Monday, March 2, 2009

Kenang-kenangan yang Masih Bersisa

SAYA selalu mengisi ruang kuliah, sama ada dengan bebelan, repekan atau apa-apa cerita sebagai senggang waktu yang ada. Tidak kisahlah apa-apa cerita pun, asalkan ada jeda seketika.

Satu waktu saya bercerita tentang pengalaman-pengalaman lampau saya, tradisi-tradisi saya; sama ada yang sudah tercicir dari genggaman, atau yang masih tinggal bersisa. Yang tinggal bersisa itu kadang-kadang menjadi suatu kenangan maha indah dan bermakna; adakalanya yang tercicir itu pula hanya tinggal menjadi beban yang sarat dalam ingatan.

Begini cerita saya: di kampung saya (barangkali mungkin sama dengan di tempat saudara), ada dua tradisi yang masih kuat-utuh. Bahkan membawa ke sekarang, tradisi ini masih berlanjutan; bernafas antara lenggok cuaca moden dan seribu payah berbenteng dari menahan roboh akibat asakan modenisme yang menerjah.

Yang pertama, saya ceritakan tentang tradisi berderau. Ini bukan darah yang berderau. Di kampung-kampung di Kedah, berderau adalah satu cara orang-orang kampung saling bergotong-royong menanam padi di petak sawah. Tak perlu bayar upah. Masing-masing bergilir-gilir menanam padi di petak sawah tuan empunya. Petak yang luas itu sekejap sahaja habis dikerjakan. Kemudian, akan berpindah pula ke petak sawah orang lain pula. Misalnya, hari ini orang-orang kampung berderau di petak sawah Mak Su Lijah. Bila selesai, Mak Su Lijah akan turut ke petak sawah membantu orang lain pula. Hinggalah habis kesemuanya. Ini yang dipanggil berderau. Ringkasnya, inilah amalan gotong-royong, tolong-menolong, muafakat masyarakat kampung di hulu-hulu. Saya tak malu mengaku saya juga orang hulu. Waktu itu, tidak ada beza antara darah cap keris atau darah cap bulan. Semua tolong-menolong. Berderau tidak ada parti. Masih ada di sesetengah tempat lagi di Kedah tradisi ini terus berlangsung. Selebihnya, sekarang ini orang suka mengupah. Bahkan mengupah orang Siam atau Myanmar menanam padi.

Kedua, saya ceritakan tradisi menguruskan kenduri kendara kahwin. Saya ceritakan, misalnya bapa saya akan mengadakan kenduri kahwin saya. Orang-orang kampung akan membawa segala perkakas atau bahan kenduri sebagai hadiah/buah tangan. Misalnya minyak masak, susu, cili, beras, gula, rempah-ratus, telur, kuih-muih dan serba serbinya lagi. Tahun hadapan jika ada orang kampung ingin mengadakan kenduri kahwin, ayah saya kena membalas balik barang berdasarkan apa yang orang itu telah berikan masa ayah saya berkenduri dahulu. Misalnya masa saya kahwin, Pak Mail hadiahkan pada ayah saya 100 biji telur dan seratus biji kuih peneram. Maka, di majlis kenduri keluarga Pak Mail nanti, ayah saya akan membalas semula 100 biji telur dan 100 biji kuih peneram. Ringkasnya, orang kampung meringankan beban membantu tuan rumah mengadakan majlis.

Ini bukan syarat, dan ini bukan desakan. Juga tiada perjanjian. Ini adalah semangat kebersamaan masyarakat kampung. Dan, rata-ratanya masyarakat kampung kebanyakannya adalah adik beradik, atau kaum puak belaka. Saudara mara semuanya. Saya masih ingat dahulu arwah datuk saya ada sediakan sebuah buku yang mencatatkan pemberian orang kampung untuk majlis kahwin bapa-bapa dan emak saudara saya. Tukang catatnya, sayalah. Ini untuk memudahkan bila hendak membalasnya nanti. Ayah dan mak saya tidak mencatat. Oleh kerana emak saya buta huruf, maka Allah jadikan fikirannya sangat tajam. Dia boleh mengingat semua perkara/benda yang orang berikan tanpa perlu anak-anak mencatat untuk mengingatkan dia.

Satu kampung akan berkenduri. Pendeknya, setiap rumah tak perlu memasak untuk hari itu (bahkan sudah bermula acara makan-makan pada waktu malam berjaga). Memasak pun gotong-royong. Di kampung saya, masih masak nasi gunakan polo, selain dari gunakan kawah. Pelajar saya melopong ternganga bila saya ceritakan bagaimana nasi dimasak gunakan polo. Saya tak tahu apakah di tempat Ustaz Azizi di Yan/Kulim, Nanjamil di Jitra atau Lutfi di Ulu Bakai Kulim masih ada polo. Barangkali sudah tak ada. Jurukaka atau tukang mengangkat hidang kami gelarkan mentara. Cuma sayang, di kampung saya sudah tak ada balai. Sekarang semua pakai khemah, makan duduk atas kerusi. Dulu masa ada balai kayu, semua makan bersila. Satu balai lelaki, satu balai perempuan. Oh ya, di Kedah tempat makan lelaki dan perempuan diasingkan. Ini antara tradisi di tempat saya yang masih berlangsung. Kerana bahana hempukan modenisme itu sangat kuat, maka ruyuplah balai kayu kami.

Dulu, mesyuarat pakat kampung akan dibuat bila tuan rumah hendak buat majlis kenduri kahwin. Bahkan pertubuhan tidak rasmi ini ada dana; yang disumbang oleh setiap buah rumah dalam kampung tersebut. Dana itulah buat untuk membeli segala keperluan – pingan mangkuk, gelas, kawah-belanga, khemah dan macam-macam lagi. Sekarang, pelan-pelan di kampung-kampung sudah moden. Maka makan pun layan diri. Tidak ada pakatan kampung lagi. Hanya masak sahaja gotong royong. Tapi tak ada lagi jurukaka atau mentara. Dulu-dulu mentara kebanyakannya orang muda. Basuh pinggan pun orang muda. Sekarang, anak muda sudah tak duduk di kampung. Pakcik-Makcik pun dah tua, tak terdaya nak mengangkat hidang makanan dari tengah hari santak ke petang untuk menjamu tetamu. Maka, layan dirilah jalan keluar terbaik. Maka, satu lagi tradisi kampung mula menggelungsur keluar. Itu belum lagi cerita perihal rekod/pembesar suara yang dipasang atas pucuk pokok kelapa – menandakan sesebuah kampung itu ada kenduri hari itu. Ini pun dah tak ada lagi.

Ini antara yang saya ceritakan dalam kuliah saya. Rata-rata pelajar saya melopong –menandakan tidak ada seorang pun antara pelajar saya itu yang melalui pengalaman yang hampir sama dengan saya. Walhal, usia saya dan mereka bukan jauh sangat jaraknya. Dan ini tiba-tiba pula menjadi satu keseronokan pada mereka untuk mengetahui apa yang tidak mereka alami. Setiap orang terdidik atau membesar dengan latar yang berbeza.

Dan, kampung saya perlahan-lahan mula bergerak meninggalkan alam tradisi; dan mula menghimpit ruang moden yang menjengah. Sayangnya, antara perkara-perkara baik juga hilang ditelan gelombang modenisme. Walhal yang ditinggalkan itu adalah ruang ikatan persaudaraan. Bukankah yang ditinggalkan itu adalah ruang persaudaraan yang kukuh terpasak sebelum ini? Mengapa mudah benar terurai? Yang karut marut tak mengapalah ditinggalkan. Ini yang baik pun semuanya turut hanyut. Itu yang saya katakan tadi yang tinggal bersisa itu kadang-kadang menjadi suatu kenangan maha indah dan bermakna; adakalanya yang tercicir itu pula hanya tinggal menjadi beban yang sarat dalam ingatan.

Dan kita, yang kononnya terpelajar, bersarjana tak mampu berbuat apa-apa pun. Kita tinggalkan kampung pedalaman, memulakan jejak hidup sebagai masyarakat bandar – dalam tak sedar kita sendiri yang membunuh tradisi kita yang dulunya kukuh mengakar.

Saudara-saudara yang ke sini, membaca omelan saya – boleh saja tinggalkan komen untuk kita bertukar pendapat tentang apa lagi yang tertinggal di tempat saudara. Setidak-tidaknya pun, masih ada kenang-kenangan.

15 comments:

Anonymous said...

salam sejahtera,
coq peneram hahaha aku suka sedap best tuh.kenduri hang dulu tak ajak aku punnn...
kat kampung hang tak buat gulai batang pisang ka?
kat area baling depa buat gulai masak lemak betik muda.iskhh...macam-macam gaya.
menggamit memori..

FARAHNYEMAHMULYA said...

oooooo
kt kg farah masih ade lagi kot
paling tidak org gotgn royong tambah satu dua jenis gulai
macam gulai nangka
ke gulai psang
TAPI katering memg wajib lah
manade kenduri2 pakai masak sendiri

kg farah mentara tuh panggil penanggah la
kan?
bawk2 makanan hanto amik
hehehe
apa lagi yg tinggal ye?

dkt kg farah?-takde apa
yg ade YB lompat parti 3-4 kali
huhuu

benuasuluk said...

awang,
gulai batang pisang? Lu sudah buat marah nih. hak hak. Di Kedah, hanya kawasan di sekitar Pokok Sena saja yang popular dengan gulai batang pisang (pernah masuk dalam surat khabar pasai gulai batang pisang nih). Masih dibuat sampai la ni waktu kenduri kahwin di kampung aku. Gulai betik muda campur ayam kampung sedap nak mampoih, tapi di tempat aku kenduri kawin tak buat. Kenduri arwah atau majlis kecik-kecik selalulah dibuat. Ada lagi macam2, pajeri rebung, kerabu daging mentah (ni favourite aku), kerabu umbut rembia wo wo wo nanti2lah aku buat entri khusus pasai makanan terhangat di Pokok sena.
awang, takpa, nanti kalau aku terberkahwin kali kedua, aku jemput hang; aku jamu semua tu ba hak hak

benuasuluk said...

farah,
kampung abang tak pernah buat kenduri pakai katering. Semua masih gotong royong, mengekalkan cara tradisi. Besok kalau farah nak kawin dengan "orang kampung" abang, farah boleh tengok suasana meriah ini masih terus berlangsung. Itu pun tak tahu berapa lama lagi tradisi ini akan mampu bertahan.

Betul, sesetengah tempat mentara tu dipanggil penanggah. Di Kelantan pula disebut jurukaka.

Ye betul, kampung farah memang tak ada apa-apa yang spesel seperti di kampung abang (majlis kenduri pun pukul 2 dah habis apa barang dik), yang ada cuma YB mangkuk hayun. Apakah ini menunjukkan orang lambor kiri lambor kanan bota kanan bota kiri hobinya di kampung suka melompat batas ban atau parit? Ba hak hak hak.

FARAHNYEMAHMULYA said...

hahaha
ceh
kureng asam
kite merendah diri
dia busuk kan kg kite pulak aihhh--

Anonymous said...

salam kembali,
oittt,jangan nak terberkahwin dgn cik farhana plak.aku nak ejas dia huhu ba hak hak,biar aku yang terberkahwin dia dia huhu.hang p cari saja.

benuasuluk said...

cik farah sayang,
berhjrahlah cepat ke pokok sena. Malu jadik orang bota. Hak hak.

awang,
ini amaran: farah aku punya. Ba hak hak hak. Saja? Itu cerita lama beb, dah beranak lapan kot. Ho ho.

adiratno said...

PADA (baca slanga kedah) hang Wan, hang ingat Saja kilang beras ka apa, baru nikah 5 tahun dah beranak lapan, kalau dia jadi Nurse(ARNAB?) mungkin la kot, banyak masa kat rumah...

benuasuluk said...

adi,
mana pi hilang lama?
banyak la hang punya arnab ha ha. Betoi, saja tu kalau dengan aku dah lapan tau la ni. ha ha.

Anonymous said...

polo..? ape ke mendanya tu..sat lagi tanya suami..mentera tu pernah disebutnya tp dgn lorat kedah yg buat ternganga juga..
gulai batang pisang, masa naik pelamin kt baling ari tu,tu la pertama kali tengok..
terkejut warga perak makan gulai batang pisang.

benuasuluk said...

afna,
bukan mentera, mentara. Sebutannya bunyi "mentagha".
gulai batang pisang memang spesel, kena pula dengan daging lembu, campur tulang perrgghh berdesup. tu belum pekena kerabu daging mentah lagi.

adiratno said...

Lupa ka hang kat Arnab(budak klas LAN-Ida)(masa PRAU 1), sama-sama dok tanam Pokok pisang tepi klas, pastu kena marah dengan cikgu, dia kata "Hampa nak buat sarang penyengat ka apa?"

benuasuluk said...

adi,
arnab tuh "singgah" sat sangat, tak dak impian. Dengan saja, fuhhh banyak yang manis-manis, dude! Tak tahan beb kalau kenang balik si saja tu.

Denanz ... said...

sori wan, abg lambat komen. tapi kenangan ni memang tak buleh lupa. berderau tu memang takdak dah lani. dulu abang la yg tukang "sua" semai kat makcik2 penanam padi. seronok sungguh. sebelum sua padi kena la "kandaq" semai dulu. melelaeh bau (bahu).

bab kenduri kendagha, memang masih diteruskan. mak abang la ni tengah dok balas balik barang yg org bagi.

polo pun tak guna dah.

rekod/pembesar sogha tak guna dah. mentagha pun kughang. makan bawah kemah. balai pun habih takdak. nasi/lauk memang masak tapi dah guna sistem "self service". woo canggih sungguh kg la ni.

bab basuh pinggan tak buleh lupa. pasai upah dia rokok "benson". habih semua budak2 isap rokok.
bukan sebatang dua, tapi sekotak ooo dapat upah.

benuasuluk said...

denanz,
wo, rokok benson. Masih ingat sampai la orang yang basuh pinggan akan selit rokok di telinga kiri dan kanan. Perrgghhh!