si polan betul-betul tidak kalah. Kalah dalam pertandingan apa, jangan tanya saya!

Di kampung, majlis doa selamat kita dijemput hadir, tidak dipaksa hadir. Tapi kerana kita menghormati niat tuan rumah yang ikhlas menjemput, kita akan cuba untuk hadir. Jika tidak ada urusan, saya akan hadir dalam majlis tahlil dan doa selamat bila saudara sekampung mengundang. Tapi untuk kes ini, maaf saya tidak akan hadir. Dan saya tahu, ramai juga kawan-kawan saya yang “dijemput berarah” ini tidak hadir pun. Nama saja kita hidup dilingkung budaya, tapi setiap tindakan kita langsung tidak mencerminkan ke arah itu. Lalu, kita yang sedang hidup dalam kandang budaya kita ini, di mana atau dari mana petunjuk yang kita peroleh?

Saya sampai di rumah lewat petang dalam rinai hujan. Malamnya saya minta isteri gorengkan ikan gelama masam dan tamban kering. Anak saya yang paling kecil, berusia tiga tahun terkehel-kehel membaca doa makan dalam lenggok telo suaranya. Kami anak beranak pakat mengaminkan. Lalu, betapa terasa nikmat yang Allah berikan dalam sajian yang hanya berupa ikan gelama masam dan tamban kering.

Saya boleh kenyang menyendawa seperti ular sawa pelekoh kambing kalau saya pergi ke majlis tersebut, tapi saya memilih untuk tidak menjadi berpura-pura.

6 comments:

Rahimidin Z said...

Mulu,
baguslah. kita kena syukuri akan anugerah-Nya.

awangsulungmerahmenyala said...

salam tamban kiat,
sedappp ooo...meh la mkn kat umah aku,aku jamu hang ikan kering talang gebu hah kat sini mana nak ada talang gebu.
patutlah tengkok makin takdak hahaha...ba hak hak,
15 april jemput datang ke setia alam ba hak hak

Romibaiduri Zahar said...

nikmat makan sekeluarga tak pernah kalah walau hanya makan nasi berulamkan ikan kering...
rezeki yang sama sikit itu lagi berkat...
dari menjamah rezeki yang mewah sambil hati memaki...

yang menjemput berdosa... yang dijemput makan pun berdosa...
mana ada nikmat makan...?
Nikmat menyentap dosa ada lah...
hehehehehe...

benuasuluk said...

Sheikh,
saya juga mahu ikut tuan, belajar menjadi darwis.

awang,
ikan talang kering perrggghhh buat gulai campoq buah nangka atau buah nenas.
15 April? Setia Alam? tak mau tak mau. Jom la pi indon. hak hak.

romi,
betul, saya mahu menjadi darwis. huk huk.

z@dH hiRsHAm said...

Abaikan saja undangan yg datangnya bukan dr hati!

benuasuluk said...

sorrow,
terima kasih atas nasihat.