Wednesday, November 12, 2008

Cerita Tentang Perjalanan Kreatif Malim Ghozali PK

PETANG semalam, ada program Pesona Seni. Program Pesona Seni diadakan secara berkala setiap minggu untuk pelajar ASWARA – juga terbuka untuk orang luar, atau sesiapa sahaja yang mahu datang. Setiap Selasa pukul 4.00 petang. Setiap tokoh yang diundang digilir-gilirkan pada setiap Fakulti. Semalam, kena pada giliran kami Fakulti Penulisan. Dan tokoh yang diundang ialah Malim Ghozali PK.

Sudah agak lama saya berkira-kira hendak mengundang Malim Ghozali. Tapi tidak ada ruang untuk menyelitkannya dalam mana-mana acara. 2008 ini aktiviti sedikit perlahan. Tahun “gerhana” kami barangkali 2008 ini. Saya berkira-kira untuk mengundang Malim pada Disember nanti untuk acara Malam Puisi Warisan saja. Minggu ini gilir Fakulti Penulisan untuk menganjurkan Pesona Seni. Bila berbincang dengan Dekan saya, Anwar Ridhwan dia pantas mencadangkan, Malim Ghozali boleh? Tanpa berlengah, saya setuju terus. Selesai satu perkara. Tercapai juga hasrat saya untuk bawa Malim Ghozali ke sini. Ini kali pertama kami membawanya ke sini dalam satu acara atau aktiviti kami.

Tajuknya Perjalanan Kreatif Malim Ghozali PK. Sengaja diberi tajuk itu untuk dia lepas bebas bercakap – daripada latar belakangnya, kerjaya awalnya hingga membawa kepada penghasilan karya dalam fiksyen, bukan fiksyen serta juga bidang terjemahan. Khabarnya lagi, ada kumpulan puisi, cerpen dan novelnya bakal terbit dalam waktu terdekat oleh DBP. Dan sekarang, sudah mencapah pula kepada penciptaan dan nyanyian lagu puisi. Dan barangkali ya, "gayanya" juga sedikit persis Ramli Sarip. Sempat juga dia memperdengarkan dua buah lagu puisinya daripada album yang bakal terbit. Khabarnya sudah pada peringkat-peringkat terakhir. Dalam sebulan dua lagi akan dilancarkan. Dan Insya-Allah, kami bercadang untuk membuka ruang kepada Malim untuk melancarkan album lagu puisinya di sini. Jika tiada aral. Tahun “gerhana” seperti sekarang aralnya tak menentu. Harap-harap boleh.

Hanya sayang, program yang sebaik ini untuk Fakulti Penulisan, tidak ramai pelajar Penulisan yang hadir. Tak tahu di mana silapnya. Kalau tak tahu, saya ingin menjerit, “bohong!” Pelajar Fakulti Penulisan tidak ramai. Kalau dicampur antara pelajar diploma dan ijazah, kurang lebih tidak sampai pun 70 orang. Yang hadir semalam tak sampai separuh. Di mana yang lainnya? Kalau tak tahu ada program, sekali lagi saya ingin menempik, “bohong!” Sudah dimaklumkan dari awal; dari minggu lepas lagi. Bahkan saya mengulang-ulang beritahu sekali lagi sehari sebelum program. Buat rugi prepaid saja.

Marah? Tak adalah! Buat apa nak marah. Di mana-mana pun perkara serupa juga yang berlaku. Dah biasa sangat. Tak guna marah-marah. Malah, macam yang saya selalu cakap, tak semua yang betul-betul “mencintai” penulisan. Masuk ke sini sebab tak tahu ke mana, sebab tempat lain menolak. Tak guna marah. Bersembang dengan seorang pelajar saya, dia mengeluh mengapa ramai kawan-kawannya tak datang. Saya cakap, yang datang separuh ini pun dah kira bagus. Kalau semua datang saya kena puasa sunat gamaknya.

Hanya sayang, saya berasa rugi bawa Malim ke sini kalau pelajar sendiri pun tak reti menghargai. Takkan “tempurung” itu sudah besar untuk mereka melihat ke dunia luar? Entah! Cuma saya terasa malu, di sebelah saya ada seorang pelajar Fakulti Muzik saya kira. Ketika Malim bercakap-cakap tentang konsep dan falsafah dalam agama, saya perhatikan dia seperti larut ke dalam dengan kepala yang terangguk-angguk. Sesekali seperti bercakap kepada diri sendiri. Ketika tayangan tentang kunjungan semula Malim ke Paramaribo di Suriname dia seperti khusyuk menonton. Malah, ketika Malim memperdengarkan dua buah lagu puisinya, saya perhatikan dia enjoy. Begitu sekali apresiasinya. Terasa malu saya, mengapa tidak dia saja yang menjadi pelajar kami?

Dulu, bila Fakulti buat program malam-malam, ramai merungut-rungut kenapa buat malam. Susah, rumah sewa jauh. Nak kena balik awal. Transport tak ada. Bahkan ada juga yang duduk di asrama cakap begitu. Saya tak kisah pun, program saya harus terus berjalan walaupun yang datang nanti hanya saya saja. Ini, Pesona Seni ini dibuat siang hari, pada waktu petang apalagi alasan ya kalau ditanya?

Teringat saya hampir 10 tahun lalu, waktu saya mula datang ke KL dan belajar di UPM. Hampir setiap bulan (kalau tak berhalangan) waktu itu saya akan datang ke acara baca puisi di Rumah PENA. Waktu itu pun “kawan-kawan” tak kenal pun lagi siapa saya. Saya boleh datang dengan selamba dan saya balik dengan selamba. Waktu itu, Sutung dan Dinsman yang jadi kepala baca puisi. Motor pun saya tak ada waktu belajar. Saya datang ke KL dengan bas. Dari Central Market, saya berjalan kaki ke Rumah PENA. Balik waktu malam, bas dah tak ada untuk ke Serdang. Saya sambar teksi saja, bayarnya lebih kurang RM 20.00. Hampir setiap bulan, saya akan “buang” RM 20.00 untuk tambang teksi balik dari PENA ke UPM. Tapi, tak kisah pun pasal duit. Nak ikut susah, semua pelajar pun ada susah masing-masing kalau sebut pasal duit. Malah, pada peringkat awal ghairah ke acara baca puisi PENA, saya rakamkan acara itu dengan menggunakan walkman saya. Sayang, bila asyik berpindah randah, semuanya hilang. Cuma sekarang bila dah berkerjaya, dah berkeluarga, saya kurang ke PENA. Hanya pada masa-masa tertentu bila benar-benar senggang baru saya pergi.

Marah? Tak adalah. Saya dah nak masuk tahun ketujuh bertugas di sini, saya dah terlebih “masak” saya kira. Dah terlalu biasa. Kami akan teruskan apa-apa saja aktiviti walaupun nanti yang datang hanya tinggal seorang pelajar saja. Kalau dah tak ada langsung pun saya kira kami akan teruskan. Yang saya nak naik angin, bila Fakulti tak buat aktiviti, yang tak datang inilah yang selalu sibuk bertanya bila lagi Fakulti nak buat aktiviti. Saya kira lepas ni saya tak akan maklumkan lagi berulang-ulang pada pelajar, bahkan “mengelui” sayang dengan telefon bimbit. Tak guna rasanya. Cukup tampal notis saja, nak datang datanglah, tak nak datang sudahlah. Hangpa pun bukan putera puteri raja. Tak perlu saya nak “takut’ kalau Rektor jegil mata bertanya mana pelajar Fakulti.

Sudah sampai masanya kalau saya mula “melayan” pelajar saya cukup setakat pelajar saja. Tak perlu lebih-lebih menatang. Perlu buat macam pensyarah di universiti, buat bodoh saja dengan pelajar. Saya dulu pun pensyarah tak layan yang muluk-muluk. Barangkali saya perlu tanamkan dalam kepala saya pelajar Fakulti saya bukan lagi 70, tapi 7000. Bila saya bayangkan ramai, bolehlah saya buat bodoh dan tak peduli pada pelajar.

Saya tak marah. Hanya sayang, pengalaman kreatif Malim Ghozali PK sangat berguna untuk kita yang baru nak mula kenal dengan dunia persuratan. Perjalanan orang lain dalam dunia kreatif kadang-kadang memberikan kita sesuatu yang baru. Yang baru nak kenal apa itu sastera, apa itu penulisan jangan cakaplah. Takat belajar dan karya terakhir yang dibaca semasa mengambil teks KOMSAS itu tak cukup sayang. Tak ke mana pun. Di sekolah kita berkeluh kesah dengan matapelajaran sastera yang mula mati, di sini yang ruangnya terbuka luas untuk kita masuk ke dalamnya mengapa kesempatan sebaik ini pula ditolak ke tepi?

Saudara sendiri yang memilih untuk masuk ke dalam “laut”, jadi terpulanglah kepada diri saudara sendiri sama ada untuk berenang-renang di laut lepas, atau membiarkan saja diri sendiri terkapar-kapar, lemas dan tenggelam di dasar laut.


9 comments:

Anonymous said...

Aku lebih berminat dengan latar belakang Malim Ghozali semalam.. datangnya sebagai bekas kakitangan kerajaan, yang bestnya dia ni mantan PTD!.. Bekas SUB pulak tu.. berminat didalam aliran seni, hmm.. Aku terfikir sorang PTD disini.. ‘Beliau’ berada di dalam kelompok rakyat seni, tapi ada tak walau sekelumit pun didalam diri ‘beliau’ ni menghargai dan menghayati seni?.. maksud aku, dia menghayati seni tu macam mana?.. Aku rasa.. seni ‘beliau’ ditakrifkan berjaya atau ‘berseni’ apabila dihidang kepada ‘orang-orang besar’… tak kiralah terkena waktu kuliah atau waktu exam… setakat tangguh exam tu perkara biasa kat sini, apatah lagi tangguh kuliah… semata-mata nak penuhi undangan… hmm.. Apa kata kita undi sahabat dari Malim Nawar ni sebagai REKTOR akan datang? Ada cadangan?.. sorry banyak-bayak Tok wan kalau post ni lari tajuk hang.. tapi sejak 2 menjak ni, jiwa aku tak tenteram pasai perjumpaan esok…

benuasuluk said...

sahabatku,
ni ayie kan? rasa akulah. Lupakan Rektor hang tu. Banyak sangat benda yang melukakan kita akhir-akhir ini. Sebab tu aku selalu samakan PTD jenis ni sama taraf je dengan Pelajar Tingkatan Dua (PTD).

Aku ingat bila umur aku sampai 45 nanti kalau masih berRektorkan budak tingkatan dua macam ni, aku pun teringin nak bersara awal macam Malim Ghozali. Buatlah kerja lain.

Anonymous said...

oh...mamat tu ka yang masuk dalam kisah surinam.oh oh ok juga ok juga boleh maju tapi kalau tanya pada budak2 yang suka baca eden budak setan esei budak iblis ekau budak rap yo yo rap mesti dia orang ternganga malim ghozali malahan tergelak terbahak-bahak kehkehkehkeh berbanding dengan penulis buku eden budan setan esei budak iblis ekau budak rap yo yo.huhuhu....salammmmm

benuasuluk said...

awang,
itu yang saya risaukan sekarang. Di tempat saya sekarang penuh dengan budak2 yang kepalanya penuh dengan budak setan budak iblis budak rap yo yo. Ahhh budak tingkatan dua tu pun apa kurangnya...

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Kalau saya punya kesempatan mesti saya datang pesona seni tu... saya pun tak tahu. Rugi rasanya..

benuasuluk said...

kampung tengah,
perasaan, pemikiran, pengalaman setiap orang pasti ada bedanya. Kadang2 melihat "orang lain" juga berguna untuk kita berenang-renang di laut yang luas. Tapi, itulah - cuma saya yang barangkali berperasaan sedemikian.

Anonymous said...

Ulam lengkuas dan nasi panas,
Gulai nenas dan ikan kembong;
Laut luas berombak ganas,
Biarkan lemas kerana sombong.

Sudah2 la incik wan nak menyuapkan nasi kepada orang yang tak lapar,
menyudukan air pada orang yang tak dahaga.

Mungkin anak buah incik wan tidak laparkan ilmu dan tidak dahagakan pengetahuan..Biarkan mereka ombak dunia di luar tu ganas..cinta tak boleh dipaksa..

Kalau nak buat cara diktator
WAJIBKAN la kehadiran, cakapla 10 markah dari markah ujian...hahahaha
incik wan kan mengajar subjek penulisan kat mereka..ACAH2 aja markah tuh..hahhaha
percayala mesti ramai dtg sebab nak markah percuma

Anonymous said...

Saya terima mesej en wan...ada hal yang menghalang..Pak Malim org Perak, saya rugi tak mendengar cerita org kampung.

benuasuluk said...

Farah my dear,
abang masih berhiba-hiba, tak ada mood lagi nak berpantun. Sejak akhir-akhir ni, bila selalu berhiba-hiba, kata-kata pun menjadi seperti luka yang dalam...

Anon,
ya rugi sdr tak dapat datang. Dah ada hal menghalang nak buat macam mana, kan?