Thursday, October 30, 2008

SEKOLAH ATAU UNIVERSITI, TUGAS PELAJAR TETAP SAMA

SAYA fikir keputusan Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib Sekolah “menendang” pelajar perempuan yang telah menendang guru perempuan sekolahnya di Perlis baru-baru ini adalah satu keputusan yang amat wajar. Pun begitu, ini tidak bermaksud saya bersetuju dengan konsep “setiap penyepak atau penendang adalah wajar juga dibalas dengan sepak terajang.” Ketepikan dahulu soal siapa salah, atau soal siapa yang mulakan dulu mencari pasal.

Pokoknya, maruah institusi pendidikan perlu dijaga – dan dalam masa yang sama guru yang selalu kita sapa dengan panggilan cikgu itu kita letakkannya di tempat yang sewajarnya. “Cikgu” itu adalah satu institusi atau “monumen” yang sangat mulia dan selayaknya kita harus terus menghormatinya. Saya berharap kalau pun ada rayuan daripada pelajar dan jawatankuasa rayuan bersidang, saya harap “dosa” pelajar seperti ini jangan diampunkan.

Saya bukanlah terlalu tua, malah bukanlah terlalu ‘budak’ untuk bercakap dalam hal yang serupa ini. 1980-an, zaman saya mula bersekolah masih lagi zaman kami menghormati cikgu. Nak pandang muka cikgu pun terasa gerun. Kalau nampak kelibat cikgu, kalau boleh hendak mengelak saja. Takut dan hormat sentiasa beriring. Ketika di sekolah menengah 1990-an pun aura cikgu masih terasa. Cikgu masih mulia, kami masih menghormati dan menyayangi cikgu. Kalau kena belangkong kami akan terima, kalau kena penampar kami akan terima sambil muka memandang ke lain menahan sakit dan takut; kalau terima rotan panjang kami seperti menganggap menerima hadiah dari cikgu. Tak pernah ada tangan yang naik semula ke muka cikgu. Pancit tayar dan calar-balarkan kereta cikgu pun tak ada. Apatah lagi untuk terlalu biadap hendak menendang cikgu.

Di Pokok Sena, Jabi adalah satu kawasan yang “terkenal.” Sebut saja apa yang tak ada di Jabi. Sahabat saya, Amran PKNK mungkin boleh tolong ceritakan tentang “hebatnya” Jabi. Budak-budak Jabi lagi “rock” dari budak-budak Sekolah Syed Omar di Alor Setar. Pernah tak dulu saudara mendengar ada cikgu sebuah sekolah menengah di Kedah membuat soalan matematik dengan menyindir nama pembesar-pembesar negara dalam kira mengira seperti buat untung dengan kronisme, nepotisme, rasuah bla bla bla? Haa, itulah sekolah saya yang tercinta, Jabi namanya. “Jakun” sekolah waktu dulu memang pun sudah ada. Kaki tuang sekolah, panjat pagar sekolah, kaki singkong, samseng sekolah, kaki raba perempuan – malah segalanya semua sudah ada dari dulu. Bahkan zaman emak bapa kita pun sudah ada generasi seperti ini (kalau tak, takkan timbul Sarip Dol samseng Kampung Dusun, kan?). Setakat tak buat kerja sekolah yang cikgu beri, itu bukan samseng namanya. Tapi untuk “menyentuh” cikgu adalah sangat luar biasa. Sejahat-jahat pelajar, masih tetap hormatkan cikgu. Memanglah ada juga dendam, tapi habis setakat itu sahaja.

Memang dunia pendidikan ada pasang dan surutnya. Soal cikgu belangkong separuh mati anak muridnya, hempuk kepala dengan kasut tinggi adalah perkara “biasa” dalam dunia pendidikan (cuma tak ada macam Tukcai langgar anak murid dalam novelnya sampai mati). Tapi bila anak murid angkat tangan untuk belangkong cikgu ini adalah sangat luar biasa dan biadap namanya. Kurang ajar punya budak, saya dengar pun sakit hati. Perempuan pula tu!

Kepada cikgu-cikgu, teruskan berbakti. Inilah cabaran zaman baru yang perlu ditempuhi. Zaman sekarang susah nak cari anak murid yang “rock”, samseng, baloq liat tapi masih menghormati dan menyayangi guru. Zaman sekarang susah nak cari pelajar yang kerja main judi dan singkong dalam kebun getah tapi lari berabuk bila nampak kelibat cikgu. Zaman sekarang susah nak cari pelajar yang kerjanya meraba pelajar perempuan akan menangis bila dapat roti panjang cikgu. Zaman sekarang susah nak cari pelajar yang kerjanya runtuh dan panjat pagar sekolah tapi dengar cikgu berdehem sudah rasa nak terkencing. Semuanya sudah tak ada di telan zaman. Gelombang zaman baru kononnya. Yang ada pada zaman ini pelajar yang akan menjulur tapak kaki untuk memberi penendang kepada cikgu. Aduh, kasihannya. Kepada cikgu-cikgu, teruskan berbakti. Kami akan selalu mengenangmu.

Kalaulah besok ditakdirkan semua orang membenci dan menjadikan guru sebagai musuh – tolong kecualikan saya seorang!

II

SAYA baharu selesai menghadiri “pertemuan” dengan pelajar yang menghadapi masalah disiplin dan tatatertib. Setiap semester jawatan kuasa disiplin dan tatatertib akan duduk setidak-tidaknya satu atau dua kali bagi setiap semester. Setiap wakil Fakulti secara automatik akan menjadi ahli jawatan kuasa tatatertib ini. Mungkin sedikit berbeza dengan yang di Universiti. Puncanya tentulah berkaitan dengan salah laku pelajar. Pelajar-pelajar yang didapati bersalah akan dipanggil untuk mengadap. Apa, ingat di universiti semua pelajar bagus-bagus ke?

Darah saya akan naik kalau ada yang terlibat itu ada pelajar Penulisan. Rupanya tahun ini ramai pula pelajar Penulisan yang ada masalah dengan disiplin. Campur tolak, ada lebih 20 orang untuk semua Fakulti. Dan ironinya, hampir kesemuanya perempuan. Panjat pagar asrama lari malam pun perempuan. Memang dunia dah nak terbalik. Yang tendang cikgu di sekolah pun bukan jantan.

Saya agak budak-budak ini masuk ke sini dengan “membawa” masalah dari rumah. Ada yang seperti memendam, ada yang mencari kebebasan. Soalnya, kebebasan yang macam mana yang hendak dicari? Setiap sesi yang melibatkan pelajar Fakulti saya, saya sengaja bengiskan muka, dan sebelum mereka keluar dari bilik lembaga, dengan muka kering saya pesankan sila datang ke bilik saya! Saya kebiasaan akan mengadakan sesi pertemuan semula untuk mengetahui apa masalah. Saya tahu, tak semua pelajar yang datang ke sini betul-betul minat hendak masuk ke sini. Kadang-kadang ada kekangan lain.

Pelajar pelajar Fakulti saya memang selalu datang berjumpa saya. Yang tak terbiasa dengan saya, mereka akan terpengaruh dengan cakap Encik Zack yang memberitahu saya adalah “cikgu disiplin” untuk Fakulti. Jadi, sebolehnya, yang ingin mengelak akan cari jalan untuk mengelak. Macamlah cikgu disiplin garang sangat. Di sekolah pun sekarang cikgu disiplin kena hempuk dengan pelajar. Saya cuba dekati mereka. Walaupun ayat saya terkadang pedas dan kasar bunyinya tapi saya sayang mereka. Itu belum lagi saya jadi pensyarah sepenuh masa tahu. Apa yang saya akan buat gamaknya kalau saya jadi pensyarah sepenuh masa?

Gertakan saya mudah – nak belajar buat cara nak belajar, tak nak belajar pintu rumah Penulisan terbuka bila-bila masa awak boleh keluar. Selepas mesyuarat memberi amaran, maka berbondonglah budak-budak ini mencari saya. Ada yang meleleh air mata dan hingus di depan saya. Saya hulurkan kotak tisu (mana ada pensyarah universiti hulur kotak tisu pada pelajar bila pelajar menangis di depannya). Selepas gertak-gertak, saya sulamkan nasihat yang baik-baik. Yelah, pelajar pun manusia juga. Ada perasaan. Takkan saya nak biar pelajar saya bagi penendang dulu pada saya. Nasib baik institusi ini belum seperti universiti lain yang ramai bilangan pelajarnya. Bila bilangan pelajar sedikit, sekurang-kurangnya saya boleh menjenguk mengambil tahu apa masalah pelajar, apa-apa yang patut. Kalau ramai nanti gimana ya?

Ada sebab yang menyebabkan saya tak suka dipanggil pensyarah (memang dari ukurtara kelulusan saya belum layak digelar dengan gelaran itu). Sebagai yang bertanggungjawab mengurus dan menyelaras Fakulti secara keseluruhan, baik dari segi akademik, hal-hal pentadbiran pejabat, aktiviti/program Fakulti dan hal ehwal pelajar, masalah yang melibatkan ragam pelajar juga perlu saya depani. Dah bermacam-macam saya lalui. Termasuklah hal pelajar yang sampai ke akhirnya tamat belajar tidak bertegur sapa dengan kita. Puncanya kecil – kenapa saya tidak memberinya “A” dalam kursus saya yang wajib diambilnya. Wah, begitu mudahkah menjadi pelajar kalau sampai hendak meminta-minta? Apalagi, saya beri khutbah percuma. Saya ada prinsip sebagai pengajar, walaupun dari segi kelulusan belum sampai ke takah itu. Penyudahnya sampai habis belajar dia menjadikan saya musuhnya. Bahkan di belakang saya dengar dia memburuk-burukkan saya tak layak untuk menjadi pensyarah/penyelia Penilaian Tahun Akhir (PeTA) sebab saya tak ada buku. Bahkan, karya untuk projek akhirnya saya kira “sengaja” dia menggunakan nama saya dan diberikan sebagai watak yang jahat. Saya tak kisah. Saya tak rugi apa-apa. Saya cuma berharap apabila dia tua nanti dia akan rasa menyesal kerana menjadikan guru sebagai musuhnya. Cuma saya heran, mengapa sebagai pelajar yang “hebat” dia tak berani untuk menendang saya; sepertimana pelajar perempuan di Perlis itu walhal dia jantan yang ada telur. Hahaha.

Saya tak kisah, itu hal kecil. Ada lagi perkara besar yang saya pernah lalui. Pernah tiga empat tahun dulu ada seorang pelajar keturunan Cina di depan saya mengambil keputusan untuk bunuh diri. Puncanya, kawan yang paling dipercayai mencuri kesemua wang pengajiannya yang ada dalam bank. Dia hadapi tekanan yang hebat, dan merasakan tak ada orang-orang di sekeliling yang mahu mendengar masalahnya dan cuba membantunya. Dia seperti nekad mahu bunuh diri. Malah, ada orang yang cuba bergurau dengannya minta dia bagitahu tarikh, masa dan tempat untuk bunuh diri – nanti boleh buat lawatan ramai-ramai untuk tengok acara bunuh diri. Sedih kan? Puas juga saya kaunselingnya. Pengalaman saya aktif dengan Kelab Kaunseling Sekolah dan menjadi Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) ada juga gunanya membantu saya di alam kerja. Kali terakhir saya jumpa dia dua tahun lepas katanya dia sudah tenang, sambil berkali-kali ucapkan terima kasih kepada saya. Sekarang dia menyambung pengajiannya di sebuah Universiti di Lembah Kelang ini. Inilah saya kira dugaan yang paling mengecutkan saya. Kalau betul-betul dia bunuh diri macam mana? Setakat pelajar tak nak bertegur sapa kalau saya tak beri dia “A” saya tak kisahlah, saya buat hemoi saja.

Saya sepatutnya menjadi seorang guru. Saya secara dasarnya menyenangi dunia itu. Tapi entah mengapa tidak tergerak untuk ke sana. Dulu, mak saya sangat berharap saya menjadi seorang guru. Saya menolak dengan tanpa alasan. Barangkali saya meletakkan guru itu sangat mulia dan murni, tidak sesuai untuk saya memeluknya. Saya tak tahu apa yang saya fikir waktu itu. Alihnya saya di sini menjadi Pegawai Kebudayaan. Macamlah bagus kalau bekerja sebagai pegawai yang menjaga dan mengurus budaya. Kita pelingkup budaya lagi adalah. Alihnya lagi terpaksa mengajar juga kerana bidang pengajian saya ada kaitan dengan tempat saya mengurus budaya. Dan ada minat. Bayangkan kalau saya dipaksa mengajar tapi saya tak minat dan tak ada kebolehan untuk mengajar. Dosa siapa ya? Moga dilapangkan dada saya oleh-Nya; saya ada 25 tahun lagi sebelum saya bersara wajib. Ho ho.

Kerana saya menyenangi dunia akademia dan saya mengasihi para guru yang ada di dalamnya, saya perlu terus kuat untuk berada di sini. Saya kira semua orang adalah pelajar, waima dia seorang guru/pensyarah sendiri pun. Bahkan saya sendiri tidak malu untuk mengaku ada juga perkara-perkara yang dapat saya belajar daripada anak didik saya. Kita bukannya sempurna. Sebab itu kalau ada pelajar yang bermasalah, ada masanya kita perlu dekati; dan dalam sesetengah hal kita perlu juga mendengar suara mereka. Kecuali ponteng kuliah. Saya secara dasarnya memang pantang kalau ada pelajar kelas saya yang kaki ponteng. Lambat datang kuliah pun saya tak akan benarkan masuk sekiranya saya dah berdiri di dalam kelas.

Maaf, saya ada etika kerja – guru perlu dihormati. Cukup tiga kali ponteng kelas tanpa sebab, saya akan keluarkan surat “larangan menduduki peperiksaan dan diberikan status gagal.” Saya memang Hitler untuk hal-hal pembelajaran, walaupun ada “wahyu yang turun dari langit” kemudiannya untuk menyuruh menarik balik keputusan seperti itu. Kuasa guru lebih hebat, kalau setakat suara “wahyu” yang tak abadi seperti itu, guru seperti saya juga ada “C4” yang boleh menghancurlumatkan “suara wahyu” itu. Hal-hal mendidik tak boleh main-main. Tak percaya, cubalah sekali wahai adik-adikku. Kalau “F” tetap “F”, kalau “A” tetap “A.” Kalau dah dapat “C+” tetap “C+”lah, jangan nak mengada-ngada minta “A.” Kalau dapat “A bintang” pun esok-esok keluar kalau tak reti menghormati guru tak ada gunanya juga.

Adakalanya di sekolah atau universiti perlukan guru yang keras – tegas dan berprinsip tentunya. Dan di sekolah atau universiti tugas sebagai seorang pelajar tetap sama – memburu ilmu, menghormati ilmu, menghargai persekitaran dan dalam masa yang sama menghormati guru. Sebab itu tak heran setelah berpuluh-puluh tahun kita meninggalkan alam sekolah, guru yang bengkeng-cenge macam malaun itu juga yang kita kenang, yang kita ingati, yang kita hormati, yang kita sanjungi, yang kita selalu doa-doakan kesejahteraannya (seperti yang tertulis dalam novel Memoir Seorang Guru oleh Tukcai). Guru yang seperti inilah selalunya membawa kita ke puncak yang beribu-ribu kali lebih tinggi dari sebungkah Everest. Guru seperti inilah yang selalunya mengajar kita mengibarkan “bendera kepercayaan” kita kepada diri sendiri yang beribu-ribu kali lebih tinggi dari yang mampu dicapai oleh seorang angkasawan.

Kalaulah besok ditakdirkan semua orang membenci dan menjadikan guru sebagai musuh – tolong kecualikan saya seorang!

15 comments:

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Bila saya baca apa yang En. Wan tulis ni... teringat saya lebih kurang 13 tahun lepas. Masa tu kiranya saya baru darjah satu. Bila dikenangkan semula terdetik kesal tiba-tiba. Ada seorang cikgu perempuan ni garang gila persis mak tiri bawang putih. Menyampah betul saya dengan dia. Huh! Dipendekan cerita kerana kesilapan yang tidak disengajakan oleh saya, dia telah ditukarkan sekolah lain... Ketika itu dia jumpa saya, tapi dia menasihati saya dengan suara yang rendah. Dia tak marahkan saya. Kalau ditakdirkan saya berjumpa dengannya kini saya ingin memohon maaf...

Dari Gombak Ke Padang Merbok said...

Manusia mudah lupa. Mungkin "dia" berasa bangga walaupun tak dapat 'A' untuk kelas En. Wan. yelah dia sekarangdah ada novel... kawan sendiri pun lupa. Tapi dengan keegoanya macam tu sampai mana dia boleh bertahan?

benuasuluk said...

diari kampung tengah,
darjah satu akal belum ada. Sebab tu saya cakap cikgu yang bengis-cenge itu yang akan kita kenang sampai bila-bila. Baguslah sdr ada kesedaran seperti itu.

benuasuluk said...

diari kampung tengah,
Saya tak berdendam dengan pelajar saya, tak baik untuk "kesihatan".
Oh ya, bagi saya novel jenis itu bukan novel - itu hanya layak dipanggil buku cerita.
Kita doakan semoga dia terus berjaya saja.

Denanz ... said...

"sila masuk ke bilik saya"

"saya sayang mereka"

hak hak hak. cikgu wan!!!

Anonymous said...

salam sejahtera,
ayaq telaga jabi sejuk seronok mandi.biji getah jabi hebat sukar untuk dipecahkan.

guru darjah 1 saya,cikgu siti khadijah.
darjah dua cikgu maimunah.
darjah tiga cikgu jamaliah.
darjah empat cikgu kamisah(seksi sangat gedemboi buah huhuhu,baik hati dan cenge)
darjah lima,phang sing sgerewel huh amat cenge.kaki luku kepala tapi mmg best.
darjah enam,cikgu idris.

form 1,cikgu nasrioh
form 2,cikgu hasnah ngongek
form 3,cikgu rashidah utama(pulas perut terangkat kaki beb)ravi menon pun sempoi cenge.
form 4,my luving teacher cikgu maisarah anaknya darwina yang cun melecun pemain tenis msskk
form 5,cikgu ahmad hambali(waya dan cenge)di samping pengetua amar latif@pak man telo yang poyo.
form 6,mat amin rashid,nasir,ropiah,mama supergran,ustazah cun,nazirah,mohamed,ahmad,mat salleh dan hashim d legend,cikgu zainol kelammmm,zakaria d principal.

cikgu pompuan perlis tuh mangkaq.itu sahaja yang awang dapat perkatakan.tugas mendidik perlu ada profesionalisme.nak tahu profesionalisme kena tanya budak titi upaq.

Sila rujuk dan menelaah Gurukah aku atau....?nukilan norbi husin,ramai guru yang tak kenal siapa norbi husin bila awang berkenal-kenalan dgn guru-guru dan bertanya mengenai buku nukilan norbi husin,depa tak kenal norbi husin.

awang merumuskan cikgu perempuan perlis tersebut mangkaq dan murid itu betul dan dia layak menendang guru tersebut.kahkahkahkahkah...sebab apa awang ulas macam tuh bacalah buku norbi husin dari bab ke bab sehingga penamat.

benuasuluk said...

Bang Nan,
wo wo, lu fantasi yang bukan-bukan beb! hak hak.

awang,
pandangan sdr barangkali ada betulnya. Mungkin ramai yang tak betul-betul mencintai institusi perguruan, sebaliknya hanya menjadikan guru sebagai "pilihan terakhir" setelah tak ada kerja lain. Itu yang turut menyumbang kepada kemerosotan semangat dan etika keguruan dalam diri sesetengah cikgu. Bila pelajar berontak mula depa gelabah dan turut tak pandai mengawal emosi sebagai guru. Tapi tak semua cikgu macam tu.
Melihat pandangan sdr yang seperti "menyalahkan" cikgu perlis itu, rasa nya kalau awang ditakdirkan menjadi pengetua sekolah itu, apakah awang akan menendang saja cikgu dan pelajar yang biol itu?

Anonymous said...

En.Wan ni memang sweet laa...hahaha
ohooo...
tak dapat A pun tamau bertegur sapa teruk laa..
ehem..hemm..tu la yg nak duk masuk sgt aswara tuh..
nak A mahal dari en.wan
aharks..

Gula perang beli sebelanga,
Manis gula timbul berahi;
Kalau orang memberi bunga,
Jangan pula dibalas tahi.

So..balas la pantun ni..

emmm cikgu tu memg patut kena penerajang ka awangsurungmerahmenyala?-hew...

Anonymous said...

jawapan awang,
klu awang jd pengetua taklah sampai nak terajang cikgu tuh huhuhu.tak pro lah awang klu p terajang cikgu awang sendiri.senang jer nak tangani masalah ini tak sulit dan rumit.
awang akan tarik cikgu perempuan tuh jadi cikgu PRS atau cikgu kaunseling manakala murid perempuan yang awang andaikan berbangsa siam atau cina itu awang akan lantik dia sebagai SU kepada cikgu PRS yang tadi tuh.ok maka sama-sama ditugaskan untuk membimbing warga murid di sekolah berkenaan yang bermasalah dan memerlukan bantuan.
kedua-dua insan tersebut pandailah macam mana nak menjernihkan hubungan insani,ini sebagai syarat kepada murid tersebut supaya tidak dibuang dari sekolah manakala untuk guru berkenaan kena hayatilah tugas dia yang sebenarnya.butiran yang selanjutnya benuasuluk kena rajin menjengah ke blog awang hehehehe.

hi farah...sweetnyeee farah.

SATIRA + KACAU said...

Best juga dapat cikgu garang sekaligus romantik pulak macam Sdr.
Hi. Hi.

Satira + Kacau

Anonymous said...

saya taip2 word jabatan penulisan aswara maka saya pun ter link ke blog ini. Salam saudara, saya ex-student penulisan ask tapi saudara tak kenal saya sebab saya batch yg sgt awal. skrg saya pun dah kerja jauh dari negeri KL dan sudah lama tidak menulis walaupun masih rindu pada bidang ini.

Saya sedih dgn cerita saudara mengenai pelajar penulisan aswara skrg. Nampaknya memang tak sama dgn pelajar penulisan dulu. Saya pun tak tau apa sebab berlaku demikian kerana saya sudah lama tak ikut perkembangan ask/ aswara. Dapatkah aswara produce lagi pelajar-pelajar hebat dari jabatan penulisan? Saya kira rekod Anugerah pengarah masih dipegang oleh dua pelajar penulisan iaitu Samoza dan marleni. Samoza kini considered penulis mapan dan marleni penulis muda yg berjuang dlm bidang teater. Ini dua pelajar kebanggaan kami. Selain itu kita juga ada siti jasmina yang hebat menerima anugerah antarabangsa dan ada raihani yang baru menang sastera perdana. Sekarang ada siapa? Takkan kita hanya bergantung pada nama-nama ini?

Saya cadangkan jabatan penulisan adakan reunion pelajar penulisan. Panggil graduan yg berjaya seperti samoza, jasmina, marleni dan raihani dan buat satu forum di hadapan para pelajar yg ada skrg. Biar mereka dengar apa pengalaman pelajar2 pandai ini. Kecuali raihani yg hidupnya tidak begitu sukar kerana dia memang orgn KL, kita patut dengar kisah hidup marleni yg dtg dari sabah meninggalkan semua yg dia ada kerena dia percaya pada pendidikan. Dengarkan juga kisah hidup jasmina yg bermula dari zero sewaktu mula belajar dan kini lihatlah siapa dia. Dengarkan juga kisah samoza yg sambung belajar pada usia lewat di kala perlu mencari rezeki utk keluarga dan anaknya yg sedang belajar juga.

Saya rasa pelajar skrg tak ada motivasi. Pelajar dulu hidup mereka agak susah, struggle dan tidak ada tempat tinggal tapi kesusahan menjadikan mereka cemerlang. Saya dengar separuh pelahjar aswara skrg dah ada kereta. Wah, itu sangat hebat. Dulu motor cabuk pun susah. Semua jenis jalan kaki.

Apa pun bukan saya nak banding tapi saya hanya nak cadang. Mungkin cadangan saya boleh bantu. Bawalah masuk semula ex-student yang cemerlang utk beri motivasi pada pelajar penulisan. Jgn sampai bidang murni ini dicemari oleh pelajar yg masuk tanpa hala tuju hanya kerana nak lari dari rumah. Buruklah bidang ini nanti.

Wsalam.

benuasuluk said...

Farah,
tak semua pelajar yang hodoh perangai macam tu. Yang lain2 tu baik belaka. dah jenis saya suka sebut benda yang hodoh nak buat macam mana,kan?

Gula gerek manis rasanya,
di Padang Besar tempat dibeli;
kalau Farah dah beri bunga,
seberkas cinta abang memberi.

errr farah, terjawab tak pantun ni? Denanz boleh jadi hakim pantun nih. hak hak.


Awang,
Lu memang jenis "pengetua" yang baik. ha ha.

benuasuluk said...

Sdr Satira,
tang mana romantiknya?
:)

sdr Zarinasreen,
Terima kasih kerana sudi singgah ke sini dan memberi pandangan yang sangat berguna untuk saya. Selain dari nama2 besar yang Sdr sebutkan, dulu ada juga sahabat saya Ria Asmira yang sekarang berkelana ke Johor.
Untuk pengetahuan Sdr, kami pernah membawa Jasmina ke sini, Raihani juga selalu singgah, Marleeny pun ngajar part time di sini, Samoza juga selalu datang bila ada persembahan. Nama-nama besar yang lain dari Sasterawan Negara membawa ke penulis2 mapan yang lain; hingga ke SM Zakir, Nisah Haron, Faisal Tehrani ada juga kami bawa ke sini.
Saya tak salahkan pelajar ASWARA yang lain, tak semua begitu seperti yang saya cerita. Ada yang datang dengan semangat membara. Masalahnya mereka datang dengan pengetahuan yang hampir tak ada. Dalam hal ini kita patut menyalahkan sistem pendidikan di peringkat sekolah yang telah membunuh Kesusasteraan Melayu. Jadilah kita mendapat pelajar yang tempang. Perlu ambil masa untuk menggilap mereka, dan tugas ini bukan mudah tentunya.InsyaAllah, dan marilah kita berdoa semoga lepas dari ini lagi kita tentunya tak perlu lagi menyebut2 "kehebatan" Jasmina, samoza, Marleeny, raihani sahaja - moga2 ada ada dalam kawanan pelajar ASWARA generasi baharu ini akan juga berjaya sepertimana abang2 dan kakak2 mereka dulu.
Salam hormat dan salam ukhuwwah.

Anonymous said...

hemoi tu apa cek wan?

adakah perkataan daerah?

benuasuluk said...

epool,
cuba pi tanya orang perelih kedah penang apa kebenda hemoi tu. Tapi ia takda kena mengena dengan tomoi.
:)