Wednesday, November 5, 2008

“MELIHAT” KEMBALI SESUATU YANG TERABAI

WALAU PUN ini hanyalah sebuah prosiding, tapi bukan sebuah prosiding yang biasa bagi saya. Memang saya rasa bersalah kerana mengabaikannya setelah hampir dua tahun peristiwa ini berlaku. Minggu ini lantaran ada sedikit ruang waktu di rumah, saya setubuhi kembali buku ini dalam rasa ghairah yang menggunung.

Prosiding Seminar Penulisan Cereka 2007 adalah satu daripada projek saya untuk tahun 2007. Ianya diterbitkan dalam serba naif bagi Seminar Penulisan Cereka 2007 yang bertemakan Pelestarian Citra Bangsa dalam Karya Cereka Kontemporari dan dianjurkan oleh Fakulti Penulisan pada 3-4 November 2007. Pada saya, Seminar ini sangat berjaya. Berbanding dengan Seminar Sasterawan dalam Pembinaan Peradaban Malaysia atau "Seminar Dinasour” seperti yang disebut-sebut oleh karib saya yang juga dianjurkan oleh Fakulti Penulisan pada 23-25 Jun 2008 baru-baru ini. Daripada segi roh dan semangatnya – bahkan segalanya saya lebih merasakan Seminar 2007 ini lebih memberikan kepuasan jiwa yang tak terhingga kepada saya.

Saya “all out” untuk untuk melaksanakan Seminar ini. Tenaga utamanya Zack dan saya – selebihnya dibantu oleh para pelajar Fakulti saya yang sangat tak ramai untuk mahu bekerja bersama-sama (dan tentunya amat segan untuk hadir ke Seminar). Seminar ini sangat memberi pengajaran berguna dan pengalaman bermakna untuk saya, walau pun pada tahun sebelumnya sayalah juga yang menjadi pegawai projek untuk Seminar Penulisan Dramatik 2006.

Buku prosiding ini adalah hadiah bermakna untuk saya. Dalam waktu yang mendesak, sayalah penyusun dan penyelenggara buku ini – dari kulitnya yang “buruk” seperti ditegur oleh Ainon Mohd. yang katanya kalau dijual tak akan laku; membawa kepada mengedit dan menyusun dalam radang waktu yang selalu menggertak saya hinggalah kepada proses mencetaknya dalam bentuk buku.
Sungguh, saya memang tidak berlaku adil untuk semua kertas kerja dalam buku ini. Ketika panel menghantar kertas kerja, saya hanya membaca begitu-begitu saja tanpa benar-benar menyelami; kemudiannya membaca lagi dalam hambatan waktu bagi tujuan untuk mengedit di mana perlu sahaja (tanpa mengubah ayat asal) bagi tujuan formaliti. Cetakannya juga dibuat pada saat akhir tanpa sempat saya menyemak dan tidak sempat pun pencetak membekalkan dulu naskhah contoh untuk saya semak dahulu. Semuanya dihambat masa; bahkan dua hari sebelum dicetak pun saya masih menerima kertas kerja yang baru tiba.

Memang susah kalau kita menjadi Urus Setia. Saya teringat kata-kata Mawar Shafei yang sewaktu saya menghubunginya bertanyakan tentang kertas kerjanya, dia pada waktu itu juga sedang bergelut mengendalikan sebuah Seminar yang agak besar juga di Kuantan. Kata Mawar:

“Maaf Wan, saya faham perasaan Wan sekarang sebagai Urus Setia bila tunggu kertas kerja tak sampai-sampai. Saya sedang mengalaminya di Kuantan sekarang.” Begitu lebih kurang ucap Mawar dalam suara yang penuh sopan.

Memang di mana-mana acara Seminar pun, Urus Setia akan berpeluh kalau kertas kerja tak sampai-sampai. Ada juga panel yang akan datang pada hari pembentangan kertasnya, dan pagi itu juga dihulurnya kertas kerja minta kita fotostat untuk diedar pada para peserta. Memang gaban jadinya. Tapi saya faham. Di Malaysia ini yang dunia sasteranya sebesar “tempurung”, balik-balik orang yang sama juga yang akan kita jemput untuk membentangkan kertas kerja. Sasterawan Negara-Sasterawan Negara yang masih “gagah” itu jugalah yang selalu kita jemput. Sarjana-sarjana sastera yang sedang “ngetop” itu jugalah yang kita jemput. Penulis-penulis yang tengah “membara” itu jugalah yang kita undang. Pengkritik-pengkritik yang hebat itulah yang juga kita seru. Jadi, faham sangat masalah itu. Kalau saya yang hadapi perkara itu, Urus Setia di tempat lain pun hadapi perkara yang serupa juga.

Setelah hampir setahun Seminar Penulisan Cereka 2007 ini berlalu, saya teringat untuk membuka kembali buku prosiding ini. Dan membacanya kembali dengan tenang dalam keadaan penuh nikmat dan rakus sebagai seorang pencinta buku. Dulu, sudahlah membaca tanpa nikmat, adakalanya terpaksa keluar masuk Dewan sepanjang seminar berjalan hingga saya banyak tercicir sari dan pati sepanjang program berlangsung. Memang terdapat banyak kesilapan di sana sini sepanjang saya mengulit semula prosiding ini. Kalaulah saya punya masa yang panjang dulu, barangkali kekurangannya mungkin dapat diminimumkan.

Saya bercita-cita untuk menyusun kembali dan menerbitkan kembali prosiding ini dalam bentuk buku dengan cara yang lebih “bermaruah.” Lagipun dulu ada beberapa buah kertas kerja lagi yang “tercicir” dan tidak termuat dalam prosiding ini. Harap-harap ada dana yang dapat menampung penerbitan semula buku ini. Kalau tidak sekarang pun, biarlah tahun-tahun mendatang. Semangat saya masih ada. Lagipun, selain daripada Allahyarham SN S. Othman Kelantan yang sudah berpergian, para pembentang yang lain masih gagah dan masih menyumbang untuk ujana sastera tanah air kita. Masih boleh dihubungi untuk memperbaiki di mana yang perlu.

Saya berharap impian saya ini akan tertunai pada masa depan (harap-harap bukan pada “kelahiran” yang lain). Kalau ada dana lebih selepas mabuk-mabuk membeli segala pasu bunga dan pokok-pokok bunga, selain dari sibuk dengan melantak makan-makan bermewah sepanjang tahun, selain dari sibuk keluar masuk surat khabar mempromosi program yang punya agenda yang sukar saya tebak tujuannya, dan segala macam lagi aneka yang “remeh-remeh” pada saya, alangkah baiknya kalau niat murni saya ini turut dibantu dan disokong. Setidak-tidaknya usaha institusi ini akan membantu menyemarakkan lagi dunia sastera tanah air. Nanti yang akan disebut pun nama institusi ini, bukannya nama saya. Saya hanya setitis air di tengah danau. Danau itu institusi inilah. Saya akan pergi, institusi ini harus terus berdiri.
Kepada semua penyumbang dan pembentang kertas kerja untuk seminar ini dan seminar-seminar lain di bawah kendalian saya, jika saudara singgah dan membaca blog rusuh saya ini, ribuan terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Fikiran dan tenaga tuan-tuan dulu tak terbayar oleh kami. Betapa banyaknya kami terhutang.

Saya akan selalu mengenang tuan-tuan dari jauh yang “dekat.”

11 comments:

Anonymous said...

Berjual di jeti Kuala Linggi,
Pelbagai hasil melimpah mewah;
Hasrat hati menggunung tinggi
Tangan kecil tumpang menadah.

Tarian ngajat cantik ditari;
Pelbagai bunga tarian memikat;
Doa dipanjat pada Ilahi,
Moga usaha dikurnia berkat.

Incik wan,
sungguhpun pendek, bercita-cita tinggi.
Incik wan, sungguhpun kecil(montel)
berjiwa besar..

HIDUP INCIK WAN

benuasuluk said...

Farah,
minggu ni abang tak da mood nak berpantun. ni semua mungkin gara-gara penangan memey(kkkk)
abang hanya ingin pegi kedai mamak maulana dekat dengan rumah abang dan menjerit kepada mamak:
"memey(kkkk) goreng mamak satu, memey(kkkk)tarik satu kurang manis."
Mungkin boleh ajak awangsulung dengan denanz sebagai peneman. :)

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

En. Wan bila Fakulti Penulisan ASWARA nak buat seminar lagi? Saya dok tunggu macam buah tak gugur-gugur ni.

benuasuluk said...

diari kampung tengah,
entah, malas nak fikir. saya kalau boleh nak bersara awal saja sekarang nih. Balik kampung bela lembu dari baik. Sekurang-kurang lemubu tak tahu sakiti hati manusia...

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

betul3 (ala2 upin dan ipin) lembu memang tak tau sakitkan hati org. Baik org yg suka menyakitkan hati org tu bertukar jadi lembu. Tak adalah kerjanya menyakitkan hati org je.

Rahimidin Z said...

tolong pastikan perkataan "ianya" tak digunakan. itu saya mengikut hukum bahasa.

benuasuluk said...

diari kampung tengah,
ada baiknya kalau sdr pergi ke siminar anjura tempat lain, daripada menunggu seminar anjuran tempat yang awak dah tinggalkan. Buat seminar ni bukan bagus pun, tak glemer, tak masuk paper, dan tak ada acara tari menari tergolek-golek macam ... ahhhh sudahhhlahhhh!

sdr. rahimidin,
terima kasih atas teguran dan nasihat berguna daripada sdr. Setidak-tidaknya sdr. tidal melihat saya seperti lembu.

Denanz ... said...

nak ajak pi pekena memey(kkkk) tarik? tak dak hal. bagitau bila.

*awas dan berhati-hatilah apabila anda "menyetubuhi buku dalam ghairah yang menggunung".

benuasuluk said...

Bang Nan,
tengah malam ni ingat nak pekena memey(kkk) tarik kat bucu dewan, nak ajak marsli dan naga lepas acara baca puisi di Pena. Jom le.
:)

Sham al-Johori said...

tuan,
knp sebut lembu? bukankah lembu dah jadi takut sb kejap lagi tiba musim hari raya korban.
hehehe

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA.

benuasuluk said...

Tuan Sham,
sebut lembu tak apa, tak sensitif macam yang lain. Takkan sebut lembu pun ada orang nak buat laporan polis juga kot.Haha