Pindah
MENYAMBUT tahun baharu hijrah dan masehi, entah kebetulan atau apa saya berpindah rumah. Bukan rumah sendiri . Hampir 11 tahun saya bermukim di Serdang, dan kini mengubah arah. Semuanya gara-gara untuk memudahkan “sama tua” saya untuk ulang alik ke tempat kerja baharunya.
Bukan mudah untuk mengambil keputusan berpindah setelah agak lama kita serasi dengan tempat lama. Dalam jarak 11 tahun, semua lubang di Serdang telah saya tekuni dan arif. Jadi, untuk berpindah terasa sangat berat – beban di luar dan beban “di dalam”. Berulang kali saya bertanya pada isteri, perlukah sangat untuk berpindah. Jawabnya masih ya, lalu saya pun akur.
Mengangkat barang rumah tidaklah susah. Oleh kerana saya berangan-angan untuk hidup seperti darwis dan mahu menurut gaya hidup Menteri Besar isteri saya dan juga Menteri Besar saya yang baharu, jadi saya tidak punya perabot-perabot mewah, set tv ala panggung wayang, set sofa gedabak ataupun meja makan berukir kelawang. Cukup keperluan asas sahaja. Orang lori yang saya upah untuk mengangkat barang senyum saja. Tapi bila saya unjukkan satu bilik penuh dengan barang berkotak-kotak dalam satu bilik, dia mengerut dahi.
“Apa ni bang?” tanyanya.
“Buku.” Jawab saya sepatah.
Dan mereka termasuk saya pun bengkang-bengkok mengangkat kotak yang penuh dengan buku-buku. Nasib baik sebahagiannya ada di pejabat dan juga rumah di kampung. Terasa seksa mengangkut semua buku ini.
Sampai di rumah baharu, isteri seperti menggertak: “Jangan buka lagi kotak-kotak ini sehingga kita berpindah lagi.” Saya ketawa, kuat-kuat depan mertua yang kebetulan turun dari atas kayangan untuk membantu kami berpindah. Kami bercadang untuk tidak lama di rumah baharu ini. Paling tidak pun setahun. Apabila segalanya selesai nanti, saya akan berpindah lagi, ke rumah sendiri tentunya.
Tapi pengalaman berpindah ini banyak mengajar. Tak semua akan selalu abadi dalam hidup kita. Seperti saya mahu tinggalkan Serdang. Sewaktu saya nekad tinggalkan kampung untuk ke kotaraya dulu, saya tidak perlu berfikir panjang. Tapi untuk meninggalkan Serdang terasa sangatlah berat. Walhal jarak dari Serdang ke tempat baharu ini bukanlah jauh sangat.
Serdang sangat meninggalkan pengalaman mendalam buat saya, kalaupun tidak untuk isteri dan anak-anak saya. Pernah suatu masa saya menaiki teksi, pemandunya bertanya sudah berapa lama saya tinggal di Serdang. Saya menjawab, hampir 10 tahun (waktu itu). Dia senyum kepada saya sambil berkata, susah nanti kalau hendak berpindah. Dia pun membuka cerita, dia tinggal di Serdang dulu hampir 20 tahun. Bila sudah berpindah rasa lain macam – dan hendak tak hendak sehari sekali dia akan melewati Serdang kalaupun tidak singgah. Kalau kebetulan terserempak dengan kawan-kawan, di kedai mamaklah tempat bergebang sebentar. Seminggu sekali anak isterinya akan mengajak untuk minum di Serdang.
Serdang bukan sebuah pekan yang bagus pun. Tapi saya suka. Ada sedikit damai di situ. Lima tahun dulu saya terserempak dengan saudara sekampung di Masjid Tabung Haji. Dia bertanya di mana saya tinggal. Saya jawab Serdang. Dijawabnya balik, hulu tu. Dulu dia pun tinggal di Serdang, tapi sebab tak betah dia pun pindah. Saya tenung dia atas bawah, lalu saya pun jawab: “Rumah hang di kampung lagi hulu, dok dalam kebun getah lagi. Lagi teruk.”
Dia tersentak, dan terus diam. Lepas itu, kami tak pernah terserempak pun di mana-mana tempat di KL ini. Kalau bertemu ketika balik kampung pun kami angguk-angguk kepala saja, salam-salam. Malas nak cakap banyak. Maklumlah, saya hulu!
Anak-anak dan isteri nampak gembira di rumah baharu. Isteri tanya, tak sukakah? Suka, jawab saya sepatah. Tapi dalam hati, rumah ini 14 kali lebih baik dari rumah sewa di Serdang. Tapi rumah di Serdang adalah 18 kali lebih baik dari tempat baharu ini. Kehidupan di Serdang lebih bermakna. Dan di Serdang jugalah Allah telah temukan saya dengan cinta hati saya. Terasa sangat bermakna. Pun begitu seperti kata saya tadi, tak semua akan selalu abadi dalam hidup kita. Cukuplah hanya kenang-kenangan. Samalah seperti ada orang sesekali teringatkan Asiah pada dunia remajanya, walau kini sudah kahwin dan punya lima enam anak. Ataupun ada orang selalu terimbaskan Azizah pada usia mentahnya, walau kini sudah punya tiga anak.
Sayonara Serdang. Terima kasih atas segala yang engkau berikan. Saya berjanji akan selalu mengunjungimu, walau tidak sekerap abang teksi itu. Antara kita telah Allah ikatkan satu perasaan yang tak mungkin terlucutkan; dan begitu sukar difahami.
Doa saya moga rumah tempat tinggal baharu yang juga sementara ini akan juga memberikan sedikit pengalaman berguna dalam hidup kami.
10 comments:
salam sejahtera,
hang memang berat perut la.sembelih baru tauuuu!!!apa punya tur!!!
awang, cuba la kalu berani. Aku tak sembelih hang pun dah kira patut. hang tu berat juboq. ba hak hak.
betul la hang tulih tue, aku sendiri pun kat Precint 9 dah 4 kali pindah randah, tapi masih kat kawasan Precint 9 jugak, dah seronok dengan environment kat situ.
adi,
pindah dekat-dekat tak apa. angkut barang sambil jogging ja. Ha ha.
INCIK WAN,
salam rindu lama tak ketemu,
SELAMAT BERHIJRAH--semoga berkat Allah atas perpindahan ini
farah my dear,
miss u too bebeh!
Salam encik Wan...
Semoga angin di tempat baru akan memberi pengertian baru...
tempat lama, masakan boleh dilupa...
Terimbas balik kenangan saya ketika berpindah ke rumah baru 3 tahun lepas...
Tempat jatuh dan bangun saya selama 16 tahun di Selayang...
walau banyak kes, hati gumbira
tak sama dengan kawasan Rawang ni...
macam tinggal di Tamill Nadu je!
tapi mungkin ada hikmahnya...
tanya sikit ye en. wan...
siapa si Asiah dan Azizah tu ye?
Hehehehe...jgn mare...
romi, asiah dengan azizah tu orang punya.
En. Wan pindah kat mana?
Dah siap ke berkemas?
tengah,
kat antah berantah. Nape, nak tolong kemas ke?
:)
Post a Comment