Mencari Tun Kudu dalam Galau
SAYA baru pulang dari menonton Tun Kudu – sempena program Malam Tradisi Sastera Rakyat (MTSR) ke 24 di UPM. Bersama-sama dengan musuh ketat saya, Rahimidin Zahari dan Shamsuddin Othman. Itupun selepas Rahimidin telefon saya “merengek-rengek” mengajak saya ikut serta. Sekarang ini, saya “pantang benar” orang mengajak ke Serdang, saya akan laju saja setuju.
MTSR ini dianjurkan di bawah kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu, yang dikendalikan oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi; melibatkan pelajar-pelajar dua fakulti – Bahasa Moden sendiri dan juga Fakulti Pengajian Pendidikan (dua-dua fakulti ini dulunya hidup bersama, kemudian bercerai tanpa talak). Saya sempat juga merasa era pasca “perang dingin” dua-dua “laki bini” ini.
MTSR ini punya sejarah dan signifikannya untuk kedua-dua fakulti ini. Dan tentunya, saya juga punya sejarah tentang MTSR ini. 24 itu melambangkan sudah 24 kali pementasan ini dijayakan. Bererti sudah 24 tahun! Tapi bagi saya, angka boleh saja bertukar ganti – soalnya adakah angka berupaya memberikan sesuatu yang bermakna?
Ya, 10 atau 11 tahun lalu saya juga terlibat. Bahkan juga menjadi pelakonnya sekali. Ini kerana – Kesusasteraan Rakyat Melayu adalah kursus wajib bagi saya ketika itu di Bahasa Moden (saya sesi 1997-2000). Pernah dulu-dulu saya terfikir, bahkan pernah berbahas dengan kawan-kawan dan pensyarah saya tentang apa perlunya pelajar menyempurnakan MTSR ini bagi kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu?
Saya tak punya ramai kawan yang boleh diajak berbahas (walaupun batch saya ramai ex-teacher dari Fakulti Pendidikan). Pensyarah yang selalu senada dengan saya hanyalah Rahimah Hamdan dan juga Hizairi Othman. Juga penyelia saya, Taha Abd. Kadir. Kenapa tidak sahaja kursus ini lebih diberikan penekanan teori – untuk melihat dan mengkaji dengan lebih dekat susur galur sastera tradisi itu sendiri? Perlukah pementasan? Dan pementasan ini akan dinilai untuk markah peperiksan bagi kursus ini? Maka, pelajar akan lebih “bersibuk-sibuk” menguruskan pementasan ini, berbanding dengan yang mahu mengenal atau mengkaji sastera tradisi kita. Di situlah saya melihat pro dan kontra waktu itu.
Maka, tidak mahu dilihat sebagai kera sumbang, saya juga menyibukkan diri – bahkan saya memberi 200% untuk produksi saya waktu itu, Puteri Akikapuno; cerita tradisi dari negeri Sabah. Tak salah saya, waktu itu MTSR ke-14. Saya masuk ke hutan mencari buluh, saya di belakang tabir, saya menjadi penolong pengarah dan penasihat tak rasmi kepada ex-teacher yang menjadi pengarah, bahkan saya juga berdiri di pentas sebagai pelakon. 1998-2000 adalah tahun “glamour” saya di situ, dengan dua pementasan yang saya terlibat sebagai pemainnya. Hingga sekarang, Hajah Halimah Hassan pengajar kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu ini dan juga penasihat bagi MTSR akan memanggil saya Awang jika terserempak dengan saya di mana-mana. Awang adalah watak yang saya lakonkan dalam Puteri Akikapuno. Hinggakan dia terlupa nama sebenar saya kerana selesa memanggil saya Awang.
Berbalik kepada teater malam ini, Tun Kudu. Entah apa, Haji Shamsuddin memilih untuk berada di belakang sekali (konon nak tengok anak muridnya), maka Rahimidin dan saya dipaksa ke baris paling depan oleh pelajar. Perlu saya sebut, Rahimidin dilayan seperti dialah yang bakal ternobat sebagai Sasterawan Negara ke-10 (dikejar oleh pelajar perempuan sampai ke muka tandas). Fuyoo! Dan saya di sisinya pun terkena tempias. Balik pun ada ole-ole, dan dijamu gula-gula sebagai pemanis mulut sewaktu menonton.
Saya tertanya-tanya di mana Tun Kudu malam ini? Lebih satu jam berjalan saya tersesat mencari Tun Kudu. Rahimidin di sebelah saya seperti gelisah, asyik bertukar silang kaki. Acapkali (entah, saya tak bilang) dia asyik mengerling arloji di tangannya. Kemudiannya, saling bertukar pandang dengan saya. Dan kami sama-sama senyum. Dalam hati kecil saya, sah Rahimidin pun sama dengan saya. Kami dibantai gelisah. Pembukaannya yang bertele-tele pun sudah menjemukan bagi saya. Ada acara bertukar-tukar cenderamata dahulu (sudah 24 tahun tu). Dan saya datang hendak menonton.
Ada aroma Kelantan pada Bendahara Seri Wak Raja, ada nafas Kedah dari rongga Sultan Muzaffar Syah, ada kasturi Sabah dari mungilnya mulut Tun Kudu. Ada tarian yang kaku, adat istana yang tak terjaga; saya melihat segala-galanya. Seperti cerita lucon. Penonton gamat dengan tawa, tapi saya dan Rahimidin diam bertukar gelisah. Bahkan, ada banyak nyanyian. Ada “extra turn” di semua babak yang saya tontoni, seperti menonton bangsawan (kalau sudah begini, buatlah bangsawan). Pada jeda babak entah yang mana, ada tiga empat buah lagu yang diselingkan. Pada takah ini, saya dan Rahimidin sudah tersentak. Sudah macam karaoke!
Sungguh, saya sesat mencari Tun Kudu. Saya datang dari jauh, betul-betul hendak mencari Tun Kudu. Saya hendak berkongsi lara Tun Kudu. Saya mahu tenggelam ke dalam sejarah. Saya mahu hanyut dalam sejarah. Agak malang, saya dibawa hanyut di dalam panggung yang serba baru. Ketika bertukar-tukar tiga empat lagu itulah, sekitar 10.30 malam saya dan Rahimidin mengangkat punggung. Walhal persembahan belum pun separuh jalan saya kira. Tak sanggup lagi menunggu. Biarlah, tak “jumpa” Tun Kudu pun tak apalah. Nenda Kudu, maafkan cucunda ya? Di luar, rupanya Shamsuddin terlebih awal keluar, dia terlebih dulu muntah dari kami. Sungguh, bersahabat dengan dua orang penyair sufi ini, saya juga berpura-pura menjadi si sufi celup.
Dan sepanjang berkereta pulang ke rumah, terimbas-imbas kembali apa yang terbuku di sukma saya sepuluh sebelas tahun lalu. Perlukah Kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu dibuatkan pementasan sebesar ini? Saya masih percaya, pelajar lebih perlu didedahkan dengan apakah sastera rakyat, apakah sastera tradisi, apakah sastera rakyat Melayu, apakah sastera tradisi Melayu; berbanding dengan mahu “menggasak” pelajar dengan sebuah pementasan. Di dalam itulah terkumpul akar dan akal Melayu. Betapa tradisi kita akan membijaksanakan kita.
Pementasan seperti ini takkan menemukan kita dengan apa-apa intelektualnya pusaka kita. Kita sudah banyak tercicir dan tergelincir. Saya tak salahkan pelajar jika mereka canggung di pentas. Bagi saya mereka sudah cemerlang. Menguruskan sebuah pementasan yang berskala besar seperti ini adalah marathon yang serba menguji. Mereka bukan pemain tulen. Saya pernah melaluinya, jadi saya masih salut atas kerja keras mereka. Itulah yang saya sebutkan di awal tadi angka yang berubah itu apakah berupaya memberikan sesuatu yang bermakna? Jika tidak, ia hanya menjadi pertukaran angka yang gagal memberikan apa-apa.
Sayang, saya tak nampak kelibat Rahimah Hamdan malam ini. Kalau tidak, pasti kami akan saling bertukar senyum dan mengangkat kening. Dan abang saya sepuluh tahun dulu, Hizairi Othman, di mana ya kamu ngembara?
Dan hingga saat ini, nampaknya pendirian saya sepuluh sebelas tahun yang lalu kekal; dan masih terbawa-bawa sampai kini.
9 comments:
Wan,
Aku bukanlah dari kalangan semua kawan-kawan hang yang belajaq dan mendalami sastera atau apa yang saja yang hang panggil.
Tapi aku masih ingat dengan pekat dan likat dalam kepalaaku apayang Cikgu Muhammad, Cikgu ???, ajaq kita pasal apa tue Sejarah Melayu, apa di buat Si Kitul, Awang Sulung Merah Menyala dan lain buku yang kita khatam sampai 2 kali.
Dan aku masih setuju dengan hang kalau hang pernah bercakap dengan aku 10 Tahun lalu kat Padang sambil kena NASIK AYAQ...
Aku hampir2 terlibat dalam pementasan muntah2 kali ini.Mujoq aku sakit tengkuk, kalau tak Hajah Halimah memang dah suruh perform gurindamlah,apalah...asal ada show saja.Tapi sastera dan tradisinya ntah ke mana.
Student akulah yg beraroma Kedah, Kelantan dan Sabah tu.Tahun lepas depa buat Si Bongkok Tjng Puteri, tapi extra turn dgn sajak Tetamu Senja. Boleh gitu?
awang oi awang bokceh.hahah ba hak hak..
teringat aku dengan ahmad marbawi dan terkenang zaman rtm dengan slot bangsawan.
Huh... Mesti handsome en.wan jadi Awang... Tapi sedih bangsawan lepas saya jadi budak kostum jaga baju panglima berantai..huhuhu
adi,
apa benda yang aku cakap tu yang setuju? dah lupalah, banyak sangat yang aku cakap. Pasai hwai see kah? atau pasai syaja? he he.
rai,
tetamu senja? macam nyamuk. huk huk.
awang,
ini awang pujaan ramai tau. ha ha.
tengah,
ya Allah hensem sampai tak boleh nak cakap.
HUMM
incik wan kena bg kredit juga usaha mereka ni-farah tak tgok
tapi yelah kalau sungguhpun lari jauh dari bangsawan dan sastera rakyat melayu..kenalah cikgu2 nye tegur2 kan..
namapun kami budak baru belajar..
cik farahana,
baca betul2 ayat ni, ... Saya tak salahkan pelajar jika mereka canggung di pentas. Bagi saya mereka sudah cemerlang. Menguruskan sebuah pementasan yang berskala besar seperti ini adalah marathon yang serba menguji. Mereka bukan pemain tulen. Saya pernah melaluinya, jadi saya masih salut atas kerja keras mereka ...
Saya hanya terfikir, atau soalkan perlu ke sebuah pementasan untuk kursus ini? Rasa saya lebih baik untuk teori. Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya dulu-dulu, sewaktu saya juga menjadi pelajar seperti mereka ...
Selebihnya, terpulang ...
Sdr RH: Aku hanya ingin menzahirkan haX3
sdr. marsli,
ketawa sdr. menyenangkan saya. Ha ha ha.
Post a Comment