Thursday, October 23, 2008

BELASUNGKAWA: SAMAD LEFTHANDED DALAM INGATAN

“Seniman tidak pernah meninggalkan usianya untuk kita kenang. Seniman selalunya meninggalkan cebis peta perjalanannya dan sebahagian kisah pengalaman seninya untuk kita melihat tamsilnya...”

SAYA tidak akrab dan mengenali Samad Lefthanded secara dekat. Perkenalan saya dengannya pun secara kebetulan begitu saja. Seingat saya sekitar tahun 2004 begitu saya mengenali Samad secara dekat. Waktu itu Samad menjadi salah seorang pensyarah di Jabatan Muzik ASWARA (waktu itu belum dipanggil Fakulti lagi). Yang saya ingat Ramlan Imam yang membawanya ke sini. Ketika itu, Ramlan adalah Ketua Jabatan Muzik.

Sahabat saya, Tujeri Shah yang “melorongkan” waktu untuk saya berbaik dengan Samad. Satu pagi Samad datang ke pejabat Tujeri. Tujeri tiada di biliknya (ketika itu bilik Tujeri berhadapan dengan bilik saya). Melalui pintu bilik saya yang terbuka saya nampak Samad berdiri di luar bilik Tujeri. Seperti resah. Melihat agak lama dia berdiri di luar, saya menegurnya dan menjemput Samad masuk ke dalam pejabat saya.

Sekadar berbasa basi saya bertanya apa yang dapat saya bantu. Waktu itu, Samad baru saja masuk untuk menjadi tenaga pensyarah secara sambilan di Jabatan Muzik. Samad bagitahu dia nak jumpa Tujeri hendak tanya bagaimana cara untuk mengisi borang tuntutan elaun mengajar. Dia tak faham cara untuk mengisi. Tepat agakan saya, patut Samad mundar-mandir di luar. Saya membantunya sekadar yang patut, menunjuk cara-cara untuk mengisi borang. Saya jelaskan macamana nak kira jumlah tuntutan berdasarkan jumlah jam dia mengajar bagi setiap bulan.

"Hubungan" saya dengan Samad dan Lefthanded secara nostalgianya sudah lama. Sewaktu mula hendak memasuki gerbang remaja, saya adalah antara pengekor mereka. Waktu itu saya adalah penagih tegar bagi muzik Rock. Setiap kali melihat Samad di ASWARA, setiap kalilah saya akan teringat nostalgia saya dulu-dulu. Saya pernah berkata kepada Tujeri, jangan beritahu Samad waktu saya budak-budak dulu saya sanggup memanjat pagar di ekspo atau fun fair di Alor Setar semata-mata nak tengok Lefthanded dan band-band lain secara live. Waktu itu sebagai pelajar saya bukannya selalu ada duit. Kerana keinginan untuk berhibur saya dan budak-budak kampung saya akan sanggup buat apa saja. Saya akan selalu ternganga melihat Man Kidal dan Samad henjut di pentas. Barangkali saya akan perlukan satu entri yang lain untuk menceritakan tentang nostalgia rock saya. Bukan sekarang!

Saya kira hubungan saya dengan Samad akan habis begitu saja, ataupun sekadar begitu saja. Maklumkah, dia star. Orang cakap star–star selalunya akan buat tak tahu atau buat tak kenal kita bila ada star-star yang lain di sekeliling kita. Sangkaan saya silap. Samad tidak seperti itu. Setidak-tidaknya bila Samad datang ke ASWARA, atau singgah di Fakulti Muzik dia akan lalu di hadapan bilik saya – memberi salam lalu tangannya diangkat ke kepala seperti memberi tabik kepada saya. Dia tak lupa nama saya. Saya menerpa ke pintu, tapi dia yang terlebih dahulu menghulur tangan untuk berjabat. Kami bersembang-sembang juga. Berpapasan di sekitar bilik kuliah pun kami masih bertegur sapa. Samad memang jenis pengingat orangnya.

Ketika Seminar Seni Muzik Kebangsaan 2008 baru-baru ini itulah kali terakhir saya berjumpa dengannya (Mat Rock pun tahu datang seminar). Dikelilingi ramai nama besar dalam industri muzik yang hadir waktu itu, sebaik saja nampak kelibat saya Samad mundur dari star-star itu lalu menghampiri saya. Dan seperti lazimnya, dia yang terlebih dahulu menghulur tangan menjabat saya.

Kami mencari satu sudut – dicelah-celah “keriuhan” seminar itulah kami lebih lama sedikit berbual. Saya bertanyakan tentang perkembangan terkininya selepas keluar dari Lefthanded. Waktu itu pun (sekarang – tahun ini) Samad sudah tidak lagi mengajar di ASWARA. Dia membuat kerja sendiri dan juga ghairah bercerita tentang album baru, Guitar Jammingnya itu. Dalam sekejap waktu mengenalinya ini saya merasakan seperti sudah sangat lama berkenalan dengannya. Saya seperti merasakan dia adalah rockers “yang lain.” Bercakap dengannya seolah-olah membuatkan saya kembali menjadi “remaja” yang penuh ghairah.

Rupa-rupanya di Seminar itulah kali terakhir saya bertemu dengan Samad. Lepas itu Samad tak datang-datang lagi ke sini. Kelmarin, 22 Oktober 2008 Samad mengesahkan yang dia tak akan datang lagi ke sini. Dia sudah berangkat pergi ke negeri yang jauh. Tak akan ada lagi kelibat yang akan berdiri di depan pintu saya memberi salam sambil tangan diangkat ke kepala membuat tabik hormat seperti dulu. Petang semalam ketika dalam kereta di lebuhraya, radio memutarkan lagu Kukehilangan Cinta Tiga Dimensi. Saya bayangkan Lefthanded berada di pentas bila dengar lagu itu. Saya memanggil remaja saya kembali. Malangnya remaja yang saya panggil tak datang-datang. Dan dalam bayangan saya, tiada kelibat Samad di pentas bersama bandnya dulu. Saya percaya sahabat saya, Tujeri turut sedang berdukacita. Mereka lebih akrab.

Samad telah pergi. Saya bukan siapa-siapa di mata Samad. Saya tidak layak untuk menulis apa pun tentang Samad. Tetapi sekejap waktu Samad melintas dalam usia saya yang telah berkembang telah menghadirkan dan memberikan saya "sesuatu." Dia memberi sedikit urna kepada saya dalam sekejap waktu dia singgah. Selamat berangkat Bang Samad, selamat jalan. Lenalah dengan tenteram di sana.

Al-fatihah!


10 comments:

Anonymous said...

salam takziah,

Di sini kita bersama
Di tanah lapang penuh cinta
Di sana aku menangis
Setelah engkau pergi

Mentari sampaikan cahaya
Pada kasih yang tertidur panjang
Setiap yang pergi itu
Pastikan ku turuti

Tenanglah engkau di sana
Menanti pasti pulangku
Andai jujur cinta semalam
Bertemu lagi di tanah ini

Kematian hanya satu tidur panjang
Yang penuh dengan soalan
Semoga kejujuran cinta ini
Jadi keredhaan Tuhan

Sesungguhnya rasa hatiku ini
Setiap cinta hanya keranamu
Restukan kasih suci ini
Tuhan...

Mentari di ufuk barat
Menambah tua hari ini
Setiap musim yang berganti
Akhirnyakan berhenti di sini

(Ramli Sarip / Bob)


semoga roh samad dicucuri rahmat.chairil anwar pun pergi seusia 45 tahun yang terbagus mati muda.al fatihah.

benuasuluk said...

awang,
kita doakan semoga dia tenang di sana dan dalam redha-Nya.Amin.
Chairil lagi muda, dia mati dalam usia 27 tahun (1922-1949).

Denanz ... said...

waktu lefthanded mula mengembangkan sayap, abang dah ada di kl. sebelum depa rakam album, depa nyanyi di sebuah pub di kl. abang dan rakan2 penah jugak lepak di situ. tapi, kami cuma "mabuk" oren @ coca cola.

lagu depa, "debunga wangi" ada nostalgia. lagu tu kwn serumah abang yg tulis lirik. masa tu, dia mintak tolong abang bantu2 tengok2 kan lirik tu. abang pun edit la sikit2.

al-fatihah utk allahyarham samad.

benuasuluk said...

bang nan,
fuh debunga wangi. Saya selalu pulih semangat dengan Semangat Lamina. Kebanyakan lagu depa semua sempoi.
Tapi Samad dah tak ada. Sama-sama kita sedekahkan al-fatihah.

Anonymous said...

Untuk arwah Abg Samad, aku panjatkan doa agar roh Abang Samad aman disana. Al-fatihah.
Sepanjang perkenalan aku dengan arwah, sepanjang itulah tak habis-habis 'keterujaan' aku untuk mendekati arwah. Dia seorang yang amat sempoi dan menyenangkan. Sewaktu aku masih di Jabatan Muzik, arwah akan selalu lepak di bilik aku selepas kelas. Banyak perkara yang kami sembangkan, dari cerita hal-hal pejabat sampailah ke cerita zaman budak2 dulu.. Aku tak malu mengaku di depan dia yang aku ni memang ‘die hard fan’ Lefthanded dulu. Adakalanya kami bersembang sampai abis ‘opis hour’ (kena tutup pintu bilik aku, taknak orang kacau).

Semua kenangan-kenangan tu aku tak dapat lupa..

Tokwan, terima kasih entri untuk arwah Abang Samad..

Sham al-Johori said...

SALAM BENUASULUK,
Saya juga mungkin tak selayaknya berkisah tentang aly.Samad meski saya juga ada hubungan darah dengannya. Dia pernah memetik gitar di bawah rumah atuk saya bersama-sama paman saya yg kini sudah menjadi kadi di Batu Pahat. Dia pernah belikan saya ais skrim batang ketika saya menangis dahagakan air. Dan, dia pernah jadi iman ketika paman saya tidak ke surau. Itu sejarah 20 tahun dahulu. Semalam, paman saya beritahu yang kami telah kehilangannya. Syahdu dan sepi sekali. Saya teringatkan, bagaimana samad hebat di gelanggang sepak takraw sebagai 'killer' dan hebat di pentas memetik gitar. Moga Allah merahmati rohnya. Al-Fatihah.

benuasuluk said...

Tujeri,
sedih beb.Terima kasih kerana "melorongkan" aku jalan untuk mendekati arwah.

benuasuluk said...

Syeikh Sham,
Ya, tiba-tiba kesyahduan, keharuan dan kesepian seperti berlingkar di sisi. Kita doakan dia sejahtera di sana. Kita dia "tinggalkan" sediit kenangan untuk kita kenang.

MARSLI N.O said...

Sdr Ridzuan: Siapa cakap Sdr tidak layak menulis mengenai Samad? Apa yang sudah Sdr tulis itu malah lebih baik dari apa yang ditulis dan dilaporkan oleh sesetengah wartawan hiburan kita. Betul tak?

Marsli N.O

benuasuluk said...

Tuan Yth. Marsli N.O,
Sdr selalu melihat saya dari sudut yang tak pernah dilihat orang lain - dan ini tentunya seperti memberikan saya "sesuatu" yang baru. Terima kasih.
barangkali ada benarnya kata Sdr, wartawan adakalanya perlu berubah dalam membuat sesuatu laporan. Melapor tanpa memberi "makna" pun adakalanya tidak memberi apa-apa makna. Betul tak?