Wednesday, April 1, 2009

Melayan Blues

SUDAH tiga bulan saya berpindah. Saya bingung. Dalam rumah saya, cuma saya seorang yang masih tidak dapat sesuaikan diri dengan persekitaran baru. Selama berpindah ini, hampir setiap minggu saya pergi ke Serdang. Bukan ada apa-apa pun. Singgah-singgah minum di “port” saya – rasanya mereka pun tak tahu saya sudah berpindah. Sambil itu, sempat “curi-curi” tengok rumah lama, takut ada surat tersesat saya yang masih gunakan alamat lama. Oh, rumah saya dulu sudah diduduki oleh orang lain. Cemburunya saya!

Sepuluh sebelas tahun lalu Hizairi pernah berkata dalam tutorialnya, orang yang sering berpindah randah biasanya otaknya lebih kreatif. Itu berdasarkan pengalamannya yang sering berpindah rumah menjadikan dia lebih memasuki ruang kreatif – dunia penulisanlah. Kemudian saya juga dengar daripada mulut penulis-penulis lain pun mengakui hal yang serupa. Terakhir, dua tahun lalu, ketika membawa pelajar berbengkel di Genting Highlands, saya mencuri-curi dengar percakapan S.M. Zakir dari belakang. Zakir juga mengakui hal yang sama; betapa kekerapan berpindah rumah telah menumbuhkan suatu jalur yang kreatif untuk dia menulis.

Dan jadah, perkara ini tidak pula berlaku kepada saya. Betul-betul jadah. Sejak tiga bulan lalu berpindah rumah, dunia kreatif saya yang cuma “suam-suam kuku” itu macam lenyap sahaja. Saya seperti hilang deria rangsangan untuk menulis. Betul-betul buntu.

Puisi-puisi yang saya hasilkan saya baling sahaja. Mentah seperti tak mahu masak-masak. Jadah! Kebetulan, saya sedang menyusun kumpulan puisi persendirian yang baharu. Saya mengejar masa kerana diberi deadline yang terlalu suntuk – 3 April ini. Saya tolak sahaja kumpulan puisi ini ketepi. Saya menyampah dengan puisi yang saya sedang susun. Kalaulah saya jumpa si teman yang memilih saya; yang mencadangkan kumpulan puisi saya untuk diterbitkan, saya akan menyembah “derhaka” kepada si teman ini, mohon dilanjutkan masa sepekan dua lagi untuk saya. Bolehkah?

Dan PENA ha ha ha, seperti menambah “beban” saya. Meminta saya buat kertas kerja dan dibentangkan di Perhimpunan Penulis Muda di Melaka pertengahan bulan ini. Apa saya nak tulis berhelai-helai kertas kalau tengok puisi sendiri dua tiga rangkap pun dah naik menyampah? Ha ha ha, padan muka kamu Benuasuluk! Padan muka! Hah, pergilah bersuluk!

Tiga bulan yang berlalu ini betul-betul mendera saya. Dari “duri” dan “pancaroba” seawal Januari dan Februari untuk saya; yang membuatkan radang saya bertukar murka, hinggalah santak ke hari ini kepala saya benar-benar buntu. Saya percaya masalah “gelap dan buta” kreatif saya sekarang bukan berpunca dari pindah rumah (malanglah saya kalau “sial” ini datang sebab saya berpindah rumah). Barangkali ada benda lain yang berserabut dan berselirat dalam kepala; yang sukar saya lepaskan. Dan inilah barangkali yang cuba mengganggu saya.

Saya cuba membaca, tapi nikmat terasa tawar. Saya simpan buku, dan ambil beberapa bab dari novel pelajar-pelajar yang saya selia. Juga hambar. Tak ada pun yang dapat “merawat” saya. Saya macam mahu hentak kepala ke dinding – tapi saya percaya itu bodoh namanya.

Jadi, sekarang saya biar sahaja. Biarlah saya melayan blues. Memarahi diri sendiri dan menyalahi orang lain pun tak berguna juga. Kawan-kawan yang baik, boleh tolong bomohkan saya? Kalau tak boleh tolong, saya minta tolong - tolong jangan kata saya bodo macam papan , ya?

12 comments:

afna said...

en wan..layanlah blues tu dulu..
saya tgh kejar nak siapkan peta..
dah settle nnt kita gigih semak semula..la nih saya betul2 nak siapkan sampai siap!

awangsulungmerahmenyala said...

salam blues,
mungkin jikalau saudara berpindah ke bilik sewa yang mana kelebarannya 3 kaki dan kedalamannya 7 kaki di waktu itu segala ilham akan datang.

SATIRA + KACAU said...

Sdr RH: Mana-mana buku kau yang tidak mahu baca itu, hadiahkan sahaja kepada aku. Kau dapat pahala dan aku boleh dapat buku free. Bagaimana? Bolehkan?

Satira+Kacau

benuasuluk said...

afna,
Usah khuatir. Saya akan teruskan tugas saya. Nanti singgahlah.

benuasuluk said...
This comment has been removed by the author.
siti khairiah said...

salam...
saya siti khairiah dari program pendidikan bahasa Melayu UPSI. saya sedang mengulas cerpen saudara yang bertajuk ERTI KEPULANGAN untuk tugasan KOMSAS. saya inginkan biografi saudara untuk saya muatkan dalam tugasan saya. saya memohon jasa baik saudara untuk memberikan biografi saudara ke alamat emel saya >kasa_cokelat@yahoo.com>. kesudian saudara saya ucapkan jutaan terima kasih.salam

benuasuluk said...

sdr. siti khairiah,
mana sdr. jumpa cerpen buruk saya tu? Hisshhh malunya, tu cerpen zaman remaja dulu.
Biografi saya tak ada lagi, belum siap. Ha ha.
Tapi biodata ada. Takpa, insyaallah akan saya emailkan nanti. Terima kasih atas perhatian sdr.

z@dH hiRsHAm said...

Nampaknya tanah serdang memang berhantu...

benuasuluk said...

sorrow,
Ia bukan sekadar berhantu. Bahkan ia menghantui saya.

benuasuluk said...

awang,
uhh terdelete pula komen. Hak hak.
Salam blues brader

sdr. satira,
uhh mengapa terdelete juga? Ho ho.

siti khairiah said...

salam..
terima kasih atas perhatian saudara..biodata saudara akan banyak membantu saya untuk tugasan saya...cerita yang menarik...kali pertama saya membaca, hati saya begitu tersentuh...teruskan perjuangan...salam

p/s:maaf, kalau dapat emelkan awal sedikit...tugasan perlu dihantar dengan kadar segera...(maaf mengganggu)

benuasuluk said...

Sr. Siti Khairiah,
Insya-Allah akan saya emailkan jua dalam sedikit waktu lagi.