Sunday, December 14, 2008

Kenang-kenangan Anak Penoreh

TERLALU banyak yang tersimpan, tak mampu tercatatkan dari dulu santak ke kini hidup sebagai anak penoreh. Ayah dan Mak tak pernah mengeluh hidup susah sebagai penoreh. Anehnya saya yang sekarang kononnya berkerjaya di Kuala Lumpur selalu sahaja mengeluh-ngeluh kerjaya saya sekarang kadang-kadang banyak “merosakkan” hidup saya.

Terlalu lama saya “menonton” jerih payah mereka; bahkan orang-orang di sekitar hidup saya di kampung pun susah-susah belaka. Tak tercatat dengan kalam keperihan itu. Terkadang bila pulang, saya selalu merapi dalam diam sisa-sisa lalu yang masih tertinggal. Ayah sampai sekarang sukar meninggalkan kerja torehnya (di kampung kami selalu menyebut pergi menoreh itu sebagai pergi “mengajar”).

Tak pernah dia mengeluh tentang hidup payah. Bila harga getah melambung tinggi beberapa tahun lalu, tidak pula ternampak dia seronok. Hidup masih seperti biasa. Ketika getah melambung, hampir setiap minggu sekerap ayah dikebas orang. Pun dia tak merungut panjang. Dan hari ini, harga getah jatuh menonong sehingga sekilo harga getah menyamai secawan memey tarik; atau sekilo gula saja harganya. Sementelah sekarang musim hujan. Pun dia tidak pernah mengeluh. Saya yang di kota ini selalu saja bersungut itu ini. Dia tahu, rezeki itu bukan milik kita yang mutlak.

Betapa dungunya saya. Saya yang di kota risaukan kegalauan orang-orang kampung bila harga getah jatuh. Anehnya mereka di kampung masih mampu hidup seperti biasa. Betapa kesusahan itu banyak mematangkan mereka. Betapa kemiskinan itu telah mengayakan mereka. Betapa keperitan itu sudah tidak meninggalkan apa-apa luka dan parut lagi pun ...

PENOREH HIDUPKU
(Dengan Ingatan Kepada Ayah)

Alam kanakku
kulihat mata pisaumu
menoreh hidup kita sekeluarga
susu harap kami
melimpah ke perdu usia.

Kautolak alam remajaku
dengan basikal gigihmu
di pelantar impimu
adik-adik membonceng
dengan ilai kekek alam kanakku
kausenyum dengan bunga harum
sambil menutup tangkai sengsara.

Masih kausudi
melarik alam matangku
dengan pisau torehmu
kausendati jiwaku
dengan wangi hanyir sekerap.

Masih kaupohon tua
yang setia meneteskan
peluh pengorbanan
ke perdu tujuh kerangka anak.

Pisau torehmu masih
tajam dengan karat derita
pisau torehmu masih
kilat dengan tumpul sisa duga.

Kau mengajarku
kesakitan adalah penanda
sempurna hidup.

Petangmu kian berengsot
sedang senyummu
masih mekar.


HIKAYAT TENGKUJUH

(I)

ayah mendongak ke atas
tak pernah pun mengeluh
betapa jauhnya matahari
dan betapa dinginnya hujan

(II)

tengkujuh panjang
ayah cekal menanti matari
ibu rindukan hanyir sekerap

(III)

tengkujuh panjang
ayah masih mengasah pisau torehnya
dan disimpan kembali

(IV)

sewaktu tengkujuh
ada dengung suara merpati
bersembunyi di balik gebar

(V)

ibu mendodoikan merpati
ayah mengasah pisau toreh
matahari masih di belakang hutan

BEBERAPA CATATAN YANG TAK TERCATATKAN

(I)

Berjalan ke kebun ayah,
ada gambar emak tergantung di pohon
dengan tujuh ekor merpati di kanvas

(II)

Aneh, pada mata pisau toreh ayah
ada tujuh ekor merpati
bertenggek menggengam bulan

(III)

Mengunjungi sumur kepunyaan ayah
ada syair dan tembang ibu
tentang merpati mencari bulan

(IV)

Sekeping syiling dua kupang
diikat getah pada baju yang berdarah
kukenang dan kukenang

12 comments:

Anonymous said...

salam getah,
bagaimana pula dengan anak-anak yatim yang langsung tak merasa bapa si penoreh atau bapa si nelayan.
kita ada juga bapa untuk diboncengi basikal tuanya dan merasa nikmat jerih perih bersama bapa.

benuasuluk said...

awang,
benuasuluk pun kesian dengan anak-anak yatim piatu.
Tapi entri ini sekarang sedang berbicara tentang hidup semua penoreh bila harga getah tengah jatuh gila sekarang...

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

kadang-kandang saya bersunggut juga bila pagi-pagi sudah hujan... macam-macam dah pikir, nak pegi kerja macam mana? Tapi terasa insaf bila mengenangkan penoreh getah.

p/s hari jumaat ni En.Wan ada di ASWARA? Saya nak datang.

benuasuluk said...

kampung Tengah,
ceh duduk kat gombak, kerja kat gombakhujan sikit-sikit pun nak mengeluh ke? Apa daa
Jumaat saya ada, datang le. Tapi buat apa nak tunggu hingga Jumaat, datang sekarang, bole?
:-)

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Memang la pejabat kat gombak... tapi saya mana ada kura-kura nak naik pi buat assignment luar. Hari jumaat ni saya cuti da...

benuasuluk said...

Tengah,
datang sebelum tengah hari. Petang saya ada mesyuarat.

adiratno said...

WAn,

Aku pun teringat jugak ayah, satu waktu dulu pun mengayuh, bawak ikan dalam bakul, dari Kg. Berjaya balik ke Titi Upaq.

benuasuluk said...

Adi,
semoga hang tak lupa titi upaq tu, walau di tempat hang berada sekarang titi upaq tak diperlukan.
Bukankah titi upaq itu adalah sejarah dirimu, tak gitu kawan?

Anonymous said...

abah saya cerita, dulu dia kecik lagi dah kena pi menoreh..awal pagi, dlm 2 3 pagi..sb pas tu kena buat kerja lain..nak sekolah pn tak sempat..susah..miskin..arwah nenek garang..garang beno..almaklum banjar..saya pun gerun..hehe..
tp pelik..skarg ni abah jd bank pada anak2 yg malas nak riba2 kat bank..byk beb duitnya..walau hanya toreh pokok getah..walau hanya sekolah kejap je...RM abah blh tahan..kadang kami yg ngaji sampai u nih pun kalah!

benuasuluk said...

anon,
syukurlah awak menjadi anak kepada abah awak...

adiratno said...

Wan,

Aku tak lupa ataupun pernah terlupa..nak lagi masa kita main liga PRA-U, aku pakai short, SYaj..ngan MArin.. dok usha bulu kaki haa..

benuasuluk said...

adi, semoga hang juga tak lupa "striker" yang tercungap-cungap itu
:-)