Kumpulan Puisi Baharu Karib yang Sufi SELEPAS Di Kebun Khatulistiwa (2006) dan Istana Pasir (terjemahan dalam bahasa Rusia oleh Victor A. Pogadev, 2007), Aksara adalah kumpulan puisi terbaharu musuh ketat saya di Kementerian, Rahimidin Zahari. Diterbitkan oleh Penerbit Ilmu Bakti Sdn. Bhd. Ini adalah kumpulan puisi untuk remaja.
Diletakkan di bawah label Siri Teks Kesusasteraan Melayu, kumpulan puisi ini terbit bersama sembilan buah lagi buku; yang merangkumi dua kumpulan puisi, tiga buah antologi cerpen, dua antologi drama dan dua buah novel oleh penulis-penulis yang berbeza. Buku ini panas-panas, saya dapat dari tangan penyairnya yang baru dikeluarkan dari kereta penyair Shamsudin Othman di lereng ASWARA 19 Februari yang lalu.

Selepas menatap, saya dengan resah lebih percaya, Aksara sepatutnya berdiri sebagai kumpulan puisi kanak-kanak. Bahkan itu juga komen awal saya kepada Rahimidin pada sebelah malamnya ketika usai membacanya. Saya ingat dua tahun lalu rasanya, saya pernah memegang manuskrip Aksara ketika diunjukkan oleh Rahimidin sewaktu berkunjung ke pejabatnya dulu. Dan pendirian saya juga sama, Aksara akan lebih cemerlang jika berdiri sebagai kumpulan puisi kanak-kanak. Lenggok bahasanya lembut dan tipis, tapi sarat sari fikir. Aksara ini mengingatkan saya pada lembutnya Rindu Ibu A. Samad Said.
Hanya sayang, kumpulan puisi ini tidak terjual di mana-mana. Semua buku yang terbit di bawah Siri Teks Kesusasteraan Melayu ini diterbitkan dengan tujuan sebagai bahan bacaan tambahan dalam pengajaran dan pembelajaran sastera, khususnya bagi subjek bahasa Malaysia (baca: bahasa Melayu), KOMSAS dan Kesusasteraan Melayu. Sasarannya tentulah di sekolah-sekolah. Khabarnya, buat permulaan siri pertama ini akan dicetak 10 ribu naskhah (Wohoo, kayo demo, be!).
Alangkah bagusnya kalau buku-buku dalam siri ini juga boleh dijual secara terpisah-pisah, dan boleh didapati di mana-mana kedai buku. Supaya penggemar-penggemar yang tidak bernasib baik seperti saya yang mendapat naskhah percuma penyair boleh turut serta untuk memilikinya.
Selebihnya, Aksara ini terus mengukuhkan keberadaan dan hayat kepenyairan Rahimidin Zahari, dan membuktikan kepada kita dia penyair yang tidak pernah surut ke belakang.
6 comments:
Setuju. Aksara tu untuk kanak-kanak.
sufi,
Itu cuma pandangan saya saja. Tak mesti betul, kita bukan sarjana.
Ada apa dengan sarjana?
Sorrow,
macam-macam ada kalau jadi sarjana. Sdr. tak teringinkah menjadi sarjana?
Saya lebih ingin menjadi penulis yang bermaruah, yang saya kira En. Wan memang sudah memiliki sifat tersebut.
sorrow,
perjalanan saya masih panjang; bahkan sebenarnya saya baru bermula...
Post a Comment